25.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, November 11, 2025

Kemunculan pertama Afif Tirmizie bawa genre muzik baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi berbakat Ahmad Alif Afif Tirmizie atau lebih dikenali dengan gelaran Afif, teruja dengan buah tangan terbaharunya Wira Peronda yang juga single pertamanya bersama Alternate Records.

Afif menganggap tawaran ini sebagai peluang yang dinanti untuknya melebarkan sayap dalam bidang nyanyiannya melalui penghasilan lagu runut bunyi (OST) drama aksi kepolisan terbaharu ‘Polis Peronda’ yang sedang ditayangkan di TV3.

Drama ini telah mula ditayangkan sepanjang lima episod sejak 28 Jun lalu, setiap Jumaat jam 10 malam.

Lagu runut bunyi Wira Peronda yang dinyanyikan Afif turut memainkan peranan penting dalam menambahkan lagi kesan dramatik dan emosi dalam setiap episod drama berkenaan. 

Afif  melahirkan rasa teruja dan bangga kerana dapat terbabit dalam projek ini.

 “Saya amat terharu kerana diberi peluang untuk menyumbangkan suara saya dalam drama hebat ini. Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati penonton dan memberikan kesan mendalam,” katanya.

Afif turut meluahkan perasaan bercampur baur apabila mengetahui bahawa lagu itu adalah OST drama daripada Skop Production.

“Agak gementar juga kerana saya tidak pernah menyanyikan lagu berentak seperti ini,” kata Afif.

Sesi rakaman lagu hanya mengambil masa dua jam, dan ini adalah kali pertama beliau bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh.

Afif menyifatkan pengalaman ini sebagai sangat menyeronokkan kerana kedua-dua komposer tersebut sangat profesional dan santai.

“Jika diberi peluang, saya memang ingin bekerjasama lagi,” katanya.

Walaupun dikenali dengan lagu berentak Hip Hop dan balada, Afif menganggap cabaran menyanyikan lagu Wira Peronda ini sebagai satu kelainan apabila beliau melangkah keluar dari zon selesanya.

“Ini suatu cabaran baharu buat saya kerana perlu menyanyikan genre yang berlainan daripada kebiasaan saya iaitu genre Hip Hop atau Balada.

“Walaubagaimanapun, peluang ini akan memberikan ruang untuk saya menonjolkan kelainan dari segi vokal kerana para peminat tidak pernah mendengar saya menyampaikan lagu bergenre Pop Rock. 

“Gabungan muzik yang mendalam dan lirik yang penuh makna menjadikan lagu ini sebagai salah satu karya terbaik saya dalam industri.

Afif berharap peminat akan terus mendengar lagu ini kerana ia mempunyai mesej yang sangat bagus, penuh semangat dan keberanian selaras dengan tema drama yang mengangkat kisah anggota polis peronda yang berdedikasi.

“Semoga pendengar dapat menerima apabila saya menyanyikan melodi seperti ini kerana ia merupakan sesuatu yang baru untuk saya. Teruskanlah menyokong karier saya dalam industri,” katanya lagi.

Sementara itu, Ikhwan Fatana berkata, dia mula mengarang lirik dan melodi lagu ini bersama Wan Salleh apabila menerima permintaan dari  pihak Alternate Records tentang drama “Polis Peronda”.

“Dari situ, saya mula merangka lirik dan menghasilkan melodi lagu bersama Wan Salleh di studio.

“Proses pembikinan lagu ini mengambil masa hanya dua minggu,” kata Ikhwan.

Beliau juga memuji vokal mantap Afif yang memudahkan kerjasama dan mempercepatkan proses rakaman lagu.

“Afif sentiasa ada idea menarik dan vokalnya yang tersendiri menjadikan lagu ini unik,” tambah Ikhwan.

Ikhwan berharap Wira Peronda dapat menghiburkan semua lapisan masyarakat dan memperkenalkan unit peronda Polis Diraja Malaysia.

“Saya berharap agar lagu ini berjaya melekat di ingatan pendengar yang menonton drama ini. Wajib dengar kalau tak kena saman,” gurau Ikhwan. 

Drama “Polis Peronda” telah menarik perhatian ramai dengan cerita yang mengisahkan perjuangan dan pengorbanan anggota polis dalam menegakkan keadilan.

Lagu Wira Peronda yang membawa mesej tentang kewibawaan dan kredibiliti pasukan unit peronda menggambarkan visi dan misi Polis Peronda yang digarapkan dalam OST drama terbabit dan berjaya memberikan kesan emosi yang kuat dalam setiap babak penting drama ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular