editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, menyambut baik intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai reformasi perkhidmatan awam yang diumumkan di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 ‘Perkhidmatan Awam Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Saiful Lizan menjelaskan bahawa reformasi perkhidmatan awam yang digariskan oleh Perdana Menteri amat relevan dan penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan mempunyai daya saing dan berkualiti tinggi.
“Warga Maritim Malaysia akan memberi sokongan penuh terhadap usaha-usaha reformasi ini dan komited untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Mengulas mengenai aspek pertama yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri, iaitu peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, Saiful menekankan bahawa Maritim Malaysia akan terus memfokuskan kepada penambahbaikan sistem operasi dan proses kerja.

Beliau juga menegaskan bahawa Maritim Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan sumber daya manusia yang dimiliki adalah berkualiti tinggi dan dilengkapi dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran yang semakin kompleks dalam bidang keselamatan maritim.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia selepas menghadiri MAPPA ke-19, hari ini.
Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Tuan Mohd Norzam Mustapa serta pegawai kanan Maritim Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Maritim Malaysia telah memastikan pegawai dan anggotanya bersedia dengan teknologi terkini dan lanskap aktiviti jenayah yang semakin kompleks seiring dengan perubahan zaman.
Jelasnya, seiring dengan apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri iaitu meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan.
Mengulas lanjut berkenaan meningkatkan daya saing negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, beliau menyatakan Maritim Malaysia akan terus berusaha memastikan perairan negara sentiasa selamat untuk aktiviti ekonomi dan perdagangan khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Terdahulu, beliau menyeru seluruh warga Maritim Malaysia untuk terus berusaha dengan gigih dan memberikan perkhidmatan terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan khususnya selepas Perdana Menteri mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuatkuasa bermula 1 Disember nanti.
Justeru, beliau berharap seluruh warga Maritim Malaysia bertekad memberikan perkhidmatan yang terbaik memandangkan SSPA berteraskan prestasi di mana ganjaran akan diberikan kepada pegawai dan anggota yang menunjukan prestasi dan tatakelakuan sebagai penjawat awam yang berkualiti.

