28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

APEC kembali ke Korea Selatan setelah 20 tahun, fokus pada inovasi, pendigitalan dan kemampanan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setelah dua dekad, Korea Selatan bakal menjadi tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun ini, dengan tujuan untuk memfokuskan perbincangan mengenai inovasi, pendigitalan dan kemampanan.

Negara ini pertama kali menjadi tuan rumah APEC pada 2005 di Busan, dan kini bersedia untuk mengetengahkan tema dan keutamaan baharu dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2025.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2025, Yoon Seongmee, berkata negara tuan rumah akan terus mengembangkan agenda APEC, selaras dengan deklarasi yang dicapai di Lima, Peru pada November lalu.

“20 tahun lalu, APEC banyak tertumpu pada perdagangan bebas, liberalisasi pelaburan dan integrasi serantau.

“Walaupun matlamat terbabit masih diteruskan, cabaran baru seperti perubahan iklim dan kemajuan teknologi memerlukan tindakan kolektif yang lebih menyeluruh daripada ekonomi APEC,” katanya.

Dengan memperkenalkan Visi Putrajaya 2040, APEC kini menumpukan perhatian kepada inovasi, pendigitalan, dan kemampanan sebagai pemacu utama pengembangan ekonomi, sambil memastikan pertumbuhan inklusif.

Tema yang dipilih untuk APEC 2025, “Building a Sustainable Tomorrow: Connect, Innovate, Prosper” (Membina Masa Depan Mampan: Berhubung, Berinovasi, Maju) ini bertujuan untuk merealisasikan sebuah rantau Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan tenteram.

“Connect”: Mengukuhkan pertukaran antara institusi dan rakyat di rantau Asia Pasifik bagi mewujudkan hubungan yang lebih cekap dan inovatif.

“Fokus akan diberikan kepada pembangunan Agenda APEC untuk Pembaharuan Struktural, dan usaha akan dijalankan untuk mempererat pertukaran dalam bidang sains serta integrasi yang lebih mendalam antara rakyat di negara-negara APEC.

“Innovation”: Menekankan pentingnya inovasi digital, dengan Korea Selatan bercadang untuk memulakan perbincangan mengenai tadbir urus kecerdasan buatan (AI).

“Meskipun perbincangan AI sudah dimulakan dalam pelbagai platform global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, APEC akan memberi tumpuan khusus kepada kerjasama dalam penggunaan AI yang selamat dan inklusif untuk manfaat rakyat dan ekonomi di rantau ini.

“Prosper”: Memfokuskan kepada cabaran global seperti tenaga, perubahan iklim, kesihatan, sekuriti makanan, dan perubahan demografi,” katanya.

Korea Selatan berhasrat untuk memulakan perbincangan serius mengenai penurunan kadar kelahiran dan populasi yang semakin menua, yang kini menjadi isu penting bagi banyak ekonomi.

Isu ini memberi impak besar kepada tenaga kerja, jurang sosial, dan pertumbuhan ekonomi yang mampan pada masa depan.

Dengan tema yang relevan dan keutamaan yang memfokuskan kepada cabaran terkini, APEC 2025 di Korea Selatan dijangka memberi impak besar kepada perkembangan ekonomi serantau dan global.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular