27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Kerajaan MADANI yakin menang jika PRU diadakan sekarang -Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan keyakinannya bahawa Kerajaan MADANI mempunyai kelebihan untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) jika diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keyakinan itu berasaskan kepada kerangka pentadbiran yang memfokuskan kepada pengurusan ekonomi yang mantap.

“Jika pilihan raya umum diadakan sekarang, saya lebih yakin untuk menang. Namun, ia memerlukan usaha besar untuk memastikan agenda ekonomi berada pada landasan yang betul,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar juga mengakui bahawa prestasi Kerajaan MADANI, termasuk Jemaah Menteri, masih boleh ditingkatkan.

Beliau berkata, walaupun ada menteri yang cemerlang, ada juga yang masih berada di tahap sederhana.

“Adakah saya berpuas hati? Saya cuba sedaya upaya, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Ada menteri yang cemerlang, ada yang sederhana, dan begitu juga dengan saya sebagai Perdana Menteri,” kata beliau.

Selain itu, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang kes salah guna kuasa dalam kalangan anggota Kabinet.

Dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, beliau memerangi amalan lama seperti rundingan terus projek dan pengambilalihan komisen yang tidak sah.

“Ini bukan sahaja membabitkan menteri, tetapi juga pegawai kerajaan. Kami menekankan soal tatakelola yang telus. Ada kes-kes lama yang masih perlu diselesaikan, dan kami akan terus ambil langkah untuk memperbaikinya,” katanya.

Anwar juga memberi peringatan bahawa kerajaan perlu menghormati proses undang-undang walaupun kadang-kadang penguatkuasaannya agak perlahan.

Beliau turut mengingatkan bahawa badan kehakiman harus kekal bebas, walaupun ada keputusan kes tertentu yang tidak dipersetujui oleh beliau.

“Walaupun ada tokoh politik yang lantang mempertahankan rasuah, saya percaya penguatkuasaan mesti berjalan. Saya tidak sabar dengan kelambatan ini, namun kita perlu hormati proses undang-undang yang ada,” katanya.

Mengenai penilaian yang dilakukan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terhadap prestasi kerajaan, Datuk Seri Anwar berkata pihaknya terbuka dengan sebarang penilaian.

Namun, beliau berpendapat bahawa aspek penting seperti rasuah, tatakelola, dan pengurusan ekonomi sering diabaikan dalam penilaian terbabit.

Beliau juga menegaskan bahawa agenda reformasi memerlukan masa dan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun atau dua tahun.

Walaupun demikian, usaha-usaha reformasi tetap berjalan, termasuk pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Mengulas mengenai mesyuarat Kabinet terbaru, Anwar berkata, beberapa idea telah dibangkitkan, antaranya berkaitan penambahbaikan dalam tindakan terhadap kes-kes tertentu.

“Ada cadangan untuk mengadakan ‘retreat’ pada Januari untuk menilai kekuatan dan kelemahan kita,” katanya.

Anwar juga tidak menafikan adanya kritikan terhadap isu-isu seperti penangkapan, rasuah, dan tindakan polis, serta peranan media dalam menangani isu moral.

“Jika terdapat penguatkuasaan yang keterlaluan, saya akui dan kami akan memperbaikinya,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular