KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Alvin Chong kini menjenamakan semula dirinya dengan nama ALVN.
Meskipun nama Alvin Chong tidak asing lagi dalam industri hiburan dan fesyen di Malaysia, penampilan nama baharu itu tidak sedikitpun menggugat karier seninya.
Malah ALVN turut dilantik sekali lagi bagi jenama terkemuka Longines buat dua tahun berturut-turut.
Dia juga telah dilamar jenama penjagaan muka berprestij La Mer baru-baru ini.
Antara pencapaian terhebat ALVN setakat tahun ini adalah apabila dia diberi peluang mewakili Malaysia di Minggu Fesyen Milan (Milan Fashion Week) bersama Onitsuka Tiger pada Februari 2023 lalu.
ALVN juga telah berpeluang untuk menghadiri pertunjukan ikonik dari Coach di Minggu Fesyen New York (New York Fashion Week) sebelum menghadiri pertunjukan fesyen dari Prada, BOSS dan Onitsuka Tiger di Minggu Fesyen Milan pada bulan September berikutnya.

“Menjadi impian saya untuk menghadiri Minggu Fesyen di New York dan Milan yang juga titik permulaan di mana kebanyakan trend dalam industri fesyen dilahirkan.
“Saya amat berbesar hati dan terinspirasi kerana dapat menyaksikan koleksi-koleksi terkini dari Coach, Prada, BOSS dan Onitsuka Tiger secara langsung,” katanya.
Perjalanan fesyen ALVN ini bukan sahaja pencapaian peribadi, bahkan ia juga mampu mengangkat nama baik Malaysia di persada industri kreatif antarabangsa demi menjalin hubungan baik dengan jenama global gergasi dalam dunia fesyen.
“Peluang untuk mewakili Malaysia ini bukan sahaja suatu yang membanggakan, malah saya juga bersyukur kerana berpeluang untuk berjumpa dengan ahli-ahli utama industri fesyen dari serata dunia,” katanya.
Sementara itu, status ALVN sebagai ikon fesyen terbaru dan antara yang paling memberi impak besar di Asia Tenggara, diperkukuhkan lagi apabila dia telah dinobatkan dengan anugerah McM Rising Star dalam kategori Most Promising Fashion Icon 2023 pada majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis anugerah McM ini telah dianjurkan oleh McMillan Woods Global, sebuah badan antarabangsa meliputi firma bebas tempatan dan serantau terdiri daripada akauntan berkelayakan dan penasihat profesional.
“Pengiktirafan dari anugerah McM Woods Global ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan buat saya. Saya berharap agar pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk tetap mengejar impian mereka, walaupun ianya dirasakan mustahil apa yang penting adalah keberanian untuk mengambil langkah yang pertama,” katanya.
Pengembaraan global ALVN telah membuka peluang baru untuk beliau bekerjasama dengan ahli muzik dari pelbagai negara.
Terbaru, ALVN telah berkolaborasi bersama komposer-komposer Eropah Simon Reichardt, Felix Eickhoff dan Rene Miller untuk menerbitkan ‘onemorenight’ bersama penyanyi dan komposer sensasi dari Korea Selatan YOUHA.
Kolaborasi istimewa bersama YOUHA ini telah menggemparkan Asia Tenggara, meletakkan lagu mereka itu di dalam posisi carta yg selesa di dalam New Music Friday Playlist di Spotify.

Tidak berhenti setakat itu, ALVN juga telah mengeluarkan ‘need me now’, satu lagu hasil kolaborasi bersama penerbit dari Singapura dan pada masa yang sama, ALVN juga sedang mengusahakan sebuah lagu baharu bersama seorang penerbit dan penulis lirik dari Malaysia yang menetap di Korea Selatan.
Disamping pencapaian yang dirai, ALVN juga terus aktif berkarya menerusi siri audio siar (podcast) video miliknya yang bertajuk ‘R U OK?!’ yang boleh didapati di platform penstriman Apple, Spotify dan juga Youtube.
Siri ini menyentuh lebih dalam berkenaan dengan pergelutan yang dihadapi oleh Generasi Z di era pasca-Covid-19, di mana ia bertujuan untuk memberi manfaat dan inspirasi untuk pendengar mengatasi cabaran yang dihadapi.
Setiap episod dihadiri dengan tetamu jemputan, di mana mereka berkongsi tentang pengalaman hidup dari perspektif masing-masing.

