29.1 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 185

Permohonan MyKid dibuka semula bermula 29 Julai ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Permohonan MyKid akan dibuka semula di semua Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula 29 Julai ini.

JPN dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan permohonan MyKid sebelum ini ditangguhkan sementara pengeluarannya berikutan kekurangan bekalan cip bagi kad mentah terbabit.

“Bagi yang sudah membuat permohonan sebelum ini (mempunyai resit permohonan MyKid), namun cetakannya ditangguhkan, pemohon diminta untuk membuat pengesahan cetakan di portal rasmi JPN di www.jpn.gov.my sebelum hadir membuat kutipan di Pejabat JPN yang dipilih.

“Tempoh semakan adalah tiga bulan bermula 29 Julai sehingga 31 Oktober ini.

“Selepas tempoh ini, status permohonan MyKid akan terbatal dan permohonan baharu perlu dibuat semula,” katanya.

Kenyataan itu berkata, kerjasama pemohon yang berkenaan diperlukan bagi memastikan MyKid yang dicetak akan dituntut oleh pemohon, sekali gus mengelakkan lambakan MyKid yang akan merugikan pihak kerajaan.

Pada Mei lalu, media melaporkan isu cetakan MyKid yang tertunggak akibat masalah perolehan bekalan mikrocip semasa pandemik Covid-19 dijangka dapat diselesaikan pada Julai ini secara berperingkat di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata, ia sekali gus menyelesaikan 136,238 permohonan MyKid yang tertunggak dengan 135,459 permohonan bagi tahun 2023 dan 779 permohonan bagi 2024 setakat Mac lalu.

“Buat masa ini kita masih lagi menunggu bekalan kad MyKid, yang mana kita memberi surat setuju terima dari pembekal pada April lalu dan sesi pengujian sudah dilakukan.

“Untuk itu, kita harap ibu bapa dapat bersabar dan apabila sampai masanya permohonan yang dibuat akan dicetak dan ibu bapa boleh mengambilnya selepas diberitahu kelak,” katanya.

Lancar tudung Koleksi Merdeka, Fazura jalin kerjasama dengan Kelab Prospec KPM

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui KPM Prospec menjalin kerjasama dengan jenama tudung tempatan, Fazura sempena bulan kemerdekaan tidak lama lagi.

Tampil dengan koleksi istimewa Tudung Fazura Purple Label, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dengan penuh rasa bangga memperkenalkan koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura.

Usaha ini bertujuan untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-67 dengan memaparkan 12 rekaan tudung yang unik dan berwarna-warni.

Koleksi Merdeka 2024 berinspirasikan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.

Setiap rekaan tudung ini menggambarkan semangat kemerdekaan melalui warna-warna bertenaga Jalur Gemilang, lakaran landskap ikonik tempatan, serta kemeriahan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Fadhlina Sidek dalam ucapannya berkata, pemilihan kerjasama kolaborasi untuk Merdeka adalah momen yang signifikan dan sesuai untuk menyampaikan mesej jiwa merdeka dan semangat cintakan negara.

“Fazura cukup signifikan mewakili pelbagai segmen dalam masyarakat seperti ibu, isteri, kakak, adik, usahawan dan sebahagian wajah Malaysia.

“Pemilihan ini adalah signifikan menonjolkan sisi penting anak tempatan yang juga melonjakkan perniagaan tempatan selain mesej kemerdekaan pada wajah anak tempatan sepertinya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura.

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM; Dato’ Sri Noorhuda Alias, Penasihat Kelab PROSPEC KPM; Dato’ Ahmad Firdaus Baharuddin dan Setiausaha Bahagian KPM.

Fadhlina berkata, Prospec KPM berperanan sebagai kelab sokongan yang akan menyebarkan mesej kemerdekaan.

“Kelab ini menyebarkan mesej bahawa pesonafikasi jiwa Merdeka kepada anak Malaysia dalam konteks membangunkan negara dan penghayatan kemerdekaan,” katanya.

Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya antara kelab penjawat awam dengan jenama FAZURA khusus untuk sambutan Hari Kebangsaan.

Besar harapan agar lebih banyak kerjasama seperti ini akan diteroka demi kebaikan bersama, terutama dalam memperkukuhkan kerjasama awam-swasta yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Tudung ini dijual pada harga RM27 setiap satu dan menggunakan material Japanese cotton voile bidang 46.

Organisasi awam dan swasta yang berminat untuk mendapatkan koleksi ini dengan harga korporat hubungi wakil PROSPEC KPM melalui WhatsApp di 017-4469726 untuk maklumat lanjut.

Pembelian secara dalam talian pula boleh dibuat di laman web rasmi www.fazura.com, aplikasi FAZURA, dan ShopeeMall FAZURA Official Store.

Penguat kuasa berintegriti, teknologi dalam operasi

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) giat melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) selain turut dalam pelaksanaan ke arah pensijilan MS ISO 37001 Anti Bribery Management System (ABMS).

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, langkah yang dilakukan Maritim Malaysia adalah salah satu daripada usaha Agensi ini bagi memastikan penguat kuasa Maritim

Malaysia melaksanakan tugas dengan penuh bertintegriti khususnya ketika menjalankan operasi di perairan negara.

“Bagi memastikan tiada pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP), penguat kuasa yang melaksanakan tugas di lapangan akan memakai kamera badan (body worn camera) ketika bertugas.

“Sebagai permulaan ia digunakan oleh penguat kuasa Maritim Malaysia yang mengiringi wang milik Bank Simpanan Nasional (BSN) ke Pulau Tioman sebelum pelaksanaannya diperluaskan setelah proses perolehan diluluskan Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menyahut hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menekankan agar jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan penerapan integriti kepada seluruh warga jabatan masing-masing ketika beliau berucap sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, semalam.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha KDN serta ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian.

Mengulas lanjut mengenai hasrat Datuk Seri Saifuddin untuk setiap jabatan di bawah KDN menggunakan teknologi dalam operasi, Saiful memaklumkan, Maritim Malaysia telah menggunakan Mobile Surveillance Unit (MSU) atau Unit

Pengawasan Bergerak, yang berfungsi sebagai radar bergerak untuk mengesan aktiviti mencurigakan di perairan negara sekaligus menjadi aset pelengkap pengawasan pantai kepada Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) sedia Ada.

“Maritim Malaysia turut mengoperasikan sistem Cospas Sarsat sejak 2015 melalui Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) yang mampu menerima isyarat kecemasan dari pelbagai jenis beacon,” katanya.

Terdahulu Perhimpunan Bulanan KDN kali ini turut diserikan dengan Pertandingan Akhir IKON Belia KDN Tahun 2024 serta Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang, sebagai persediaan menyambut Hari Kebangsaan ke-67.

Konsert YAPH dan Teman-Teman: Perpaduan Irama Hiphop Tradisional

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Silent Set Entertainment dengan penuh rasa bangga mempersembahkan “Konsert YAPH dan Teman-Teman,” sebuah konsert yang pasti akan meninggalkan kenangan yang mendalam.

Diterajui oleh YAPH, salah satu artis terkemuka di bawah naungan Silent Set Entertainment, konsert ini akan menyaksikan lebih dari 20 artis yang pernah berkolaborasi bersama YAPH, yang akan diumumkan pada bila-bila masa. 

YAPH adalah seorang penyanyi, penulis lagu, dan penerbit yang memilih untuk tidak menunjukkan wajahnya.

Dia mempunyai identiti unik di mana dia lebih suka dikenali kerana bakatnya dan bukan penampilannya.

Dikenali sebagai “SENSEI” oleh peminat setianya, YAPH menghasilkan semua lagunya sendiri, mempersembahkan pelbagai genre termasuk hiphop, tradisional moden, spiritual, balada, dan pop.

