27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Empat maut, disyaki ambil dadah selepas konsert Pinkfish

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Siasatan awal oleh pihak polis mendapati empat individu yang maut selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada malam ambang tahun baru, dipercayai terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.

Selain empat mangsa yang meninggal dunia, tiga lagi mangsa yang mengalami simptom serupa kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan mendapati kesemua mangsa hadir ke konsert terbabit secara berasingan bersama rakan-rakan dan ahli keluarga masing-masing, dan mereka tidak saling mengenali.

“Empat mangsa yang meninggal dunia, dua masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala seorang lagi sudah discaj dari hospital. Semua mangsa menunjukkan simptom yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Hussein menambah, pihak polis telah membuka empat kertas siasatan bagi mengenal pasti sebarang unsur jenayah atau keracunan yang mungkin berlaku.

“Setakat ini, kami telah menerima enam laporan polis daripada pihak PPUM dan HKL. Kami juga masih menunggu laporan analisis toksikologi bagi mengesahkan pengambilan dadah dan punca kematian,” katanya.

Sebanyak enam individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, dan pihak polis akan merakam keterangan lebih lanjut daripada penganjur konsert serta rakan-rakan mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, media melaporkan pihak polis sedang menyiasat punca kematian empat individu tempatan berusia antara 20 hingga 40-an, termasuk dua wanita, yang disyaki berkaitan dengan pengambilan dadah selepas menghadiri konsert ambang tahun baru itu.

Semua mangsa tidak menunjukkan kecederaan luaran, dan kes ini setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

ARTIKEL BERKAITAN

Popular