29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 187

Fokus hala tuju pushbike, M8 Pushbike dan ZK Racing bakal adakan perlumbaan pocketbike

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebagai langkah dalam meneruskan kesinambungan sukan dua roda ke arah permotoran, M8 Pushbike dan ZK Racing bakal bekerjasama mengadakan perlumbaan pocketbike berskala besar yang akan diumumkan kelak.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, kedua-dua pihak sentiasa berbincang mengenai hala tuju pelumba pushbike di masa hadapan dan berpendapat bahawa kesinambungan dari sukan pushbike adalah ke platform perlumbaan motosikal seperti MiniGP.

Dalam masa terdekat ini juga, M8 sedang giat melaras acara Come & Try bagi pelumba pushbike merasai pengalaman menunggang jentera Pocketbike yang berkemungkinan akan diadakan pada awal Ogos depan sempena FIM MiniGP Malaysia Pusingan 4.

“M8 akan menganjurkan kejuaraan Pocketbike dan dibantu oleh ZK Racing selaku pasukan teknikal yang akan membantu di dalam pengoperasian serta mengendalikan jentera, latihan dan sebagainya.

“Kerjasama ini akan melengkapkan transasi dari sebuah basikal imbang iaitu pushbike ke pocketbike yang berenjin dan size yang lebih kecil dibandingkan dengan MiniGP.

“Objektif utama kolaborasi ini salah satunya adalah kesinambungan karier seorang pelumba pushbike ke sukan dua roda sekali gus melahirkan lebih ramai pelumba motorsikal negara di masa hadapan,” katanya.

Wan Mohd Muzri Ramli berkata demikian ketika ditemui di M8 International Pushbike GP Series yang berlangsung di Langkawi, baru-baru ini.

Dalam acara sukan bertaraf antarabangsa yang berlangsung selama dua hari itu, seramai 400 peserta dari empat negara seperti Indonesia, Thailand, Singapore dan Malaysia berentap merebut kejuaraan.

Lebih membanggakan, pasukan M8 Malaysia berjaya mengungguli lima daripada sembilan kategori yang dipertandingkan termasuk kejayaan hero cilik, Maleeq Dragster, Mikayla 44 dan Dayyan Adam dalam kategori masing-masing.

“Terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pelancongan yang  menyokong M8 International Pushbike Gp Series yang diadakan di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), baru-baru ini.

“Pertandingan M8 International akan diadakan sekali lagi di Langkawi tahun hadapan bagi menggalakkan program pelancongan dan sukan di Langkawi.

“Kerjasama antara M8 Eagle Pushbike, M8 Malaysia, ZK Racing dan Lada pastinya memberi daya tarikan yang lebih terbaik pada 2025 nanti,” katanya.

Laksana pelan penstrukturan semula aset RM4 billion, KPF tangani isu jualan saham anggota dalam masa 6 ke 9 bulan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Isu jualan saham KPF akan diselesaikan dalam masa enam hingga sembilan bulan.

Pengerusi Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) Dato’ Mohd Banuri Aris berkata, anggota KPF yang belum menerima hasil jualan saham akan menerimanya dalam tempoh terbabit.

“KPF sememangnya komited untuk menyelesaikan tunggakan pengeluaran saham bernilai RM200 juta kepada anggotanya.

“Bermula 10 Julai lalu, KPF telah membuat pembayaran sebanyak RM20 juta bagi permohonan yang diutamakan seperti permohonan haji, sakit kritikal, tuntutan kritikal, masalah kewangan, dan khairat kematian.

“Bagaimanapun, KPF akan terus komited untuk membuat pembayaran selebihnya secara berkala mengikut sistem penggiliran dan ketersediaan tunai.

“Justeru itu, KPF kini sedang dan akan melaksanakan pelan penstrukturan semula aset bernilai RM4 billion untuk memenuhi keperluan tunai semasa dan merancang pendapatan mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan yang telah diumumkan oleh Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-43 Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) baru-baru ini, berkenaan isu terbabit.

Katanya, pelbagai inisiatif dan strategi yang sedang dan akan dilaksanakan ini adalah untuk memastikan koperasi ini kekal relevan sekaligus memastikan pelaburan anggotanya dan juga peneroka Felda diletakkan dalam aset pelaburan yang dapat memberi pulangan yang mampan serta kadar dividen yang lebih baik.

“Pelan tindakan utama yang sedang dilakukan adalah mengenal pasti dan mencairkan aset yang tidak menjana pulangan yang sepatutnya, penjualan ladang KPF Samarahan, penstrukturan semula pelaburan korporat dalam anak syarikat kumpulan Felda dengan sokongan FELDA, mengenal pasti peranan KPF dan peluang perniagaan dalam Kumpulan FELDA serta memastikan kepentingan KPF dalam kitaran ekonomi ekosistem Kumpulan FELDA.

“Sehubungan dengan pelan ini, KPF berharap akan mencapai beberapa sasaran hasil iaitu isu aliran tunai dapat diselesaikan, urusniaga syer anggota dapat diuruskan selari dengan peraturan koperasi, struktur keseluruhan ekuiti 10 syarikat Kumpulan FGV dan ekuiti Malaysia Holdings Berhad (MSM) distruktur dan dinilai semula supaya dapat menjana pulangan yang konsisten kepada KPF, perniagaan dalam ekosistem FELDA seperti Buah Tandan Segar (BTS) dan Pusat Memungut Sawit (PMS) dapat memberi sumbangan kepada bayaran dividen.

“Juga aset pelaburan dan aktiviti perniagaan luar yang mampan dan berdaya saing serta menjana pulangan yang konsisten,” katanya.

Lembaga dan pengurusan KPF perkemas tadbir urus, tingkat kecekapan dan jaga kebajikan peneroka

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lembaga dan pengurusan Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) sentiasa cakna dan menyambut baik saranan untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan bagi menjaga kebajikan anggotanya yang terdiri daripada peneroka dan warga Felda.

Pengerusi Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) Dato’ Mohd Banuri Aris berkata, bagi membantu penambahbaikan dan perancangan hala tuju KPF yang lebih mampan dan konsisten pada tahun 2023, atas inisiatif FELDA bersama KPF, satu Jawatankuasa Task Force telah ditubuhkan khusus untuk merangka pelan pelaksanaan inisiatif-inisiatif pemulihan ke arah operasi KPF dan pelaburan yang lebih menguntungkan.

“Fokus utama jawatankuasa ini adalah memastikan kedudukan strategik KPF dalam ekosistem FELDA, pengurusan aset pelaburan, keanggotaan dan modal syer, serta tadbir urus korporat.

“Langkah-langkah ini diambil untuk memastikan sistem pengurusan yang lebih cekap dan dinamik,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan KPF mempunyai pengurusan yang lebih cekap, melalui sistem tadbir urus, KPF ke arah pematuhan Akta, Garis Panduan dan Peraturan Koperasi yang telah ditetapkan dalam Undang-undang Kecil (UUK) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Segala saranan dan teguran SKM berkenaan pengeluaran syer dan penyeragaman UUK akan dilaksanakan seperti yang diwartakan SKM.

“Lembaga akan membentangkan perkara terbabit dalam Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) yang akan datang dan seterusnya membawa perkara berkenaan ke Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-44 pada tahun 2025,” katanya.

Katanya, KPF sentiasa memastikan relevansinya dalam ekosistem FELDA dan terus berpegang kepada matlamat untuk membawa peneroka bersama-sama menikmati hasil daripada aktiviti yang dijalankan oleh FELDA dan kumpulan FELDA.

“KPF akan terus menambah nilai kepada model perniagaannya mengikut ekosistem semasa.

“Setelah pencairan aset dan penyusunan semula pelaburan dalam anak syarikat kumpulan Felda dilaksanakan, KPF akan melaksanakan “Strategic Asset Allocation” dimana dana secukupnya diletakkan dalam bidang pelaburan dan perniagaan yang mampan dan mampu memberikan pulangan yang optimum dan konsisten kepada anggota,” katanya.

AITEX, World Islamic Tourism Awards 2024 kembali

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi  Pelancongan Malaysia (MATA) bakal mengadakan Asia Islamic Tourism & Trade Expo (AITEX) dan World Islamic Tourism Awards 2024 yang akan berlangsung Ogos depan.

Acara yang akan diadakan di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya, pada 23 hingga 26 Ogos itu dijangka menjadi perhimpunan penting bagi sektor pelancongan dan  perdagangan Islam global.  

Presiden MATA dan Pengerusi AITEX 2024, Asia Islamic Tourism & Trade Expo Dato’ Dr. Mohd Khalid Harun berkata, ekspo AlTEX akan menampilkan ruang pameran  dengan keluasan meliputi lebih daripada 3,000 meter persegi dan mempamerkan pelbagai sektor  termasuk pelancongan, perhiasan Islam, dan  kewangan Islam.

“Ekspo ini akan dibuka kepada  pemegang taruh dan orang awam bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam sepanjang tiga hari ekspo berlansung.

“Antara pempamer yang mengambil bahagian di Ekspo AITEX adalah Tajikistan, Uzbekistan, Zambia, Thailand, Indonesia, Iraq, Turki, Langkawi, Pahang, Perlis, Brunei, China, Arab Saudi, Batik Air, Inap Desa Selangor dan banyak lagi.

“Pempamer ini akan memberikan peluang unik untuk pengunjung menerokai kekayaan budaya dan ekonomi dari rantau-rantau ini,” katanya.

AITEX bakal memaparkan yang terbaik dalam pelancongan Islam, perhiasan, dan kewangan dari pelbagai negara.

Persidangan Pelancongan Islam: Bertemakan “Merangkul Kepelbagaian: Janji dan Potensi Pelancongan Islam” persidangan ini akan menampilkan 15 penceramah terkenal selama dua hari (23 dan 24 Ogos), yang akan berkongsi pandangan dan kepakaran mereka mengenai lanskap pelancongan Islam yang berkembang.

Sidang Kemuncak Menteri dan CEO serta Pelaburan

Pelancongan Asia: Pada 25 Ogos 2024, sidang kemuncak ini akan mengumpulkan menteri-menteri dan CEO terkemuka ntuk membincangkan dan menerokai peluang pelaburan kritikal dalam sektor pelancongan di Asia, menjadikannya forum penting uUntuk membentuk masa depan pelancongan di rantau ini.

Kemuncak utama AITEX adalah World Islamic Tourism Awards 2024, yang meraikan kecemerlangan dan inovasi dalam industri pelancongan Islam.

Anugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan yang cemerlang dalam pelbagai kategori, termasuk Destinasi Pelancongan Islam Terbaik, Hotel/Resort Islam Terbaik, Inovasi dalam Pelancongan Islam, Pengalaman Kulinari Halal Terbaik, d an Sumbangan Cemerlang kepada Pelancongan Islam.

“MATA sangat teruja untuk menganjurkan Asia Islamic Tourism & Trade Expo dan World Islamic Tourism Awards 2024.

“Acara ini mewakili peluang unik untuk meraikan dan memajukan sektor pelancongan dan perdagangan Islam, memupuk pemahaman, kerjasama, dan pertumbuhan ekonomi yang lebih besar. Kami menantikan kedatangan peserta dan tetamu dari seluruh dunia ke acara yang penting ini,” kata Mohd Khalid lagi.

AITEX dan World Islamic Tourism Awards 2024 dijangka menjadi acara penting dalam kalendar pelancongan global, memacu inovasi, kerjasama, dan pertumbuhan mampan dalam industri pelancongan Islam.

Untuk maklumat lanjut,  layari www.aitex.my atau hubungi Sekretariat Ekspo di 016 261 8014.

Asia Islamic Tourism & Trade Expo adalah acara perdana yang didedikasikan untuk mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian pelancongan Islam, perhiasan, dan kewangan.

Oa bertujuan untuk mewujudkan platform rangkaian, kerjasama, dan pertumbuhan dalam sektor-sektor ini.

Manakala, World Islamic Tourism Awards adalah acara bagi meraikan kecemerlangan dalam pelancongan Islam dengan mengiktiraf pencapaian dan sumbangan individu dan organisasi yang telah memberikan impak yang signifikan kepada industri.

1,038 tempat TVET yang ditawar oleh MCI sudah diisi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,038 daripada keseluruhan 5,125 tempat yang ditawarkan oleh Institut Malaysia-China (MCI) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah diisi.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut menggelarkan ia sebagai ‘pencetus perubahan’ untuk TVET Malaysia.

Katanya, inisiatif itu akan memberikan kemahiran dalam menggunakan peralatan teknologi tinggi kepada pelajar Malaysia dan membina landasan kerjaya yang menjanjikan pulangan memuaskan dalam bidang TVET termasuk gaji yang lebih baik.

“Penting bagi kita menterjemahkan bentuk kerjasama ini dalam konteks Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Perdana Menteri China Li Qiang teruja dengan kecepatan kita menyambut tawaran ini,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Pelepasan Peserta Program-Program Inisiatif MCI, hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi Eksekutif Chery Malaysia Chen Gang dan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Manndzri Nasib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat MCI.

Pada Mei lalu, sejumlah 220 syarikat China menawarkan 5,125 tempat untuk pelajar Malaysia menjalani latihan jangka pendek, sederhana dan panjang berkaitan TVET yang dilihat sebagai pemacu utama dalam meningkatkan industri itu di Malaysia.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET), berkata pihaknya merencanakan dua kumpulan berbeza untuk dihantar ke China dengan satu daripadanya adalah tenaga pengajar.

“Pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) sendiri menghantar dua kumpulan tenaga pengajar dan setiap kumpulan terdiri daripada sembilan orang untuk mendapat pendedahan dalam pelbagai bidang yang ditetapkan. Oleh itu, kita akan hantar dua kumpulan,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan memberi peluang yang saksama kepada semua pelajar dari pelbagai latar belakang termasuk kaum Cina dan India serta pelajar dari Sabah dan Sarawak dalam inisiatif ini.

“Sebanyak 5,125 tempat baharu diumumkan pada Mei lalu, sebelum itu hanya 2,000 yang diperuntukkan kepada kita, dengan penambahan itu saya memberi peluang kepada kaum Cina, India, pelajar dari Sabah, Sarawak dan lain-lain untuk dihantar juga bagi memberikan kesaksamaan kepada pelajar-pelajar ini.

“Saya berterima kasih kepada TANG International Education Group, Cherry serta Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang telah menyambut program ini dengan segera dan PTP misalnya, telah mengambil 100 peratus pelajar yang kita hantar untuk bekerja dengan mereka, begitu juga dengan Cherry,” katanya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan MTVET telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan 1,383 syarikat untuk mengambil graduan TVET pada pelbagai tahap sekali gus menjamin peluang pekerjaan yang cerah untuk mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohamad Rizan Hasan berkata, pada majlis berkenaan seramai 56 peserta yang akan dilepaskan untuk kali ini.

Manakala, seramai 18 pelajar adalah yang pertama kali menjalani latihan dalam tempoh yang lama.

“Mereka terdiri daripada pekerja dan tenaga pekerja yang akan menjalani latihan selama tiga bulan di sana.

“Untuk 18 pelajar ini pula, mereka akan menyambung pengajian selama setahun dan ini adalah tempoh paling lama berbanding sebelum ini.

“Kumpulan yang akan belajar untuk tempoh setahun ini dari awal belajar di sini tidak punya bidang akademik yang bagus mereka cabar diri belajar bahasa Mandarin akan ke sana akhir Julai ini,” katanya.

Kemunculan pertama Afif Tirmizie bawa genre muzik baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi berbakat Ahmad Alif Afif Tirmizie atau lebih dikenali dengan gelaran Afif, teruja dengan buah tangan terbaharunya Wira Peronda yang juga single pertamanya bersama Alternate Records.

Afif menganggap tawaran ini sebagai peluang yang dinanti untuknya melebarkan sayap dalam bidang nyanyiannya melalui penghasilan lagu runut bunyi (OST) drama aksi kepolisan terbaharu ‘Polis Peronda’ yang sedang ditayangkan di TV3.

Drama ini telah mula ditayangkan sepanjang lima episod sejak 28 Jun lalu, setiap Jumaat jam 10 malam.

Lagu runut bunyi Wira Peronda yang dinyanyikan Afif turut memainkan peranan penting dalam menambahkan lagi kesan dramatik dan emosi dalam setiap episod drama berkenaan. 

Afif  melahirkan rasa teruja dan bangga kerana dapat terbabit dalam projek ini.

 “Saya amat terharu kerana diberi peluang untuk menyumbangkan suara saya dalam drama hebat ini. Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati penonton dan memberikan kesan mendalam,” katanya.

Afif turut meluahkan perasaan bercampur baur apabila mengetahui bahawa lagu itu adalah OST drama daripada Skop Production.

“Agak gementar juga kerana saya tidak pernah menyanyikan lagu berentak seperti ini,” kata Afif.

Sesi rakaman lagu hanya mengambil masa dua jam, dan ini adalah kali pertama beliau bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh.

Afif menyifatkan pengalaman ini sebagai sangat menyeronokkan kerana kedua-dua komposer tersebut sangat profesional dan santai.

“Jika diberi peluang, saya memang ingin bekerjasama lagi,” katanya.

Walaupun dikenali dengan lagu berentak Hip Hop dan balada, Afif menganggap cabaran menyanyikan lagu Wira Peronda ini sebagai satu kelainan apabila beliau melangkah keluar dari zon selesanya.

“Ini suatu cabaran baharu buat saya kerana perlu menyanyikan genre yang berlainan daripada kebiasaan saya iaitu genre Hip Hop atau Balada.

“Walaubagaimanapun, peluang ini akan memberikan ruang untuk saya menonjolkan kelainan dari segi vokal kerana para peminat tidak pernah mendengar saya menyampaikan lagu bergenre Pop Rock. 

“Gabungan muzik yang mendalam dan lirik yang penuh makna menjadikan lagu ini sebagai salah satu karya terbaik saya dalam industri.

Afif berharap peminat akan terus mendengar lagu ini kerana ia mempunyai mesej yang sangat bagus, penuh semangat dan keberanian selaras dengan tema drama yang mengangkat kisah anggota polis peronda yang berdedikasi.

“Semoga pendengar dapat menerima apabila saya menyanyikan melodi seperti ini kerana ia merupakan sesuatu yang baru untuk saya. Teruskanlah menyokong karier saya dalam industri,” katanya lagi.

Sementara itu, Ikhwan Fatana berkata, dia mula mengarang lirik dan melodi lagu ini bersama Wan Salleh apabila menerima permintaan dari  pihak Alternate Records tentang drama “Polis Peronda”.

“Dari situ, saya mula merangka lirik dan menghasilkan melodi lagu bersama Wan Salleh di studio.

“Proses pembikinan lagu ini mengambil masa hanya dua minggu,” kata Ikhwan.

Beliau juga memuji vokal mantap Afif yang memudahkan kerjasama dan mempercepatkan proses rakaman lagu.

“Afif sentiasa ada idea menarik dan vokalnya yang tersendiri menjadikan lagu ini unik,” tambah Ikhwan.

Ikhwan berharap Wira Peronda dapat menghiburkan semua lapisan masyarakat dan memperkenalkan unit peronda Polis Diraja Malaysia.

“Saya berharap agar lagu ini berjaya melekat di ingatan pendengar yang menonton drama ini. Wajib dengar kalau tak kena saman,” gurau Ikhwan. 