Dia juga bersedia menerima cabaran untuk menghasilkan lagu dalam genre yang tidak biasa baginya dan berkolaborasi dalam projek dengan artis lain.

Selain menyanyi, YAPH juga seorang penulis lirik dan penerbit muzik.

Konsert ini menjanjikan lebih dari 27 lagu yang menggabungkan irama hiphop moden dengan sentuhan muzik tradisional Malaysia.

Setiap lagu dipilih dengan teliti untuk memberikan pengalaman muzik yang luar biasa, menghidupkan semula warisan budaya yang kaya dengan elemen-elemen kontemporari yang segar.

Disokong oleh Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Venture Sdn. Bhd., konsert ini adalah bukti nyata bagaimana muzik dapat menjadi jambatan yang menghubungkan generasi dan budaya.

Di bawah pengarah muzik muda yang penuh inspirasi, Aliff Redza, konsert ini akan dimainkan secara live menampilkan Bunyi FX bersama pemuzik profesional dan pemuzik tradisional dari seluruh pelosok Malaysia, menjadikan persembahan ini sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.

Berkongsi mengenai tujuan konsert kali ini YAPH berkata, Naskhah MRPHN sudah berakhir dan 2 tahun kebelakangan ini dia telah mengadakan 2 konsert solo termasuk beberapa konsert jelajah negeri dan Alhamdulillah kesemuanya ‘full house’ dan lebih 3000 pengunjung bagi kesemua konsert atau acara persembahan.

“Kali ini saya ingin bawakan teman-teman seperjuangan dalam menghasilkan muzik yang sudah melebihi 7 tahun ke konsert saya sebagai tanda menghargai mereka selain mewar-warkan kepada penyokong saya yang hadir pada malam itu, mereka inilah antara peneman perjalanan muzik saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Silent Set Entertainment selaku penganjur konsert Zulakid Aizat berkata, persembahan itu adalah kejutan dan hadiah buat peminat YAPH.

“Silent Set Entertainment juga ingin menawarkan kepelbagaian dan pilihan konsert hiburan yang berlainan buat rakyat Malaysia, bukan sekadar konsep yang sama bagi setiap siri konsert.

“Bukan sahaja YAPH yang misteri, penyokong beliau juga misteri sehinggakan setiap kali konsert dan konsert jelajah yang diadakan, kami ternanti-nantikan siapa yang akan hadir.

“Dari peringkat usia awal 20-an dan ada yang sudah menjangkau usia 55 tahun pernah hadir ke konsert solo dan konsert jelajah beliau.

“Itu belum lagi yang kami dapat kesan pendengar lagu beliau yang paling tua kami dapat tahu adalah seorang pakcik berusia 75 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di salah satu IPT terkemuka di ibu kota,” katanya.

Silent Set Entertainment yakin bahawa konsert ini akan menghidupkan semangat dan imaginasi penonton, sambil menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai dan meneroka muzik tradisional Malaysia.

Keajaiban dan kejutan menanti di setiap sudut konsert ini, membawa penonton dalam perjalanan muzik yang penuh misteri dan pesona.

Pelbagai aktiviti semasa dan sebelum konsert akan diadakan, antaranya program Adiguru peralatan muzik tradisional, bengkel penulisan puisi, bengkel penghasilan dan penulisan zine, pertandingan reka busana, dan banyak lagi yang akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

“Kami menjemput semua peminat muzik dan budaya untuk menyertai kami dalam “Konsert YAPH dan Teman-Teman” dan menjadi sebahagian dari sejarah baru dalam industri muzik Malaysia. 

“Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini dan pengumuman artis yang terbabit, layari laman web rasmi Silent Set Entertainment atau ikuti media sosial dan nantikan pengumuman seterusnya melalui saluran komunikasi rasmi.

Konsert akan berlangsung pada 26 Oktober jam 8 malam di RCD Big Studio, Shah Alam, Selangor.

Harga Tiket bermula daripada RM249 (Menjelang Siang), RM149 (Merayu Senja), RM99 (Hening Malam).

