28.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 1, 2026
Home Blog

Koerber labur RM95 juta, pacu bakat tempatan & perkukuh hab teknologi tinggi Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Koerber Technologies Sdn. Bhd. terus memperkukuh keyakinannya terhadap potensi Malaysia apabila melabur sebanyak RM95 juta bagi memperluaskan fasiliti pembuatannya di sini dengan tumpuan utama terhadap pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan kemahiran tenaga kerja berteknologi tinggi.

Naib Presiden Kanan Operasi Global Koerber Technologies, Michael Stietz berkata, pelaburan tersebut bukan sekadar meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah menjadi platform penting dalam membina modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.

Menurut beliau, syarikat itu telah berkembang secara signifikan sepanjang 25 tahun beroperasi di Malaysia, daripada hanya lima pekerja kepada lebih 300 kakitangan pada masa ini.

“Kami telah berkembang daripada hanya lima orang pekerja 25 tahun yang lalu kepada lebih 300 orang pada hari ini.

“Apabila kami menggandakan kapasiti dalam tempoh 12 bulan akan datang, kami juga akan menambah bilangan pekerja,” katanya pada majlis pecah tanah fasiliti baharu tersebut pada Selasa.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Republik Persekutuan Jerman di Malaysia, Ulrike Wolf.

Hadir sama Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor, Sherulanuar Abd Karim dan Pengarah Urusan Operasi Koerber Technologies Sdn. Bhd., Heiko Ziesmann.

Stietz menjelaskan bahawa pertambahan kapasiti melalui fasiliti baharu itu bakal membuka lebih 200 peluang pekerjaan baharu secara berperingkat, khususnya dalam bidang komersial, teknikal dan kejuruteraan berkemahiran tinggi.

Tambah beliau, pembangunan tenaga kerja tempatan menjadi teras kepada strategi pertumbuhan syarikat, terutama apabila Malaysia bakal memainkan peranan sebagai hab pengeluaran utama Koerber di Asia.

“Malaysia akan menjadi hab pengeluaran di Asia, untuk pasaran Asia. Ini adalah satu pencapaian besar yang dibina atas asas kukuh selama 25 tahun,” katanya.

Sementara itu, Ziesmann berkata, syarikat kekal komited melahirkan bakat muda tempatan melalui program pembangunan kemahiran dan latihan industri yang tersusun.

Menurut beliau, Koerber sejak awal lagi memberi penekanan kepada pembangunan bakat melalui kerjasama dengan Program Latihan Vokasional Jerman-Malaysia (GVT) bagi melahirkan tenaga kerja teknikal yang kompeten.

“Kami amat percaya dalam usaha membangunkan bakat-bakat muda di sini. Kami perlu membina bakat-bakat muda sendiri untuk jawatan seperti juruteknik dan kami akan terus berusaha ke arah itu,” katanya.

Ziesmann menambah, pembesaran fasiliti baharu seluas 12,000 meter persegi itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengeluaran, malah memperkukuh fungsi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.

Katanya, langkah itu akan membuka lebih banyak laluan kerjaya bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia dalam sektor teknologi pembuatan, automasi dan kejuruteraan berketepatan tinggi.

“Pembangunan modal insan tempatan yang mampan akan menjadi pemacu utama kepada daya saing Malaysia dalam menarik lebih banyak pelaburan asing bernilai tinggi pada masa hadapan,” ujarnya.

Fasiliti yang terletak di koridor perindustrian Hicom itu disasarkan siap pembinaan menjelang suku keempat 2026 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2027.

Koerber Technologies mempunyai pengkhususan dalam pengeluaran menyeluruh (end-to-end) mesin berteknologi tinggi bagi industri makanan dan minuman.

Pembangunan itu juga dilihat selari dengan peningkatan permintaan terhadap pembuatan berteknologi tinggi dan rumusan automasi di seluruh rantau Asia Pasifik.

Dengan peningkatan kapasiti ini, fasiliti di Shah Alam tersebut akan menjadi penyokong utama kepada keperluan rantaian bekalan berketepatan tinggi bagi pasaran serantau dan global.

Nurul Alifa cipta sejarah, pegawai wanita pertama Maritim Malaysia terima sayap penerbang

0

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakar sejarah tersendiri apabila Leftenan Madya Maritim Nurul Alifa Alias muncul sebagai pegawai wanita pertama daripada lantikan agensi itu yang berjaya menerima Sayap Penerbang selepas menamatkan latihan juruterbang helikopter selama 20 bulan.

Pencapaian membanggakan itu disifatkan sebagai satu lonjakan besar dalam usaha memperkasa keupayaan operasi udara agensi berkenaan, khususnya dalam memperluaskan penglibatan pegawai wanita dalam bidang yang sebelum ini didominasi lelaki.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kejayaan itu turut membuktikan kemampuan Maritim Malaysia melahirkan pakar penerbang sendiri tanpa bergantung kepada pegawai yang diserap daripada agensi keselamatan lain.

“Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan keupayaan teknikal yang tinggi dalam kalangan warga agensi, malah menjadi simbol kepada peningkatan inklusiviti dalam pelaksanaan operasi udara.

“Penyertaan lebih ramai wanita dalam bidang ini akan terus diperkasakan selaras dengan keperluan operasi yang semakin kompleks,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Sayap Penerbang Maritim Malaysia 2026 yang berlangsung di Putrajaya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Pengarah Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Ragu a/l Sundararajan serta wakil pengurusan tertinggi Layang Layang Flying Academy.

Terdahulu, Nurul Alifa adalah antara lapan pelatih Juruterbang Helikopter Siri 3/2024 yang berjaya menamatkan latihan intensif antara 12 hingga 20 bulan.

Latihan itu merangkumi pelbagai fasa penting termasuk latihan ikhtiar hidup, underwater escape training (UWET), latihan simulator serta penerbangan sebenar dengan rekod sehingga 155 jam penerbangan.

Selain Nurul Alifa, tujuh lagi pelatih turut dianugerahkan Sayap Penerbang iaitu Leftenan Maritim Mohd Al Azlan Shah Harun, Leftenan Madya Maritim Muhammad Firdaus Faisal, Leftenan Madya Maritim Awangku Mohd Farid Awang Engko Tajudin, Leftenan Madya Maritim Mohamad Ehram Mohd Noorlee, Leftenan Madya Maritim Muhammad Firdaus Ab Aziz, Leftenan Madya Maritim Muhammad Luqman Bahari dan Leftenan Madya Maritim Faqrul Shafiq Mohd Fadzludin.

Dalam majlis sama, enam pelatih Pegawai Sistem Udara Siri 2/2024 serta lima jurulatih penerbangan turut menerima sijil tamat latihan, manakala empat pelatih diiktiraf sebagai terbaik dalam kategori masing-masing, sekali gus mencerminkan tahap kompetensi tinggi yang berjaya dicapai sepanjang program latihan berkenaan.

Mengulas lanjut, Datuk Saiful Lizan berkata, objektif utama latihan ini adalah untuk melahirkan penerbang maritim yang bukan sahaja mahir mengendalikan pesawat, malah cekap melaksanakan operasi penguatkuasaan dan menyelamat di laut.

Menurut beliau, peranan Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia amat kritikal sebagai “mata di langit” dalam memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara.

“Keupayaan itu membolehkan Maritim Malaysia memperluas liputan pemantauan serta meningkatkan kadar kejayaan operasi, khususnya dalam misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), pembanterasan jenayah rentas sempadan serta menangani pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan kejayaan Nurul Alifa sebagai pemangkin kepada penyertaan lebih ramai pegawai wanita dalam bidang operasi udara Maritim Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap kepimpinan dan keupayaan agensi itu pada masa hadapan.

Decathlon Malaysia lancar kasut larian KIPRUN, Kuala Lumpur jadi lokasi pertama Asia Pasifik

1

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Decathlon Malaysia terus memperkukuhkan komitmennya dalam mempromosikan gaya hidup sihat apabila secara rasmi melancarkan rekaan baharu kasut larian di bawah jenama KIPRUN.

Jenama KIPRUN, yang diinspirasikan daripada frasa Keep Running, membawa misi untuk menggalakkan masyarakat kekal aktif dan konsisten dalam aktiviti larian.

Selaras dengan tagline globalnya, More Runs. More Life., jenama ini menekankan bahawa setiap langkah dalam larian mempunyai nilai tersendiri, bukan sekadar mengejar garisan penamat semata-mata.

Pelancaran ini dilihat sebagai satu usaha strategik untuk mendekati pelari daripada pelbagai lapisan masyarakat, merangkumi golongan pemula yang baru berjinak-jinak dengan gaya hidup aktif sehinggalah kepada pelari berpengalaman yang sentiasa mencari prestasi lebih baik.

Pendekatan inklusif ini mencerminkan aspirasi Decathlon Malaysia dalam menjadikan aktiviti larian sebagai budaya yang boleh diakses oleh semua.

Lebih signifikan, Malaysia telah dipilih sebagai lokasi pelancaran pertama KIPRUN di rantau Asia Pasifik, sekali gus meletakkan negara ini sebagai antara pasaran penting bagi perkembangan jenama itu.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama pula didorong oleh keunikan bandar raya ini yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta komuniti yang aktif dan mesra, khususnya dalam kalangan penggemar sukan dan kecergasan.

Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperluaskan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seiring dengan pelancaran ini, Decathlon Malaysia turut mengumumkan penganjuran Acara Larian KIPRUN yang dijadual berlangsung pada 29 Mac di sekitar Kuala Lumpur City Centre.

Acara larian santai itu terbuka kepada semua kategori peserta dan bertujuan menghimpunkan komuniti untuk bersama-sama merasai semangat More Runs. More Life. dalam suasana yang santai dan inklusif.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba sendiri kasut larian KIPRUN, malah berperanan sebagai platform untuk menggalakkan interaksi dalam kalangan komuniti pelari tempatan.

Dalam masa sama, ia turut menyumbang kepada usaha memperkukuh ekosistem sukan larian di negara ini.

Pelancaran kasut larian KIPRUN ini mencerminkan fokus berterusan Decathlon Malaysia dalam membina kepercayaan, keyakinan dan hubungan jangka panjang bersama komuniti.

Usaha ini diharap dapat menyemarakkan lagi minat rakyat Malaysia terhadap gaya hidup aktif serta mendorong lebih ramai individu untuk menjadikan larian sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Kempen SAJI “Menyala Lagi Raya” meriahkan Aidilfitri, MV Raya jadi tarikan

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi jenama masakannya, SAJI, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama pilihan isi rumah Malaysia dengan pelancaran kempen istimewa sempena Ramadan dan Aidilfitri bertemakan “Menyala Lagi Raya”.

Majlis pelancaran itu telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA, bersama Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman, Pengarah Besar FELDA.

Turut hadir ialah Aznur Kama Azmir, Ketua Produk Pengguna FGV Holdings Berhad merangkap Pegawai Bertanggungjawab Delima Oil Products Sdn. Bhd., sebagai jurucakap rasmi bagi pihak syarikat.

Sebagai jenama yang telah bertapak lebih daripada 25 tahun, SAJI dikenali dengan produk minyak masak berasaskan sawit berkualiti tinggi, selain terus berkembang sebagai jenama kulinari yang menawarkan pelbagai keperluan dapur moden termasuk marjerin, krimer, mi segera serta pelbagai bahan masakan seperti sos, kicap dan pes.

Perkembangan ini selari dengan perubahan gaya hidup pengguna Malaysia yang semakin dinamik dan mementingkan kemudahan serta kualiti dalam penyediaan hidangan harian.

