editormaxinfo@gmail.com
GOMBAK – Pasar raya Giant Batu Caves yang telah beroperasi sejak tahun 2003 secara rasmi menutup pintunya pada Sabtu lalu, berikutan tamatnya tempoh sewaan premis di Lot 10243, Mukim Batu yang mempunyai keluasan 180,000 kaki persegi.
Berita penutupan ini mengundang rasa sedih di kalangan pelanggan setia yang telah banyak menghabiskan masa berbelanja di pasar raya ini selama lebih dua dekad.
Di media sosial, ramai pengguna berkongsi kenangan manis mereka.
“Sedihnya Giant Batu Caves tutup. Dari kecil selalu pergi. Dari mula ada gelongsor besar kat bahagian tengah. Paling best food court situ… kenangan,” luah Noor Shaheera, salah seorang pengguna di platform media sosial.
Ayarus August juga tidak ketinggalan meluahkan rasa hampa, mengimbau kenangan ketika bekerja di pasar raya itu suatu ketika dahulu.
Sementara itu, Tougarashi Ae Suki Aokawa pula berkongsi nostalgia membeli barangan keperluan ketika tinggal di Selayang, mengucapkan terima kasih atas segala kenangan yang tercipta di sana.
“Terima kasih Giant. Sinilah tempat membeli-belah masa duduk di Selayang dulu.
“Sedihnya, walaupun dari Perak, kalau pergi ke Selayang memang akan pergi sini,” ujar Tougarashi.
Giant Batu Caves kini akan berpindah ke lokasi baru di Sri Gombak, sementara premis yang ditinggalkan bakal digantikan dengan TF Value-Mart.
TF Value-Mart, yang sebelum ini telah menandatangani perjanjian dengan pemilik hartanah, Crystal Promenade Sdn Bhd pada tahun 2023, akan mengambil alih premis berkenaan setelah tempoh sewaan dengan Giant tamat.