Drama “Polis Peronda” telah menarik perhatian ramai dengan cerita yang mengisahkan perjuangan dan pengorbanan anggota polis dalam menegakkan keadilan.

Lagu Wira Peronda yang membawa mesej tentang kewibawaan dan kredibiliti pasukan unit peronda menggambarkan visi dan misi Polis Peronda yang digarapkan dalam OST drama terbabit dan berjaya memberikan kesan emosi yang kuat dalam setiap babak penting drama ini.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon umum letak jawatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengumumkan meletakkan jawatan selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan bola sepak negara itu.

Peletakan jawatan itu diumumkan Pan-gon dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

“Kepada penyokong bola sepak Malaysia, hari ini saya ada mesej sedih untuk diberitahu. Hari ini saya memutuskan untuk meletakkan jawatan. Ia dilakukan atas alasan komitmen peribadi. Saya minta maaf,” katanya.

Pengendali dari Korea Selatan itu dilantik membimbing Harimau Malaya pada Januari 2022 dan telah membawa banyak kemajuan positif untuk skuad negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Beliau membantu skuad negara untuk layak secara merit ke Piala Asia di Qatar pada Januari lalu selain peningkatan ranking ketara dalam tempoh dua tahun ini.

Bagaimanapun, perjuangan Pan-gon untuk membawa Malaysia mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia tidak kesampaian apabila mengakhiri kempen Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac dan Jun lalu di kedudukan ketiga.

Namun, beliau pada ketika itu berkata, mahu terus membimbing Harimau Malaya sehingga kempen Piala Asia 2027.

Jalin kerjasama dengan Sportexclub dari Belarus, Kerteh FC bangunkan aplikasi canggih untuk penyokongnya

editormaxinfo@gmail.com

KERTEH – Kelab Bola sepak Komuniti, Kerteh FC, melangkah setapak lagi dalam usahanya untuk menambah dana, menarik sokongan penyokong dan meningkatkan capaian peminat baharunya menerusi platform aplikasi digital terkini.

Presidennya, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, Kerteh FC dengan kerjasama strategik bersama Sportexclub, sebuah syarikat inovasi Teknologi Maklumat (IT) dari Minsk, Belarus, kini dalam fasa akhir untuk melancarkan aplikasi canggih itu.

“Kita berharap dengan aplikasi canggih itu, akan membantu Kerteh FC untuk menarik dana tambahan selain meningkatkan jumlah capaian peminat baharu bukan sahaja dari Kerteh, malahan dari negeri Terengganu dan juga seluruh negara.

“Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting bagi Kerteh FC mengukuhkan komitmen kami untuk memanfaatkan teknologi demi pertumbuhan dan penglibatan semua peminat dan penyokong kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Razeman berkata, aplikasi Sportexclub yang terkenal adalah antara aplikasi mesra pengguna dengan ciri-ciri yang kukuh yang akan menyediakan Kerteh FC dengan sistem baharu untuk meningkatkan usaha pengumpulan dana dan mengembangkan pangkalan data peminat kelab bola sepak komuniti itu.

Tambahnya, kerjasama strategik itu akan membolehkan Kerteh FC berhubung dengan penaja dan penyokongnya secara digital sekaligus mampu menjana aliran pendapatan baharu serta menyumbang kepada lebih banyak pencapaian kelab.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Sportexclub kerana pendekatan inovatif mereka untuk mengintegrasikan teknologi dengan pengurusan sukan selari dengan visi kami.

“Perkongsian ini akan menyediakan kami dengan sumber digital yang kami perlukan untuk meningkatkan operasi kami dan mencapai kejayaan yang lebih baik.

“Sebagai sebahagian daripada perkongsian ini, Sportexclub akan menyokong usaha Kerteh FC untuk melibatkan komuniti dan mempromosikan penyertaan dan sokongan pihak awam.

“Aplikasi itu akan menjadi alat utama dalam program penglibatan peminat kami, membantu kami berhubung dengan penyokong dan memupuk budaya sukarelawan dan penyertaan komuniti di Kerteh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sportexclub, Yauheni Kokhna berkata, pihaknya teruja dan berbangga dengan kerjasama yang dijalin dengan Kerteh FC walaupun kelab terbabit bertaraf kelab bola sepak komuniti.

“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Kerteh FC. Misi kami adalah untuk memperkasakan kelab bola sepak dengan teknologi yang mendorong kepada pertumbuhan dan penglibatan.

“Kami percaya perkongsian ini akan memberi impak yang bermakna kepada Kerteh FC dan komuniti setempat yang lebih luas selain memberi pengalaman baharu kepada penyokong sebuah kelab bola sepak di Malaysia dalam berkomunikasi dengan sebuah kelab bola sepak yang mereka sokong,” katanya.

Menerusi aplikasi digital itu, peminat dan penyokong Kerteh FC boleh mendapatkan pelbagai maklumat selain berinteraksi secara terus dengan pengurusan kelab.

Pendaftaran keahlian serta pemilikan saham di dalam Koperasi Penyokong Kelab Bola sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) juga disediakan menerusi aplikasi terbabit.

Aplikasi digital itu dijangka dilancarkan pada bulan Ogos ini. Pihak pengurusan Kerteh FC akan mengeluarkan kemas kini berkaitan aplikasi digital terbabit sebaik sahaja ianya sedia digunakan tidak lama lagi.

PLATS sasar 50,000 usahawan dan peniaga kecil menjelang 2025

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Yayasan MBI Selangor menyasarkan lebih 50,000 usahawan dan peniaga kecil bakal menyertai mereka menjelang tahun 2025.

Ketua Yayasan MBI Selangor, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, program yang diwujudkan di bawah MBI Selangor iaitu Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) ini bakal memulakan siri kedua mereka September depan.

“Mereka yang menjalani Program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS Digital) juga diletakkan dibawah 12 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terdapat di Selangor.

“Kami bekerjasama dengan PBT untuk lebih memudahkan lagi usaha membawa usahawan dan peniaga kecil.

“Program ini sudahpun berlangsung sejak Covid-19 yang lalu dan pelbagai bantuan ditawarkan antaranya geran RM3,000 tanpa faedah serta pelbagai bantuan lain.

“Kami seru semua usahawan dan peniaga kecil di Selangor menyertai kami perniagaan mikro, F&B, makanan sejuk beku dan pelbagai lagi kami alu-alukan penyertaan anda semua,” katanya ketika ditemui pada majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2024, siri pertama, baru-baru ini.

Ahmad Azri berkata, PLATS bukanlah sekadar program yang melepaskan batuk ditangga sebaliknya mereka berusaha membantu lebih ramai usahawan dan peniaga kecil untuk berjaya dengan perniagaan mereka.

“Sesiapa sahaja peniaga kami akan berusaha bantu, jangan risua jika nama blacklist atau sebagainya, datang dan sertai kami asalkan anda juga semangat untuk memajukan perniagaan.

“Syarat hanya mudah selain ada perniagaan, daftar syarikat SSM sama ada enterprise atau Sdn Bhd juga kami terima,” katanya.

Platform Selangor (PLATS) ialah platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk membantu peniaga mikro (contohnya penjaja, peruncit kecil) mendigitalkan perniagaan mereka dan mengatasi cabaran ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Pada tahun 2020, PLATS melancarkan Bazar Ramadan Digital yang pertama di Malaysia.

Berikutan kejayaan itu, inisiatif diteruskan dengan mewujudkan direktori digital dengan pembentukan Rakan Digital Selangor bagi membantu peniaga mikro dalam aktiviti promosi melalui saluran media digital dan sosial pada tahun 2021.

Sehingga kini, lebih 20,000 peniaga mikro di seluruh Selangor telah mendapat manfaat daripada PLATS dan lebih 1,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan untuk kumpulan B40 melalui inisiatif PLATS Rakan Digital Selangor (RDS).