Kempen “Menyala Lagi Raya” diperkenalkan sebagai inisiatif yang meraikan semangat kebersamaan, tradisi dan kegembiraan menyambut Syawal bersama keluarga dan insan tersayang.

Ia bukan sahaja menampilkan pendekatan pemasaran yang kreatif, malah membawa mesej mendalam tentang nilai kekeluargaan yang menjadi tunjang sambutan Aidilfitri dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kemuncak kepada kempen ini adalah pelancaran muzik video raya “Menyala Lagi Raya” yang mengangkat tema semangat Syawal yang tidak pernah padam.

Video muzik berdurasi tiga minit ini menampilkan perjalanan emosi yang dekat dengan realiti kehidupan, menggambarkan bagaimana Aidilfitri menjadi titik penyatuan keluarga, menghidupkan kembali tradisi serta menyemarakkan kasih sayang sesama insan.

Muzik video itu dibintangi barisan artis terkenal tanah air seperti Dato’ Awie, Vanidah Imran, Nadia Aqilah dan Anas Rizuan sebagai teraju utama.

Penampilan khas turut diserikan oleh Bront Palarae, Sara Ali, Amirul Effendy serta Ahmad Merrah, menjadikan karya ini lebih menarik dan dekat dengan penonton.

Gabungan lakonan mantap dan jalan cerita yang menyentuh emosi menjadikan muzik video ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga refleksi nilai kebersamaan yang sinonim dengan Aidilfitri.

Muzik video kini boleh ditonton di semua platform media sosial rasmi SAJI termasuk TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube menerusi akaun @sajimalaysia.

Selain itu, kempen ini turut dimeriahkan dengan penganjuran Peraduan SAJI Beli & Menang yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM50,000.

Peraduan yang berlangsung dari 14 Februari hingga 24 April 2026 ini memberi peluang kepada pengguna untuk memenangi pelbagai hadiah menarik, termasuk pakej Umrah menerusi kolaborasi strategik bersama FELDA Travel dan Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan, SAJI turut memperkenalkan cabaran tarian “Menyala Lagi Raya” di platform Instagram dan TikTok bermula 18 Mac hingga 19 April 2026.

Inisiatif ini dilihat sebagai usaha mendekati golongan muda dengan pendekatan lebih interaktif dan kreatif, sekali gus menggalakkan penyertaan orang ramai dalam menyemarakkan suasana Aidilfitri secara digital.

Melalui kempen ini, FGV dan SAJI menegaskan komitmen berterusan mereka dalam mendekati masyarakat serta menjadi sebahagian daripada detik-detik bermakna rakyat Malaysia sepanjang Ramadan dan Syawal.

Sebagai antara syarikat pengeluar makanan terkemuka negara, FGV terus komited menyokong agenda keterjaminan makanan dengan memastikan produk berkualiti, berkhasiat dan mampu milik sentiasa tersedia untuk pengguna.

Kempen “Menyala Lagi Raya” bukan sahaja memperkukuhkan jenama SAJI sebagai teman setia di dapur rakyat Malaysia, malah berjaya menyemarakkan semangat kasih sayang, kebersamaan dan kegembiraan Aidilfitri, menjadikan setiap detik bersama keluarga terus “menyala”.

Syed Saddiq, Bella Astillah sah bertunang, majlis eksklusif jadi tumpuan

1

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Majlis pertunangan antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah yang berlangsung pada Sabtu, 28 Mac 2026 mencuri perhatian ramai apabila diraikan dalam suasana sederhana namun penuh bermakna di Locarasa Restaurant & Patisserie.

Majlis yang bermula sekitar jam 2 petang itu diadakan secara tertutup dengan kehadiran keluarga terdekat sahaja, sekali gus mengekalkan elemen eksklusif yang menjadi pilihan pasangan berkenaan.

Walaupun bersifat peribadi, detik istimewa itu turut dikongsikan kepada umum menerusi siaran langsung di platform Astro AWANI, Astro Gempak serta media sosial ERA, menjadikan ia antara acara tumpuan pada hari berkenaan.

