28.5 C
Kuala Lumpur
Friday, June 26, 2026

Teknologi perlu berteraskan empati dan kesejahteraan insan – Chang Lih Kang

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM Kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan insan dengan memperkukuh empati, memperluaskan akses kepada bantuan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan bukannya menjadi faktor yang menghakis nilai kemanusiaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Datuk Chang Lih Kang berkata, pembangunan teknologi pada masa kini perlu bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan agar setiap inovasi yang dihasilkan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau, inovasi yang sebenar bukan hanya diukur berdasarkan kecanggihan teknologi atau sistem digital yang dibangunkan, sebaliknya melalui keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memberi impak positif kepada kehidupan seharian.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan 2nd International Counselling and Wellness Innovation Competition 2026 (INNOCARE 2026) yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Menurut Chang Lih Kang, penggunaan teknologi dalam bidang kaunseling dan kesejahteraan perlu dipandu oleh nilai, etika, keselamatan, privasi, empati serta tanggungjawab sosial supaya pembangunan teknologi tidak hanya mengejar kemajuan semata-mata, sebaliknya mampu memenuhi keperluan sebenar manusia.

“Teknologi tidak harus dibangunkan hanya kerana ia canggih, tetapi kerana ia menjawab keperluan sebenar manusia.

“Dalam bidang kaunseling dan kesejahteraan khususnya, setiap inovasi perlu memastikan aspek kemanusiaan terus menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata tema pertandingan tahun ini, ‘Re-humanising Care in a Digital World: Innovation for Wellbeing, Equity, and Purpose’, amat bertepatan dengan cabaran dunia hari ini yang menyaksikan teknologi semakin mempengaruhi cara manusia belajar, bekerja, berkomunikasi dan mendapatkan sokongan.

Menurut beliau, tema berkenaan membawa tiga mesej utama iaitu menghasilkan inovasi yang meningkatkan kesejahteraan, memastikan akses yang lebih adil kepada semua lapisan masyarakat serta membangunkan teknologi yang mempunyai matlamat jelas dalam memenuhi keperluan rakyat.

Chang Lih Kang berkata, setiap teknologi, modul, intervensi mahupun produk yang dibangunkan perlu membantu masyarakat mengurus tekanan hidup, membina daya tahan mental, meningkatkan kesedaran kendiri serta memudahkan orang ramai mendapatkan sokongan secara selamat dan berkesan.

Pada masa sama, kemajuan teknologi tidak seharusnya mewujudkan jurang baharu dalam masyarakat, sebaliknya perlu membuka peluang yang lebih luas kepada semua golongan termasuk pelajar, belia, pekerja, komuniti luar bandar, golongan B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta kumpulan rentan untuk menikmati manfaat inovasi digital.

Beliau turut menyifatkan perkhidmatan kaunseling kini bukan lagi sekadar pilihan tambahan, sebaliknya telah menjadi keperluan sosial yang penting di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, komuniti dan juga ruang digital berikutan peningkatan cabaran berkaitan kesihatan mental, tekanan kehidupan, ketagihan digital serta kesunyian sosial yang semakin membimbangkan.

Sehubungan itu, Chang Lih Kang berkata platform seperti INNOCARE 2026 memainkan peranan penting dalam menghimpunkan ahli akademik, kaunselor, penyelidik, pelajar dan profesional untuk berkongsi idea, memperkenalkan penyelesaian inovatif serta menghasilkan produk yang mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penganjuran INNOCARE 2026 adalah platform strategik yang menyokong agenda negara dalam memperkukuh kesihatan mental, kesejahteraan emosi dan pembangunan insan secara mampan melalui penghasilan inovasi yang berteraskan kesejahteraan manusia.

Beliau berkata pertandingan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, mahasiswa institusi pengajian tinggi, penyelidik dan profesional apabila menerima sebanyak 128 penyertaan inovasi, dengan 86 daripadanya berjaya mara ke peringkat akhir.

Menurut beliau, hasil inovasi yang dipertandingkan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa menerusi penyertaan dalam International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX), Malaysia Technology Expo (MTE) serta Innovathon, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam pembangunan inovasi yang berorientasikan kesejahteraan masyarakat.

Pada majlis sama, turut berlangsung sesi penyampaian anugerah kepada pemenang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan inovasi dalam bidang kaunseling dan kesejahteraan.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Anugerah Inovasi Terunggul, Anugerah Inovasi Profesional, Anugerah Inovasi Pascasiswazah, Anugerah Bakat Inovasi Harapan dan Anugerah Inovasi Belia.

Penganjuran INNOCARE 2026 sekali lagi membuktikan bahawa pembangunan teknologi yang berpaksikan nilai kemanusiaan mampu menjadi pemacu kepada kesejahteraan masyarakat, di samping menyokong usaha negara melahirkan inovasi yang inklusif, beretika dan memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular