editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan pesanan internet dan pengendali media sosial kini diwajibkan untuk mematuhi dan melaksanakan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah ini bertujuan untuk memastikan pengawalan yang telus, teratur, dan selamat dalam penyampaian perkhidmatan mereka.
Penganalisis politik, Abul Jais Ashfaq Ahmed berkata, akta ini adalah pelengkap kepada sistem kawal selia yang melindungi serta memperkukuh penguatkuasaan peraturan, sejajar dengan amalan negara-negara maju.
“Kesemua penyedia perkhidmatan ini tertakluk kepada kaedah-kaedah yang telah ditetapkan untuk melindungi kepentingan semua pihak, meskipun pemahaman mendalam terhadapnya masih berkembang,” katanya.
Akta ini memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengawal selia penyedia perkhidmatan dalam pelbagai sektor komunikasi, termasuk aplikasi pesanan internet dan platform media sosial.
Melalui pemberian lesen ini, penyedia perkhidmatan perlu mematuhi keperluan keselamatan, perlindungan data pengguna, serta memastikan ketelusan dalam pengurusan kandungan di platform mereka.
Antara tanggungjawab utama penyedia perkhidmatan adalah memastikan platform mereka tidak disalahgunakan untuk penyebaran kandungan melanggar undang-undang, termasuk berita palsu dan jenayah siber yang boleh merugikan rakyat dan negara.
Pematuhan terhadap peraturan ini juga bermaksud pengendali media sosial bertanggungjawab menerima aduan pengguna secara cepat serta melindungi data peribadi daripada diceroboh.
Sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk denda atau pembatalan lesen yang akan menjejaskan operasi mereka.
Dalam kenyataannya, SKMM turut mengingatkan pihaknya akan menilai status penyedia platform yang belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan mempertimbangkan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan akan berdepan siasatan dan tindakan pengawalseliaan.
“Keperluan ini menekankan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, memperkukuh perlindungan pengguna, terutamanya kanak-kanak dan golongan rentan, serta memperbaiki pengawasan kawal selia bagi penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia,” kata kenyataan itu.