Sebelum majlis berlangsung, pasangan ini terlebih dahulu mengumumkan berita pertunangan mereka pada jam 10 pagi melalui akaun media sosial rasmi masing-masing.

Pengumuman itu pantas menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat dan masyarakat umum, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi positif terhadap hubungan mereka.

Majlis pertunangan ini diserikan dengan upacara menyarung cincin sebagai simbol rasmi ikatan antara kedua-dua figura terkenal itu.

Suasana lembut dengan tema rona kuning pastel atau soft yellow menambahkan lagi keindahan keseluruhan majlis, mencerminkan kesederhanaan yang elegan.

Bella tampil anggun dalam busana rekaan khas oleh Altelia Amani yang menonjolkan sentuhan sofistikated dan keperibadian beliau pada hari istimewa itu.

Penampilan itu turut mendapat perhatian ramai kerana kesesuaiannya dengan konsep majlis yang minimalis tetapi memukau.

Dalam masa yang sama, kehadiran Syed Saddiq di penghujung majlis menambahkan lagi kemeriahan acara.

Ahli Parlimen Muar itu turut mencuri perhatian apabila hantaran yang diberikan kepada Bella bukan sekadar sebentuk cincin, malah disertakan simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk kedua-dua anak Bella, Ayden dan Ara.

Tindakan itu dilihat sebagai simbol kasih sayang serta keprihatinan beliau terhadap masa depan keluarga bakal dibinanya.

Majlis ini turut menjadi platform penting bagi kedua-dua keluarga untuk berkumpul dan meraikan penyatuan hubungan, di samping berbincang mengenai tempoh pertunangan serta perancangan ke arah majlis perkahwinan yang bakal menyusul.

Majlis pertunangan ini bukan sahaja memperlihatkan sisi peribadi dua figura terkenal tanah air, malah membuktikan bahawa kesederhanaan yang diraikan dengan penuh keikhlasan mampu mencipta momen yang indah dan bermakna.

36 Tahun YBK: Lebih 200,000 keluarga dibantu basmi kemiskinan

0

editormaxinfo@gmail.com

KELANA JAYA – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-36 sejak penubuhannya pada tahun 1990, sekali gus menandakan lebih tiga dekad komitmen berterusan dalam memperjuangkan agenda pembasmian kemiskinan secara holistik dan bersepadu di Malaysia.

Sepanjang tempoh itu, YBK telah menyantuni lebih 200,000 keluarga, bersamaan hampir satu juta individu melalui pelbagai inisiatif merangkumi pendidikan, pembangunan sosioekonomi, latihan kemahiran serta bantuan kebajikan.

Usaha ini dilaksanakan secara langsung dan tidak langsung, dengan fokus untuk memastikan golongan sasar mendapat peluang meningkatkan taraf hidup secara mampan.

Pengerusi YBK, Dato’ Zainal Abidin Sakom, menzahirkan rasa syukur atas kesinambungan perjuangan yayasan itu yang terus mendapat sokongan padu daripada warga kerja, rakan strategik serta hampir 100,000 sukarelawan di seluruh negara.

Menurut beliau, usaha pembasmian kemiskinan yang digerakkan YBK tidak hanya tertumpu kepada aspek material semata-mata, sebaliknya turut merangkumi dimensi pemikiran, nilai dan tanggungjawab dalam masyarakat.

Sejak penubuhannya, YBK berpegang kepada pendekatan memperkasa komuniti melalui falsafah “memberi joran, bukan ikan”, yang menekankan usaha membimbing penerima manfaat agar mampu berdikari dan keluar daripada kitaran kemiskinan.

Melalui pendekatan ini, bantuan yang disalurkan bukan sekadar bersifat sementara, tetapi bertujuan membina keupayaan jangka panjang dalam kalangan komuniti.

Pendekatan itu turut diperkukuh menerusi strategi Lautan Biru dan konsep “Semangat Mendaki”, yang memberi penekanan kepada inovasi, penerokaan peluang baharu serta penggunaan ilmu dan teknologi dalam pembangunan komuniti secara lebih berkesan.

Dalam landskap pembangunan sosial yang semakin kompleks, YBK juga memainkan peranan sebagai penghubung strategik dengan menghubungkan komuniti sasaran kepada pelbagai agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan.

Inisiatif seperti program Jelajah Sejuta Harapan menyaksikan YBK turun padang bersama rakan strategik bagi memastikan bantuan dan intervensi dapat disampaikan secara lebih efektif, pantas dan menyeluruh.

Selain itu, program-program lain seperti Asrama Kasih YBK, Akademi Kemahiran YBK dan Sinar Kasih Ramadan turut dilaksanakan dengan pendekatan kolaboratif, membabitkan pelbagai pihak bagi memastikan hubungan yang kukuh dapat dibina antara penerima manfaat dan pemegang taruh.

Pada masa akan datang, YBK akan terus memperkukuh fokus terhadap pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang pendidikan, kemahiran serta pembinaan jati diri.

Yayasan itu komited untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja bebas daripada kemiskinan, malah berdaya tahan, berilmu dan bermaruah.

Sambutan ulang tahun ke-36 ini bukan sekadar satu pencapaian, sebaliknya menjadi simbol kepada kesinambungan perjuangan yang masih panjang.

Dengan tekad yang berterusan, YBK berhasrat untuk memperluas impak, memperkukuh jaringan kerjasama serta memastikan tiada komuniti yang tercicir dalam arus pembangunan negara.

Siti Nurhaliza wakil Spotify EQUAL Malaysia & Singapura Mac 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ikon muzik tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, sekali lagi mencipta pencapaian membanggakan apabila dipilih sebagai wakil kempen Spotify EQUAL Singapore & Malaysia bagi bulan Mac 2026.

Pemilihan ini menandakan penyertaan kali kedua beliau dalam inisiatif berprestij itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan beliau sebagai figura penting dalam memperkasakan suara wanita di rantau Asia Tenggara.

Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan berterusan beliau dalam industri muzik, malah membuktikan karya dan pengaruhnya kekal relevan dalam era penstriman digital yang semakin berkembang pesat.

Kempen EQUAL yang diterajui oleh Spotify bertujuan mengangkat artis wanita dari seluruh dunia, memberikan mereka platform lebih luas untuk menonjolkan bakat di peringkat global.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur atas penghormatan yang diterima.

Beliau menyifatkan pemilihan itu sebagai satu pengiktirafan besar dalam perjalanan seni yang telah dibina selama lebih dua dekad.

“Kejayaan ini menjadi bukti bahawa muzik berkualiti tidak mengenal batas usia atau masa, malah mampu terus diterima dan dihargai oleh pelbagai generasi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau melihat pencapaian ini sebagai simbolik kepada kekuatan suara wanita dalam industri muzik.

Katanya, kejayaan itu bukan sekadar milik individu, tetapi membawa mesej bahawa artis wanita mempunyai keupayaan besar untuk menyatukan peminat bukan sahaja di Malaysia dan Singapura, malah di seluruh dunia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Spotify atas usaha berterusan dalam memperjuangkan kesaksamaan gender melalui muzik.

Sebagai figura wanita berpengaruh, Siti Nurhaliza turut berkongsi pandangan dan nasihat kepada generasi baharu khususnya penyanyi wanita yang ingin membina kerjaya mampan dalam industri muzik.

Beliau menekankan kepentingan mengutamakan kualiti berbanding mengejar populariti sementara, di samping membina identiti seni yang kukuh dan konsisten.

“Disiplin dalam menjaga vokal serta komitmen terhadap mutu karya adalah faktor utama untuk kekal relevan merentas zaman.

“Industri muzik sentiasa berubah seiring dengan perkembangan teknologi dan trend semasa.

“Justeru, artis perlu bijak menyesuaikan diri tanpa mengabaikan asas seni yang menjadi tunjang kepada keaslian karya,” katanya.

Selain itu, sikap positif dan ketahanan diri amat penting dalam menghadapi cabaran yang datang bersama dunia hiburan yang kompetitif.

Mengakhiri kenyataan, beliau berkata, peminat memainkan peranan penting dalam perjalanan kerjaya seseorang artis.

Katanya, sokongan berterusan daripada peminat menjadi kekuatan utama yang memastikan seseorang artis terus bertahan dan berkembang dalam industri.

Pemilihan Siti Nurhaliza sebagai wakil Spotify EQUAL Singapore & Malaysia bagi Mac 2026 sekali lagi membuktikan pengaruh besar beliau sebagai ikon muzik serantau.

Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa, malah menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya dan memperjuangkan suara wanita dalam industri muzik global.

HUAWEI XMAGE Awards 2026 dibuka: Menang USD10,000 & pendedahan global

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HUAWEI XMAGE Awards 2026 kini kembali dan dibuka untuk penyertaan, mengajak peminat fotografi di Malaysia merakam serta berkongsi perspektif unik mereka melalui salah satu pertandingan fotografi mudah alih terbesar di dunia.

Edisi ke-10 penganjuran ini menyaksikan Huawei bekerjasama dengan Tourism Malaysia menerusi kempen “See, Truly Malaysia”, yang bertujuan mengetengahkan keindahan budaya, warisan dan landskap negara ke peringkat antarabangsa.

Inisiatif ini sekali gus memberi peluang kepada peserta tempatan untuk mempromosikan Malaysia melalui karya visual kreatif mereka.

Sejak diperkenalkan, XMAGE Awards telah menarik jutaan penyertaan dari seluruh dunia dan terus berkembang sebagai platform yang bukan sahaja mengiktiraf bakat fotografi, tetapi juga meraikan kreativiti serta penceritaan visual melalui teknologi mudah alih.

Selain peluang meraih pengiktirafan global, peserta juga berpeluang memenangi hadiah lumayan. Sebanyak 100 karya terbaik akan dipilih dalam senarai “XMAGE 100”, dengan 97 pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai USD1,500.

Tiga pemenang utama pula akan dinobatkan sebagai “Photographer of the Year” dan membawa pulang USD10,000 setiap seorang.

Lebih membanggakan, hasil karya pemenang turut akan dipamerkan di Grand Palais di Paris, sekali gus membuka ruang pendedahan di pentas global.

Di peringkat Malaysia, pemenang akan diiktiraf menerusi kategori “The Power of Image Prizes”, dengan hadiah utama berupa HUAWEI Mate X7 kepada juara, manakala dua naib juara pertama masing-masing menerima HUAWEI Mate 80 Pro.

Sepuluh pemenang tempat kedua pula akan membawa pulang HUAWEI FreeClip 2, selain 15 penerima saguhati yang turut akan diumumkan kemudian. Kesemua pemenang juga akan menerima trofi sebagai simbol pengiktirafan.

Pertandingan ini menawarkan sembilan kategori menarik termasuk So Far So Close, Good Night, Color & Shade, Faces, A Heartwarming World, Experimental Lab, Storyboard, Action serta kategori baharu Active Moments, yang memberi ruang kepada peserta menonjolkan kreativiti dalam pelbagai gaya dan tema.

Penyertaan dibuka dari 23 Mac hingga 16 Ogos 2026 dan boleh dihantar melalui pelbagai platform termasuk laman web rasmi XMAGE Awards, aplikasi My HUAWEI, HUAWEI Community serta Instagram dengan tanda pagar #HUAWEIXMAGEMY2026.

Pengguna peranti Huawei juga boleh memanfaatkan ciri “one-tap post” untuk memudahkan proses penghantaran penyertaan.

Didorong oleh falsafah “The Power of Image”, Huawei terus memperkasakan individu untuk menjadi pencerita visual dengan merakam detik bermakna yang mencerminkan budaya, emosi dan kehidupan seharian.

