editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membangunkan garis panduan lengkap bagi penganjuran program keagamaan dan kerohanian Islam.
Langkah ini diambil berikutan isu yang timbul dalam Festival Darul Ehsan Berselawat yang baru-baru ini menjadi perhatian masyarakat.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, garis panduan ini bertujuan memastikan program keagamaan tidak dicemari oleh perkara-perkara yang boleh menjejaskan akidah umat Islam serta keharmonian masyarakat.
Beliau menegaskan, pihaknya bersama JAIS akan menilai semula prosedur sedia ada untuk memastikan penganjuran program agama selari dengan hukum syarak dan ketetapan pihak berkuasa agama.
“MAIS mengambil perhatian terhadap kebimbangan masyarakat Islam berhubung isu yang timbul daripada festival terbabit.
“Semua program keagamaan yang membabitkan aktiviti pengajaran agama Islam mesti mematuhi Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Aziz berkata, MAIS dan JAIS akan lebih giat memantau penganjuran program-program berkenaan bagi memastikan ianya tidak bertentangan dengan undang-undang, serta memastikan kesucian agama Islam terpelihara.
Terdahulu, isu berkenaan timbul selepas festival yang berlangsung dari 27 hingga 29 Disember lalu mendapat kritikan beberapa pihak, terutamanya selepas penganjur menjemput pendakwah dari Indonesia, Gus Azmi.
Tindakan pendakwah muda itu yang merokok di atas pentas menjadi isu kerana merokok difatwakan haram di negara ini dan dikhuatiri memberi contoh buruk kepada masyarakat.
Ekoran itu, penganjur membuat keputusan untuk meneruskan festival tanpa penglibatan Gus Azmi setelah mempertimbangkan pelbagai faktor.
Abdul Aziz berkata, MAIS telah menerima laporan awal dari Setiausaha Jawatankuasa Tauliah mengenai permohonan tauliah sementara daripada penganjur pada 18 Disember.
Surat jawapan kepada permohonan terbabit telah dikeluarkan pada 24 Disember dan beberapa tindakan perlu diambil oleh penganjur program.
Beliau menegaskan agar semua penganjur program keagamaan merujuk kepada MAIS dan JAIS serta mematuhi undang-undang atau garis panduan yang ditetapkan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan atau pelanggaran hukum syarak.
Tegasnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap penganjur yang melanggar peraturan, dan masyarakat diminta untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

