editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) yakin mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata keyakinan itu disandarkan kepada komposisi pengundi Melayu seramai 51 peratus yang cukup mesra terhadap PN.
Bukan sahaja sokongan pengundi Melayu, malah kepercayaan yang tinggi anak-anak muda terutama undi 18 tahun yang cukup dekat dengan teknologi membuatkan mereka mudah terdedah dengan maklumat untuk dibandingkan, dan akhirnya akan cenderung memilih PN.
“Buktinya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos 2023, DAP hanya mendapat tambahan 761 undi berbanding pilihan raya sebelumnya manakala PN menerima pertambahan sebanyak 7,437 undi (PRU-14 bertanding atas tiket PAS),” katanya dalam satu kenyataan.
Kee Hiong, 58, yang menjadi ADUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 meninggal dunia Isnin lalu selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.
Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Mohamed Sukri berkata, kelebihan pertambahan undi lebih 10 kali ganda memberi isyarat jelas bahawa gelombang rakyat sedang mara bersama PN di DUN itu.

