27.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, November 18, 2025

Hampir lima tahun menanti, Rena lega empat lagu ciptaannya dilancarkan

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Tiada istilah terlambat buat pendatang baru, Siti Fazrena atau Rena menyertai industri seni.

Baru sahaja melancarkan mini album yang menampilkan 4 buah lagu di United Kingdom, Rena kembali ke tanah air bagi mempromosikan lagu-lagu yang dicipta sepenuhnya oleh beliau sendiri.

Penyanyi berusia 32 tahun itu mengakui dia berkarya kerana minat yang mendalam terhadap bidang seni dan bukan untuk mengejar populariti.

Justeru, hampir lima tahun berjaya menghasilkan empat lagu, Rena tidak menyesal apabila lewat melancarkan lagu berkenaan.

“Saya anggap belum terlambat kerana saya menyertai bidang seni sebab minat menyanyi dan menggubah lagu.

“Apabila empat lagu yang saya hasilkan sendiri berjaya dilancarkan ia satu kepuasan apatah lagi saya mengeluarkan modal sendiri untuk menerbitkan ke semua lagu ini,” katanya.

Rena pulang ke Malaysia selama tiga bulan untuk bercuti sambil melancarkan album mininya yang sudahpun di lancarkan di United Kingdom sejak 1 Jun lalu.

“Saya anggap rezeki apabila bertemu dengan Asia Empire Records Malaysia kerana mereka sudi mempromosikan album mini saya di sini.

“Meskipun ke semuanya adalah lagu Inggeris saya berharap ia berjaya mendapat tempat di hati peminat,” katanya.

Menampilkan genre pop, empat lagu yang dihasilkan itu bertajuk Danger, Summer Everyday, Someone dan Take My Hand.

Dalam pada itu, Rena yang sudah 30 tahun menetap di United Kingdom juga berhasrat untuk tampil dengan lagu Melayu.

Malah lagu ciptaan Rena itu juga sudah siap sepenuhnya hanya menunggu mencari penyanyi lelaki yang sesuai untuk berduet dengannya.

“Saya teruja dan tidak kisah berduet dengan sesiapa pun asalkan mereka sudi berduet dengan saya.

“Saya berharap lagu duet Melayu ini dapat dilancarkan selewat-lewatnya hujung tahun ini,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Dalam pada itu, Rena juga teruja apabila 50 stesen radio di Indonesia sudah bersetuju untuk mempromosikan lagu-lagunya.

“Saya gembira apabila Haniff dan Asia Empire Records Malaysia begitu bersungguh-sungguh untuk membantu mempromosikan lagu-lagu saya sehingga ia bakal dimainkan di Indonesia.

“Tidak hanya di Malaysia, saya juga berharap lagu ini mendapat sambutan hangat di Indonesia,” katanya yang juga aktif sebagai model iklan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular