editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Persatuan Emas Malaysia (MGA) menggesa agar pengimportan, fabrikasi, dan penjualan produk ‘perak bersadur emas’ dihentikan serta-merta dan diharamkan di seluruh negara.
MGA dalam satu kenyataan berkata, kemasukan produk sebegini ke pasaran tempatan memberi impak besar kepada integriti pasaran logam berharga di Malaysia, termasuk mengelirukan pengguna tentang harga sebenar emas dan mengganggu permintaan terhadap emas asli.
Selain itu, ia boleh merosakkan dinamik pasaran logam berharga secara keseluruhan.
Produk ‘perak bersadur emas’ sering kali disalah anggap sebagai perhiasan emas tulen kerana lapisan emas yang tebal, yang menyukarkan pengguna untuk membezakannya daripada emas sebenar tanpa penilaian profesional.
Tanggapan salah ini berisiko menyebabkan kerugian kewangan kepada pembeli yang mungkin membeli barang yang bukan emas asli tanpa disedari.
MGA juga memberi amaran bahawa produk berkenaan menimbulkan ancaman serius kepada sektor pajak gadai, pembrokeran, serta Ar-Rahnu, yang berpotensi ditipu dan mengalami kerugian besar.
Dalam perbincangan khas yang diadakan bersama ahli persatuan, yang terdiri daripada pemain utama industri dan veteran emas, keputusan sebulat suara dicapai untuk menentang pengeluaran, pengimportan, dan penjualan produk sedemikian.
MGA juga berkomitmen untuk memastikan pengeluar dan peruncit tidak akan terbabit dengan produk berkenaan.
Presiden MGA, Datuk Wira Louis Ng berkata, pihaknya menggesa agar penguat kuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memperkenalkan peraturan yang lebih ketat untuk melarang perdagangan produk palsu ini, terutamanya di platform e-dagang.
Langkah ini diambil demi melindungi kepentingan pengguna dan memastikan pasaran emas negara kekal telus dan berintegriti.