Bagi mereka yang ingin meningkatkan peluang kemenangan, Huawei turut menawarkan peranti terkini HUAWEI Mate 80 Pro yang direka untuk menghasilkan foto berkualiti tinggi.

Peranti terbabit kini boleh didapati pada harga RM3,999 di pelbagai platform rasmi Huawei, bersama tawaran perkhidmatan premium bernilai RM816 tertakluk kepada terma dan syarat.

Dengan peluang pendedahan antarabangsa dan ganjaran menarik, HUAWEI XMAGE Awards 2026 dilihat sebagai platform terbaik untuk rakyat Malaysia menyerlahkan bakat serta membawa cerita tempatan ke pentas dunia.

Lazada Birthday Blast 2026: diskaun 25 peratus Sonos, Bowers & Wilkins

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat pengedar audio premium, TC Acoustic, menyemarakkan kempen Lazada Birthday Blast 2026 dengan menawarkan diskaun eksklusif sehingga 25 peratus bagi rangkaian produk audio premium daripada Sonos dan Bowers & Wilkins.

Promosi terhad ini berlangsung dari 24 hingga 27 Mac 2026, memberi peluang kepada pengguna di Malaysia untuk menikmati pengalaman bunyi berkualiti tinggi pada harga lebih berpatutan.

Sepanjang tempoh promosi itu, pengguna boleh mendapatkan pelbagai produk audio yang direka untuk memenuhi gaya hidup moden, sama ada untuk hiburan di rumah, pengalaman sinematik, mahupun penggunaan peribadi ketika bergerak.

Rangkaian produk Sonos menampilkan teknologi audio pintar yang mampu menyesuaikan bunyi mengikut ruang dan suasana, sekali gus memberikan pengalaman mendengar yang lebih imersif.

Antara produk utama yang ditawarkan termasuk Sonos Arc Ultra yang menampilkan teknologi Dolby Atmos untuk pengalaman teater rumah yang menyeluruh, selain Sonos Era 100 yang hadir dengan bunyi stereo seimbang dalam reka bentuk kompak.

Bagi pengguna yang mengutamakan pengalaman audio peribadi, Sonos Ace menawarkan keselesaan sepanjang hari dengan keupayaan beralih antara muzik, panggilan dan audio televisyen secara lancar.

Turut melengkapkan penawaran ialah Sonos Era 300 yang menyokong audio spatial untuk pengalaman bunyi lebih menyeluruh, serta Sonos Sub 4 dan Sonos Sub Mini yang menambah kedalaman bass bagi meningkatkan impak audio.

Selain itu, Sonos Beam menawarkan bunyi yang memenuhi ruang dalam reka bentuk lebih kompak, manakala Sonos Roam 2 sesuai untuk pengguna yang aktif dengan ciri mudah alih dan tahan lasak.

Dalam masa sama, jenama Bowers & Wilkins turut menampilkan rangkaian audio peribadi premium seperti Bowers & Wilkins Pi6, Bowers & Wilkins Pi8 dan Bowers & Wilkins PX7 S3 yang menekankan kejelasan bunyi, perincian audio dan keselesaan untuk kegunaan harian.

Promosi ini merangkumi pelbagai potongan harga menarik, antaranya Sonos Arc Ultra ditawarkan pada harga RM4,649 berbanding harga asal RM5,899, manakala Sonos Roam 2 mencatatkan diskaun tertinggi sehingga 25 peratus dengan harga promosi RM899.

Produk lain turut menikmati penjimatan sehingga 20 peratus, menjadikannya antara tawaran audio premium paling kompetitif sepanjang kempen jualan terbabit.

Kesemua tawaran eksklusif ini hanya boleh didapati dalam tempoh terhad menerusi kedai rasmi TC Acoustic di platform Lazada, sekali gus memberi peluang kepada pengguna untuk menaik taraf pengalaman audio mereka dengan teknologi terkini pada harga istimewa.