28.7 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 186

Konsert malam Hari Merdeka paling epik di Pulau Pinang, Mahardika : Spider x Ella x Masdo bakal cetak sejarah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambutan Malam Merdeka sering dimeriahkan dengan pelbagai konsert di merata-rata tempat. Bagaikan tidak lengkap acara tanpa konsert dan persembahan daripada ramai artis.

Mempersembahkan hiburan yang bukan kosong semata, sebaliknya penuh dengan sepak terajang, perjuangan dan turun naik pemuzik dalam belantika hiburan tempatan sehingga harum nama mereka di Nusantara.

Mengambil semangat perjuangan itu, The Dons Group teruja membawakan konsert Mahardika yang menggabungkan tiga pemuzik ternama negara menerusi sebuah konsert yang julung kali dianjurkan di Pulau Pinang.

Malah, tidak gentar dengan penjualan tiket berikutan banyak konsert percuma pada malam Merdeka, wakil dari The Dons Group, Syed Mohamad atau mesra dengan panggilan Don berkata, sejak dulu Pulau Pinang jarang mengadakan konsert percuma.

“Kita menganjurkan konsert ini di Spice Arena Penang tempat tertutup yang akan menampilkan artis hebat lama dan baru iaitu Spider, Ella dan Masdo.

“Daripada maklum balas yang kami terima sebelum ini, kami yakin dengan sambutan yang bakal diterima. Insya-Allah seramai 10,000 orang akan memenuhi Spice Arena Penang pada malam hari merdeka nanti,” katanya.

Dengan penampilan tiga artis hebat, konsert yang diberi nama Mahardika itu, Don turut menyasarkan konsert berkenaan turut disertai oleh ramai pelancong yang berkunjung dan bercuti ke Penang nanti.

Mahardika : Spider X Ella X Masdo dipercayai akan menjadi konsert terhebat yang pernah dianjurkan The Dons Group pada tahun ini serta bakal melakar sejarah tersendiri dengan bantuan kehadiran peminat.

Don berkata, makna di sebalik pemilihan perkataan Mahardika yang menjadi medan perkongsian panggung oleh Spider, Ella dan Masdo ialah ‘Malam Hari Merdeka’ dan digabungkan menjadi akronim Mahardika.

“Kami yakin kredibiliti tiga artis hebat ini mampu membuatkan Mahardika yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini meriah dengan sorakan dan nyanyian beramai-ramai penonton yang hadir.

“Ketiga-tiga pemuzik ini punya perjuangan dan telah melakar sejarah tersendiri sama ada dalam negara atau di Nusantara.

“Pada masa yang sama kami mahu melihat peminat dalam kalangan pelbagai usia hadir ke Mahardika melihat sendiri betapa hebatnya pemuzik tempatan yang tidak kurang hebatnya dari artis luar,” katanya.

Sementara itu, Mahardika akan menjadi momen terbaik buat Spider bertemu peminat mereka selepas tiga dekad tidak mengadakan persembahan di Pulau Pinang.

Mahardika bukan sahaja akan menjadi kesempatan terbaik buat Spider malah peminat di Pulau Pinang atau Utara dapat bertemu serta melihat persembahan mereka secara langsung selepas tiga dekad tidak membuat persembahan di sana.

Kugiran Masdo dan Ella juga berharap peminat tidak melepaskan peluang hadir ke Mahardika yang diadakan di Spice Arena Penang kerana ini adalah kolaborasi pertama mereka bersama Spider.

Dapatkan tiket di www.ticket2u.com pada harga bermula RM98 (STANDING), RM118 (SILVER ZONE), RM128 (ROCK ZONE), RM148 (PLATINUM), RM198 (GOLD) dan RM350 (VIP).