Hampir maut tercekik tulang ikan, penyanyi opera berjaya diselamatkan

editormaxinfo@gmail.com

BEIJING – Penyanyi opera Perancis, Laurent Ban hampir maut apabila tercekik tulang ikan, namun dia berjaya diselamatkan oleh seorang doktor di China yang bertindak pantas.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, tindakan pantas doktor lelaki di Shanghai itu mengundang reaksi positif di media sosial China.

Ban mengadakan persembahan di Shanghai sebagai salah seorang penyanyi utama dalam muzikal Mozart l’opéra rock.

Pada kejadian yang berlaku pertengahan Julai itu, tulang ikan tersangkut di kerongkongnya ketika sedang makan ikan sungai iaitu hidangan biasa di China.

Menurut Shanghai TV, Ban dikejarkan ke Hospital Ruijin di bandar untuk mendapatkan rawatan.

Di sana, doktor muda Chen Yongxuan di hospital membantu mengeluarkan tulang tersangkut di tekaknya.

“Terharu kerana menerima bantuan kamu, doktor.

“Saya adalah pelakon penyanyi opera yang kamu selamatkan semalam dengan tulang ikan di tekak,” Ban dipetik sebagai berkata.

“Saya ingin memberitahu kamu bahawa kamu sudah menyelamatkan saya, sudah tentu, dan juga persembahan itu, kerana saya masih boleh menyanyi dalam persembahan pada malam yang sama.

“Kamu hebat, sangat profesional. Terima kasih banyak. Jumpa lagi nanti apabila saya pergi ke Shanghai. Saya akan mengundang kamu ke persembahan baharu saya,” kata Ban.

Penyanyi Perancis berusia 49 tahun itu menjadi popular di media sosial di China.

Dia ke China beberapa kali dalam tempoh dua dekad yang lalu sejak pertama kali datang membuat persembahan pada 2005.

Dia dikenali sebagai Lao Hang Ban, yang bermaksud ‘penerbangan lama’ dalam bahasa Mandarin, kerana sebutan nama Perancisnya kedengaran seperti tiga huruf Cina itu.

NCT Group perkenal Hotel 1001 Nights, Koleksi Trademark terbaharu oleh Wyndham

editormaxinfo@gmail.com

PUCHONG – Grand Ion Majestic (GIM) terus membawa nama Genting Highlands ke tahap yang lebih tinggi dengan menampilkan Hotel 1001 Nights, yang terbaharu dalam Koleksi Trademark oleh Wyndham yang dilancarkan oleh pemenang anugerah pemaju, NCT Group of Companies (NCT Group).

Mengambil kira permintaan pengguna untuk pengalaman mewah yang unik, Hotel 1001 Nights direka konsepnya oleh pakar penjenamaan terkenal, Profesor Zhao Ming, Pengasas & Pengerusi Jiangda Design Co. Ltd, China, yang dijangka akan mengubah GIM.

Majlis itu juga diadakan untuk menyambut istiadat ‘topping out’ bagi GIM, iaitu satu tradisi dalam industri pembinaan yang menandakan titik baharu apabila bahagian terakhir struktur bangunan telah disiapkan, dan bermulanya fasa seterusnya.

Dibina dengan kerjasama China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd (CSCEC), GIM mencerminkan kepakaran dan teknologi hijau yang canggih dari syarikat pembinaan terbesar di dunia sekaligus meningkatkan integriti struktur dan reka bentuk bangunan berkenaan.

Selepas selesai pembinaan, Hotel 1001 Nights akan menyumbang kepada peningkatan reputasi Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan yang popular.

Penglibatan CSCEC dan Profesor Zhao Ming adalah bukti kukuh hubungan erat antara China dan Malaysia yang mencerminkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan alam sekitar dan inovasi dalam industri pembinaan.

Kedua-dua negara ini telah meraikan 50 tahun hubungan yang berakar umbi tahun ini, yang melambangkan hubungan budaya dan sejarah, serta semangat kerjasama.

Pengasas dan Pengarah Urusan NCT Group Dato’ Sri Yap Ngan Choy berkata, pihaknya menekankan kepentingan acara ini dengan menyatakan pelancaran Hotel 1001 Nights di bawah Koleksi Trademark oleh Wyndham menandakan pencapaian tertinggi bagi NCT Group.

“Kami telah menaikkan penanda aras dalam sektor hospitaliti mewah dan menjadikan Genting Highlands sebagai sebuah destinasi pilihan pelancong dan pengembara yang mencari sesuatu yang luar biasa.

“Dengan kemahiran pakar penjenamaan Profesor Zhao Ming yang telah berjaya mengaspirasikan serta mencipta keajaiban seni bina yang melambangkan dekad kecemerlangan yang telah menjadi komitmen dan reputasi cemerlang NCT Group dalam pembangunan hartanah,” katanya.

Yap berkata, dengan memperkasakan tawaran hospitaliti dan mempamerkan warisan budaya dan semula jadi Malaysia, Hotel 1001 Nights di GIM akan menyumbang secara efektif untuk mencapai jumlah pelancongan yang dijangka, sambil meningkatkan profil negara di peringkat serantau.

Majlis ‘topping out’ GIM oleh CSCEC telah pun diadakan pada Jun 2024. Pembukaan awal Hotel 1001 Nights akan dijadualkan bermula pada suku keempat tahun 2024.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Pahang bagi Kesatuan, Pelancongan & Kebudayaan; Leong Yu Man, Timbalan Pengerusi, Lembaga Pengarah Tourism Malaysia; Dato’ Yeoh Soon Hin dan Ketua Sekretariat Lawatan Malaysia 2026; Zain Azrai Rashid. 

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar CSCEC Mao Bao Jiang berkata, dengan selesainya pembinaan GIM, ia telah menekankan hubungan kukuh antara CSCEC dan NCT Group.

“Selain daripada komitmen bersama kami terhadap piawaian industri bertaraf dunia, kerjasama antara NCT Group dan CSCEC juga mencerminkan sinergi kuat antara kedua-dua negara.

“Kami optimis mengenai prospek ke hadapan dan berharap untuk lebih banyak kerjasama dan kejayaan yang berterusan bersama NCT,” katanya.

Hotel 1001 Nights adalah sebuah tempat tersimpannya pelbagai kisah yang membawakan pengalaman mewah dengan impak mendalam dari segi emosi kepada pengunjung.

Lobi bertemakan Sungai Bintang dan Taman Pavilion dengan tema Langit dapat memberikan inspirasi dari segi kreativiti, manakala Hall of Human Stories membolehkan tetamu menemui dan memelihara kenangan berharga seumur hidup.

Tersergam indah sebagai bangunan pencakar langit, hotel ini menggambarkan keindahan hidup dan membawa kisah-kisah dunia.

Menurut Profesor Zhao Ming, Pengasas dan Pengerusi Jiangda Design Co. Ltd, China serta Pengarah Perancangan Pusat Penyelidikan Seni dan Reka Bentuk Universiti Tongji, dengan penglibatan pengunjung dalam naratif aspirasi seperti itu, Hotel 1001 Nights akan menjadi tempat tersimpannya pelbagai kisah dan pengalaman manusia yang pelbagai.

“Malaysia giat mempromosikan pelancongan dan mempamerkan kepelbagaian budaya serta perpaduan yang kukuh antara pelbagai etnik.

“Legenda 1001 Malam adalah sebuah naratif berpengaruh kelas dunia yang dilengkapi kepelbagaian budaya Malaysia.

“Mengambil inspirasi dari konsep ini, matlamat kami adalah untuk mengubah GIM menjadi Hotel 1001 Nights, di mana hotel ini berfungsi sebagai platform untuk penceritaan, membentuk pengalaman yang boleh berimaginasi serta menarik bagi semua orang,” katanya.

GIM sedang dibangunkan dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM 1.6 bilion dan akan menampilkan ruang runcit yang berukuran seluas 178,000 kaki persegi menawarkan pelbagai pengalaman membeli-belah dan tempat makan.

GIM, bersama Hotel 1001 Nights, juga dijangka akan meningkatkan kadar pelancongan di Genting Highlands dengan menarik pelbagai jenis pengunjung, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.

Ini sejajar dengan matlamat pelancongan negara, terutamanya inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, yang bertujuan menarik 35.6 juta pelancong.

Pelajar dari China pilih Malaysia lanjut pengajian tinggi

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Malaysia menjadi antara destinasi pilihan utama bagi pelajar dari China untuk melanjutkan pengajian tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata perkara itu didorong oleh pelbagai faktor termasuk kos sara hidup dan pengajian yang berpatutan selain hubungan diplomatik erat antara kedua-dua negara.

Katanya, pelajar dari China mencatatkan permohonan tertinggi untuk mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini dan perkara itu mencerminkan keyakinan mereka terhadap kualiti pendidikan Malaysia.

“Dalam usaha memperkukuh inisiatif pendidikan dengan China, MQA turut menjalin kerjasama bersama Chinese Service Center For Scholarly Exchange (CSCSE) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkuat kerjasama dalam bidang jaminan kualiti dan penilaian.

“Kerjasama itu menekankan komitmen bersama kedua-dua entiti untuk mengekalkan standard kecemerlangan dan mempromosikan pengiktirafan bersama kelayakan dan program yang diiktiraf,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, MQA dan CSCSE terbabit dalam pelbagai usaha kerjasama termasuk memudahkan pertukaran maklumat dan kepakaran mengenai kerangka kelayakan negara serta proses akreditasi mempromosikan kerjasama antarabangsa untuk pengiktirafan kelayakan dan kemahiran yang diperoleh melalui pendidikan tinggi.

Beliau berkata, kerjasama itu juga memberi fokus kepada membangunkan mekanisme yang telus untuk penilaian dan pengiktirafan kelayakan yang diperoleh melalui kerjasama pendidikan antarabangsa.

Katanya, bagi memperkukuhkan pertukaran akademik dan perkongsian antara institusi pendidikan di Malaysia dan China serta berkongsi penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang jaminan kualiti dan penilaian.

“Berdasarkan portal Study in China, mekanisme pengiktirafan bersama program akademik bagi mempromosikan kerjasama dalam pendidikan tinggi memudahkan mobiliti pelajar antara kedua-dua negara.

“Menerusi kerjasama yang termeterai dengan CSCSE, agensi kelayakan dari China itu mengiktiraf semua program yang telah mendapat akreditasi daripada MQA, inisiatif ini mampu menarik lebih ramai pelajar negara itu ke Malaysia,” katanya.

Hampir lima tahun menanti, Rena lega empat lagu ciptaannya dilancarkan

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Tiada istilah terlambat buat pendatang baru, Siti Fazrena atau Rena menyertai industri seni.

Baru sahaja melancarkan mini album yang menampilkan 4 buah lagu di United Kingdom, Rena kembali ke tanah air bagi mempromosikan lagu-lagu yang dicipta sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Penyanyi berusia 32 tahun itu mengakui dia berkarya kerana minat yang mendalam terhadap bidang seni dan bukan untuk mengejar populariti.

Justeru, hampir lima tahun berjaya menghasilkan empat lagu, Rena tidak menyesal apabila lewat melancarkan lagu berkenaan.

“Saya anggap belum terlambat kerana saya menyertai bidang seni sebab minat menyanyi dan menggubah lagu.

“Apabila empat lagu yang saya hasilkan sendiri berjaya dilancarkan ia satu kepuasan apatah lagi saya mengeluarkan modal sendiri untuk menerbitkan ke semua lagu ini,” katanya.

Rena pulang ke Malaysia selama tiga bulan untuk bercuti sambil melancarkan album mininya yang sudahpun di lancarkan di United Kingdom sejak 1 Jun lalu.

“Saya anggap rezeki apabila bertemu dengan Asia Empire Records Malaysia kerana mereka sudi mempromosikan album mini saya di sini.

“Meskipun ke semuanya adalah lagu Inggeris saya berharap ia berjaya mendapat tempat di hati peminat,” katanya.

Menampilkan genre pop, empat lagu yang dihasilkan itu bertajuk Danger, Summer Everyday, Someone dan Take My Hand.

Dalam pada itu, Rena yang sudah 30 tahun menetap di United Kingdom juga berhasrat untuk tampil dengan lagu Melayu.

Malah lagu ciptaan Rena itu juga sudah siap sepenuhnya hanya menunggu mencari penyanyi lelaki yang sesuai untuk berduet dengannya.

“Saya teruja dan tidak kisah berduet dengan sesiapa pun asalkan mereka sudi berduet dengan saya.

“Saya berharap lagu duet Melayu ini dapat dilancarkan selewat-lewatnya hujung tahun ini,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Dalam pada itu, Rena juga teruja apabila 50 stesen radio di Indonesia sudah bersetuju untuk mempromosikan lagu-lagunya.

“Saya gembira apabila Haniff dan Asia Empire Records Malaysia begitu bersungguh-sungguh untuk membantu mempromosikan lagu-lagu saya sehingga ia bakal dimainkan di Indonesia.

“Tidak hanya di Malaysia, saya juga berharap lagu ini mendapat sambutan hangat di Indonesia,” katanya yang juga aktif sebagai model iklan.

Program Pakej 5G Rahmah HONOR 90 Lite bakal berakhir, HONOR 200 Lite akan datang ke Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Telefon pintar 5G HONOR yang terbaharu, paling bergaya dan berpatutan iaitu HONOR 200 Lite akan tiba ke Malaysia tidak lama lagi. 

Kedatangan HONOR 200 Lite juga akan mengakhiri pelan pascabayar Pakej 5G Rahmah HONOR 90 Lite yang amat popular.

Dilancarkan pada tahun lalu, HONOR 90 Lite terbukti menjadi antara telefon pintar popular dalam kalangan rakyat Malaysia dengan pencapaian luar biasa, bukan sekadar pada harga mampu milik bahkan prestasi penuh nilainya yang menawarkan salah satu nisbah harga-ke-prestasi yang terbaik dalam pasaran.  

Telefon pintar HONOR 90 Lite bukan sahaja menjadi pilhan paling popular rakyat Malaysia dalam program Pakej 5G Rahmah, peranti ini juga menjadi antara telefon pintar terkemuka di Malaysia serta menjadi telefon dengan jualan tertinggi secara keseluruhan dalam pasaran di negara ini sepanjang September 2023 sehingga ke Mei 2024.

HONOR 200 Lite menawarkan ciri-ciri yang dipertingkatkan

Bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang mahukan telefon pintar yang bukan sekadar penuh nilai, HONOR 200 Lite meluaskan legasi kukuh HONOR 90 Lite dan didatangkan dengan peningkatan hebat yang dijangka mampu menjadi penanda aras bagi segmen telefon pintar mampu milik.

HONOR 200 Lite yang bakal tiba ini dilengkapi dengan storan besar 512GB, dua kali lebih besar berbanding HONOR 90 Lite, di samping menawarkan paparan yang lebih kukuh.

Jika paparan HONOR 90 Lite hanya menggunakan kaca biasa, HONOR 200 Lite pula diperkasakan dengan Kaca Ultra Kukuh Diperkuatkan yang disertakan dengan Penggantian Retak Depan & Belakang 365 Hari percuma.

Dengan peningkatan yang hebat ini, HONOR 200 Lite juga akan memiliki kesambungan 5G, menjadikannya antara telefon pintar yang amat berpatutan dalam lingkungan julat harganya.