editormaxinfo@gmail.com
MANAMA (BAHRAIN) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menganggap peluang yang diberikan untuk menyampaikan ucapan utama di Persidangan Dialog Intra-Islam (IIDC) sebagai satu bentuk pengiktirafan besar terhadap peranan Malaysia dalam dunia Islam.
Sebagai satu-satunya ketua kerajaan yang diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan pada sesi utama persidangan terbabit, di hadapan Imam Besar Al-Azhar, Al Sharif Profesor Dr. Ahmed El-Tayyeb, serta lebih 400 ulama dan cendekiawan Islam dari seluruh dunia, Anwar berkata, ia adalah bukti pengiktirafan terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam memartabatkan Islam.
“Raja Bahrain (Sheikh Hamad Isa Al Khalifa) dan Sheikh Al-Azhar (Profesor Dr. Ahmed El-Tayyeb) memberi peluang kepada saya untuk hadir dan memberikan ucaptama pada persidangan IIDC ini.
“Persidangan ini membabitkan tokoh-tokoh Islam utama dari pelbagai mazhab dan aliran untuk mencari titik persetujuan, mengelakkan perseteruan, dan menerima hakikat bahawa terdapat perbezaan pendapat dalam beberapa aspek, baik dari segi teologi mahupun amalan,” kata Anwar dalam sidang media selepas selesai lawatan rasmi ke Bahrain, yang diakhiri dengan pertemuan bersama Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.
Dalam ucaptamanya di IIDC, Anwar menekankan peranan penting ulama dan cendekiawan Islam dalam memberi nasihat kepada kerajaan serta umat Islam secara keseluruhan.
Beliau turut menyampaikan hasrat yang sama kepada Imam Besar Al-Azhar dan Raja Hamad Isa Al Khalifa dalam pertemuan mereka.

“Saya memberitahu Imam Besar Al-Azhar bahawa saya akan terus mendukung peranan ulama.
“Saya juga menyampaikan perkara ini kepada Raja Hamad, supaya hasrat murni ini mendapat sokongan.
“Ini kerana, apabila para ulama berani dan tegas menegur umat, menegur ulama pelampau, atau menegur kerajaan yang tidak mematuhi semangat ini, ia adalah contoh kemampuan ulama dan elit Islam yang kita semua patut banggakan,” katanya lagi.
Persidangan dua hari itu, dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain, dengan kerjasama Al-Azhar Al Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam (SCIA) Bahrain, dan Muslim Council of Elders.
Inisiatif ini adalah kesinambungan dari Forum Dialog Bahrain yang diadakan pada November 2022.
Menurut Agensi Berita Bahrain, usaha ini bertujuan memperkukuh perpaduan umat Islam dan mendalamkan dialog antara sarjana Islam. -Bernama