Boy tekad bawa pulang pingat emas acara memanah recurve 15 tahun ke bawah MSSM

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Diletakkan sebagai peserta bukan pilihan sempena Pertandingan Memanah Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya (MSSWP) bagi acara recurve 15 tahun ke bawah, Muhammad Afza Mohd Amir Khusairi, 13 tahun mengejutkan 48 orang peserta lain dalam kategori yang sama.

Ini kerana Muhammad Afza telah diumumkan sebagai pemanah lelaki terbaik bagi kategori berkenaan sempena temasya yang telah berlangsung dari 16 Julai hingga 19 Julai lalu.

Sinonim dengan panggilan Boy, remaja ini telah berjaya mengutip mata keseluruhan kejohanan hampir 1,200 mata apabila memenangi pingat perak acara 60 meter, pingat emas acara 40 meter, pingat emas acara 30 meter, pingat emas acara Olympic Round (OR) dan tempat kedua (perak) acara beregu campuran.

Boy yang kini menuntut di tingkatan satu Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) turut memaklumkan rasa terkejut dan tidak menyangka dengan keputusan itu memandangkan ini adalah kali pertama dia menyertai acara bagi kategori 15 tahun ke bawah.

Boy turut menanam keazaman untuk memberikan saingan sengit kepada peserta Pertandingan Memanah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024 bagi kategori 15 tahun ke bawah yang akan berlangsung di Johor pada September depan.

Anak ketiga daripada empat orang adik beradik ini turut bertekad untuk membawa pulang pingat emas sempena kejohanan berkenaan sekaligus mengimpikan terpilih sebagai atlet pelapis yang akan mewakili negara suatu hari nanti.

Saksikan pengembaraan ajaib dengan cabaran dan bakat baharu dalam ‘Legenda Puteri Qaseh’ musim kedua

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Siri yang pernah memenangi anugerah yang ditayangkan di Astro Ceria, ‘Legenda Puteri Qaseh’ bakal menemui penonton untuk musim kedua.

Bakal menemui penonton mulai esok, 22 Julai, jam 9 malam siri ini akan disiarkan di saluran Astro Ceria dan Astro Prima.

‘Legenda Puteri Qaseh’ musim kedua membawa kisah dunia khayalan ajaib yang padat dengan elemen komedi dan plot twist dalam setiap episod.

Musim terbaharu ini turut memperkenalkan barisan watak baharu oleh pelakon berbakat termasuk Hun Haqeem, Dini Schatzmann dan Ozlynn Waty.

Memberikan lakonan terbaik dalam menghidupkan watak, musim terbaharu ini turut menampilkan barisan pelakon berpengalaman serta yang meningkat naik termasuk Datin Lisa Surihani, Norman Hakim, Aziz M Osman, Chelsia Ng, Bella Dowanna dan ramai lagi.

Drama ini mengisahkan tentang Qaseh, pewaris takhta kerajaan Kayajaya, menghadapi cabaran baharu.

Penyakit luar biasa yang dipanggil ‘Wabak Achum’ menimpa seluruh kerajaannya, memaksa Qaseh untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan Nusaria.

Sementara itu, Andika yang telah hilang muncul semula dan berkomplot dengan Raja Sulong untuk merampas takhta Qaseh.

Ditemani rakan setianya, Laila dan Wan, seorang pengawal peribadi, Qaseh mengharungi perjalanan penuh cabaran ke Nusaria.

Di sepanjang jalan ke Nusaria, mereka berjaya menghalang orang-orang Andika daripada menculik Qaseh. Di Nusaria, mereka bertemu Permaisuri Baiduri dan anaknya, Putera Amal, seorang pakar kimia.

Putera Amal mula mengusahakan penawar untuk Wabak Achum, tetapi ia menjadi rumit apabila Permaisuri Baiduri ingin mencari jodoh buatnya.

Kisah ini terungkap dengan lebih banyak pengembaraan, cabaran dan hubungan yang rumit.

Terdahulu pada penerbitan musim pertamanya siri ini telah memenangi beberapa anugerah, termasuklah ContentAsia Awards 2023 untuk Anugerah Gangsa untuk program TV Kanak-kanak Terbaik Buatan Asia dan Asian Academy Creative Awards 2023 bagi kategori Pemenang Nasional Program Kanak-Kanak Terbaik.

Ahli UMNO jangan rosakkan parti dengan percaya dakyah pembangkang – Mahdzir Khalid

editormaxinfo@gmail.com

KUALA NERANG – Ahli UMNO diingatkan agar tidak merosakkan parti sendiri dengan menerima dan percaya bulat-bulat dakyah pembangkang yang bertujuan memburukkan kepimpinan UMNO disemua peringkat Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setiap khabar yang diterima terutama dari media sosial, perlu disemak terlebih dahulu agar tidak terpedaya hingga termakan mainan pembangkang.

Katanya, setiap ahli UMNO perlu mengawal perasaan amarah dan emosi bagi menilai setiap khabar disampaikan agar mereka tidak tersilap langkah dalam mengambil tindakan hingga melemahkan parti.

“Kadang-kadang sesebuah parti itu kelihatan lesu bukan disebabkan kekuatan pihak lawan tetapi kerana tindakan ahlinya sendiri.

“Apabila datang dakyah dari pembangkang, macam mudah sangat nak percaya bulat-bulat sedangkan kita tak berusaha mencari kebenarannya dengan menyemak semula berita itu.

“Pada akhirnya kita tidak sedar sedang dipermainkan oleh pihak yang mahu menjahanamkan parti ini.

“Cerita seperti ini mudah tersebar di media sosial, malah di kedai-kedai makan dan kita sebagai individu yang berfikiran waras perlu menilai mengesahkan kesahihannya terlebih dulu sebelum menerima bulat-bulat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap 2024, hari ini.

Sementara itu Mahdzir berkata, tindakan UMNO Bahagian Alor Setar mengusulkan supaya diwujudkan jawatan Timbalan Pengerusi Penyelaras Pembangunan Negeri dan mencalonkan namanya bagi membantu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang bertindak sebagai pengerusi, mungkin dibuat bagi memastikan terdapat kolaborasi antara Persekutuan dan negeri.

“Mereka melihat mungkin perlu ada koordinasi lebih baik kerana apabila projek pembangunan Persekutuan datang ke Kedah, ia akan berpusat di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Kemudian apabila projek itu hendak dilaksanakan, yang nak menyambutnya adalah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Apabila itu berlaku, nampak seolah-olah tiada pihak yang hendak mengendalikan pelaksanaan projek terbabit bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Hanya yang ada cuma menteri itu saja dan mungkin itulah yang menjadi pertimbangan mereka (UMNO Bahagian Alor Setar),” katanya.

Mengulas mengenai usul yang dibuat UMNO Bahagian sama agar UMNO kembali diberikan kerusi Parlimen Alor Setar serta salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ, Mahdzir berkata parti itu memiliki hak untuk membuat permintaan itu.

“Kita ada hak untuk minta dan tiada salahnya untuk UMNO Alor Setar berbuat demikian.

“Tak ada salahnya untuk kita menilai semula kesesuaian parti mana yang harus bertanding di Parlimen dan DUN terbabit, atau mana-mana kawasan demi kebaikan bersama.

“Semua ini bagi memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan perkara sebegini tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang membawa kepada perpecahan,” katanya.

Selesai siri jelajah promosi single ‘Perih Jerih’ di Indonesia, Masdo sertai Playtime Festival & Round Festival di luar negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Baharu sahaja selesai melewati beberapa provinsi di Indonesia dalam siri jelajah ‘Perih Jerih Indonesia Promo Tour’ di Bandung, Jakarta, Yogyakarta dan Bali, Masdo terbang pula ke Ulaanbaatar, Mongolia dari 3 hingga 5 Julai lalu demi menjayakan Playtime Festival.

Sejurus itu mereka terus ke Busan, Korea Selatan untuk membuat persembahan di Round Festival (ASEAN Korea Music Festival) dari 6 hingga 10 Julai.

Masdo yang dianggotai oleh Ali Sariah (vokalis), Putu Ceri (bass) dan juga Asmawi (gitaris) berkata mereka berasa bersyukur dan teruja.

“Kami sangat teruja dengan ‘Masdo Perih Jerih Indonesia Promo Tour’ pada kali ini kerana selain promo di radio, kami juga dapat membuat persembahan secara ‘intimasi’ bersama peminat di Indonesia, serta turut berpeluang ke kota-kota besar seperti Bandung, Jakarta, Jogja dan Bali.

“Di antara momen yang terkesan buat kami adalah sewaktu membuat persembahan di kafe JRNY Coffee & Records, Jogja kerana walaupun pertama kali kesitu, energi ‘vibe’ peminat yang hadir pada malam itu sangat memberi kesan positif dan meninggalkan kesan yang mendalam, kerana ada yang hadir sejauh 7 jam dari Kota Jogja.

“Kami yakin dengan pendekatan sebegini, tidak mustahil untuk Masdo mendapat tempat lebih besar di pasaran Indonesia, dan jutaan terima kasih buat Warner Music Malaysia dan Indonesia, Enrich serta Klook kerana membantu dan memudahkan perjalanan kami di sana,” kata Ali Sariah.

Sejurus selesai siri jelajah promosi di Indonesia, Masdo harus mempersiapkan diri pula untuk melakukan persembahan di Ulaanbaatar, Mongolia dan juga Busan, Korea Selatan.

Putu Ceri berkata, mereka sangat bersyukur kerana single Perih Jerih mendapat sambutan walaupun kedengaran berbeza dengan single lain yang pernah dihasilkan, rata-rata pendengar suka dengan kematangan dalam setiap karya Masdo.

“Walaupun penat, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat kami untuk membuat persediaan di Mongolia dan Korea Selatan.

“Kami lebih fokus untuk memberi impak dalam persembahan dan mencari kelainan dengan membuat rujukan dari persembahan artis-artis terkenal antarabangsa, melihat bagaimana mereka mengelola pentas yang besar.

“Sewaktu berada di Playtime Festival (Mongolia), walaupun berlainan bahasa, penonton tetap ‘enjoy’ dan mereka sempat melaungkan ‘ehhh, ahhh’ beramai-ramai, manakala peluang dapat membuat persembahan di Round Festival (Korea Selatan) adalah sebuah penghormatan buat kami kerana sebaris dengan nama-nama besar di arena antarabangsa.

“Untuk Round Festival, kami mendapat jemputan eksklusif dari Korean Broadcasting System (KBS) dan Masdo mewakili Malaysia di antara 11 negara ASEAN yang turut dijemput,” katanya.

Penyertaan Masdo di kedua-dua festival berkenaan mendapat perhatian Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, Masdo telah berjaya membawa nama Malaysia ke ‘platform’ antarabangsa di Korea Selatan, dan gaya unik mereka memberi tumpuan terhadap tenaga kerja artistik negara.

“Teruslah membuat negara bangga, syabas,” katanya.

Processed with VSCO with k3 preset

Sepulangnya Masdo ke tanah air, mereka sudah pun merencanakan beberapa projek untuk tahun 2025, di antaranya sebuah album penuh sempena ulang tahun penubuhan mereka yang ke-10, yang akan disusuli dengan siri jelajah di serata Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Sementara itu, Asmawi berkata, mereka berharap dengan penyertaan festival-festival antarabangsa ini dapat membuka jalan dalam membuktikan bahawa muzik Malaysia juga setara dengan negara lain.

“Dengan penyertaan ini kami juga berharap dapat menimba banyak lagi ilmu kerana misi kami adalah mencari kelebihan dan cuba menutupi kekurangan dalam setiap perjalanan bermuzik Masdo,” katanya.

Beri nafas baharu lagu “Di Pinggir Kayangan”, Aishah nyanyi semula lagu asal Allahyarham Datuk Sharifah Aini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Merakamkan semula lagu-lagu lama yang pernah dipopularkan oleh artis-artis legenda adalah satu perkara biasa.

Ramai penyanyi di seluruh dunia yang kerap melakukan sedemikian. Ini kerana lagu-lagu lama ini mempunyai irama yang tidak lapuk ditelan zaman.

Apatah lagi selepas diberi nafas baharu, semakin ramai generasi masa kini yang dapat menghargai karya-karya emas ini.

Namun begitu, tidak semua penyanyi baharu berjaya menjadikan lagu-lagu rakaman semula sebagai karya yang mudah diingati.

Ada beberapa rakaman semula yang gagal serta tidak diketahui dan ada juga yang berjaya mencuri perhatian. Hanya beberapa penyanyi hebat sahaja yang mampu menghidupkan semula karya-karya lama ini.

Antara yang mahu melakukan perkara ini adalah salah seorang penyanyi senior Malaysia yang dikenali dengan vokalnya yang luar biasa, iaitu Dato’ Aishah.

Pernah menembusi pasaran antarabangsa di zaman mudanya bersama kumpulan The Fan Club, Dato’ Aishah kembali dengan rakaman semula lagu “Di Pinggir Kayangan” yang pernah dibawakan oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.

“Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya sangat meminati suara beliau dan pernah berpeluang berkongsi pentas yang sama dengan arwah.

“Di Pinggir Kayangan” adalah sebuah lagu cinta yang mempunyai semangat positif dan gembira serta lenggok kemelayuan yang sangat merdu,” kata Aishah sambil menjelaskan mengapa beliau memilih lagu ini untuk dirakam semula.

Selain itu beliau juga mahu anak-anak muda masa kini mengenali lagu-lagu lama yang bagus.

“Lagu-lagu seperti “Di Pinggir Kayangan” adalah sebuah lagu yang harus diperkenalkan semula kepada generasi baru. Ia begitu bermakna buat saya kerana ia mengingatkan saya kepada idola saya itu,” katanya lagi.

Oleh kerana ia adalah rakaman semula dengan nafas baharu, terdapat beberapa perbezaan ketara dalam versi Dato’ Aishah.

“Akan kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan sudah semestinya suara saya berbeza dari suara penyanyi asal. Lagu juga dirakamkan dalam nota yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan yang asal,” katanya tentang versi baharu lagu berkenaan.

Saat ditanya tentang harapannya untuk projek terbaharunya ini, beliau menyatakan bahawa mahu lagu ini diterima baik oleh semua.

“Semoga lagu-lagu seperti “Di Pinggir Kayangan” ini akan mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda dan sudah tentunya pendengar yang lebih senior juga.

“Bila kita dapat menghayati lagu-lagu lama barulah kita dapat kemajuan mencipta lagu-lagu baharu,” katanya.

Sudahpun dilancarkan semalam, “Di Pinggir Kayangan” versi Aishah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Yayasan Datuk Malaysia teruskan usaha bantu masyarakat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Terus bergerak kehadapan dengan memantapkan visi dan misinya, Yayasan Datuk Malaysia (YDM) sentiasa berusaha dalam menguatkan rantaian perniagaan dan sumbangan mereka kepada masyarakat dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, teknologi, pertanian dan pelbagai lagi.

Presiden YDM, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir berkata, YDM yang dianggotai lebih daripada 400 ahli itu terdiri daripada pelbagai latar belakang berpengalaman, khususnya dalam bidang perniagaan.

Ahli ini telah bergerak aktif bagi menjayakan setiap aktiviti dan program yang telah di rancang dan akan dianjurkan pada masa akan datang.

“YDM ditubuhkan untuk membantu masyarakat yang memerlukan disamping menguatkan lagi perniagaan agar kita dapat memberi kembali kepada orang yang kurang bernasib baik.

“Terbuka kepada semua kaum, kami juga menerima sesiapa sahaja yang mempunyai perniagaan dan berminat untuk menyertai yayasan ini.

“Ada yang tidak mempunyai status Datuk tetapi mempunyai perniagaan dan bakal dianugerahkan status berkenaan juga diterima untuk menyertai kami.    

“Selain bidang perniagaan, ahli YDM juga terdiri daripada pelbagai bidang lain antaranya pendidikan, perundangan, politik dan pelbagai lagi profesionalism yang lain,” katanya.

Syed Yusof berkata,  YDM memiliki objektifnya sendiri dan masing-masing menyimpan hasrat untuk menabur bakti bukan sahaja dengan menganjurkan kerja-kerja amal tetapi juga membantu aktiviti sosial dan membantu persatuan yang memerlukan pertolongan.

“Dengan pertambahan ahli, ini adalah masa yang sesuai dan tepat bagi kami untuk memberi sumbangan kembali kepada komuniti yang memerlukann” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pengumpulan dana bagi kelangsungan YDM, Syed Yusof berkata, mereka tidak bergantung dengan dana dan sumbangan orang ramai.

Sebaliknya, sumber kewangan YDM diperkasakan oleh sumbangan daripada ahli-ahli mereka sendiri.                                     

Katanya, YDM turut menyasarkan peningkatan seramai 1000 ahli di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Peralatan latihan lapuk sukarkan TVET penuhi keperluan industri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Bakat Johor (Johor Talent Development Council (JTDC) yang akan di tubuhkan bagi menyokong pembangunan Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam konteks pembangunan bakat wajar di beri pujian dan di sokong semua pihak khususnya pemain industri dan institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Semakin jelas dengan kewujudan Majlis TVET Negara (MTVET) yang di terajui Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga selaku Pengerusi MTVET berjaya mengarusperdanakan TVET di semua peringkat khususnya dalam soal merancang pembangunan ekonomi di peringkat nasional dan negeri.

Tidak di nafikan keghairahan semua pihak menjulang TVET memberikan impak besar kepada penerimaan masyarakat.

Namun, terdapat satu cabaran terbesar yang jarang di bincangkan dan di ambil tindakan iaitu kesan peralatan latihan TVET lapuk terhadap usaha memenuhi keperluan industri.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan berkata, apabila menyentuh soal pembangunan bakat berkemahiran, ada keperluan mendesak untuk meneroka cabaran yang dihadapi oleh institusi TVET disebabkan peralatan latihan yang lapuk, dan cara ia memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk memenuhi piawaian dan permintaan industri.

“Dalam era teknologi yang mengubah cara kehidupan dan cara bekerja, pelaksana Institusi TVET tidak perlu takut dan pemalu dalam mengetengahkan kepentingan memodenkan kemudahan latihan dan keperluan untuk melabur dalam peralatan terkini untuk memastikan graduan TVET bersedia untuk tenaga kerja.

“Di dunia teknologi dan inovasi yang pantas, industri sentiasa berkembang untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Kemahiran teknikal dan vokasional menjadi semakin penting, dan peranan institusi TVET dalam menyediakan latihan yang berkaitan tidak pernah menjadi lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, katanya, satu hal utama yang menghalang institusi ini ialah peralatan latihan yang ketinggalan zaman.

“Kekurangan peralatan moden dan terkini di institusi TVET menimbulkan cabaran besar kepada pelajar dan tenaga pengajar.

“Ia bukan sahaja menghalang proses pembelajaran, malah turut menjejaskan kualiti bakal pekerja mahir yang memasuki alam pekerjaan.

“Industri sentiasa mencari individu berkemahiran tinggi dan berkebolehan yang boleh menyesuaikan diri dengan teknologi dan amalan baharu.

“Tanpa akses kepada peralatan terkini, graduan TVET mungkin mendapati diri mereka tidak lengkap untuk memenuhi tuntutan ini,” katanya.

Justeru, katanya, peralatan latihan TVET yang lapuk juga menghalang usaha institusi untuk menyelaraskan kurikulum mereka dengan piawaian industri.

“Apabila industri terus maju, kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk pelbagai profesion turut berkembang.

“Tanpa peralatan yang diperlukan untuk menyediakan latihan praktikal selaras dengan perubahan ini, institusi TVET bergelut untuk mengikuti keperluan industri dan akhirnya membawa kepada jurang antara apa yang diajar di dalam bilik latihan dan apa yang diperlukan di tempat kerja.

“Tambahan pula, kekurangan peralatan latihan moden boleh menghalang pelajar daripada mengikuti pendidikan teknikal dan vokasional,” katanya.

Beliau berkata, dalam era digital hari ini, pelajar sudah terbiasa belajar dengan teknologi dan alatan termaju. Apabila mereka berhadapan dengan peralatan lapuk di institusi TVET, mereka mungkin menganggap latihan itu tidak relevan atau ketinggalan zaman, menjauhkan mereka daripada laluan kerjaya yang berpotensi dalam bidang teknikal.

“Untuk menangani cabaran ini, pelaburan dalam memodenkan peralatan latihan TVET adalah penting. Dengan menyediakan pelajar akses kepada alat dan teknologi terkini, institusi boleh meningkatkan pengalaman pembelajaran dan menyediakan graduan dengan lebih baik untuk tenaga kerja.

“Dilengkapi dengan peralatan terkini, pelajar boleh memperoleh kemahiran praktikal yang secara langsung menterjemah kepada permintaan industri, menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.

“Selain itu, memodenkan peralatan latihan TVET membolehkan institusi mengikuti perkembangan teknologi dan trend industri.

“Dengan mengikuti perkembangan terkini dengan alatan dan amalan terkini, tenaga pengajar boleh memastikan kurikulum mereka kekal relevan dan memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin berkembang,” katanya.

Katanya, penyelarasan antara keperluan latihan dan industri ini adalah penting untuk melahirkan graduan yang cekap dan sedia bekerja.

Kesimpulannya, kesan peralatan latihan TVET yang lapuk terhadap usaha pematuhan industri tidak boleh diabaikan.

“Untuk merapatkan jurang antara latihan dan tuntutan industri, adalah penting bagi institusi untuk melabur dalam memodenkan kemudahan latihan mereka.

“Dengan menyediakan pelajar akses kepada peralatan terkini, institusi TVET boleh menyediakan graduan dengan lebih baik untuk tenaga kerja, memastikan penjajaran dengan piawaian industri, dan akhirnya menyumbang kepada tenaga kerja yang lebih mahir dan berdaya saing,” katanya.

Maritim Malaysia aktifkan CARILAMAT insiden pelanggaran MT HAFNIA NILE dan MT CERES 1

editormaxinfo@gmail.com

TANJUNG SEDILI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menggerakkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi insiden perlanggaran kapal MT HAFNIA NILE dengan MT CERES 1 di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau pada jam 6.55 pagi, hari ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, berikutan insiden terbabit, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian.

Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) telah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Niah, Bot PERKASA 29 bot PETIR 12 dari Maritim Malaysia, KD GEMPITA dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ke lokasi kejadian untuk tindakan CARILAMAT kedua-dua kapal terbabit.

“Aset Maritim Malaysia, bot PERKASA 29 telah tiba di lokasi insiden pada jam 9.50 pagi dan menemui kedua-dua kapal terbabit.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan berkenaan insiden bagi tindakan lanjut sekiranya berlaku tumpahan minyak.

“Pegawai dan anggota yang bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) juga diarahkan untuk melaksanakan pemantauan di sekitar kawasan berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful memaklumkan satu sidang media dijangka diadakan di Tanjung Sedili pada esok hari.

“Segala perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.