editormaxinfo@gmail.com
BANGI – Festival Warisan Selera Selatan (FWSS) 2026 kembali dengan skala lebih besar apabila menghimpunkan hampir 200 hidangan tradisi dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dalam usaha memperkukuh pemeliharaan warisan kulinari negara serta menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.
Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Jun 2026 di Evo Mall, Bandar Baru Bangi itu tampil dengan tema “Rasa Asli Menu Tradisi, Kini Di Bangi Lagi”.
Ia sekali gus meneruskan kejayaan Festival Warisan Selera Timur yang mencatatkan kehadiran lebih 12,000 pengunjung pada tahun lalu.
Susulan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran terdahulu, Festival Warisan Selera Selatan 2026 menyasarkan kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, mengukuhkan kedudukannya sebagai antara festival makanan tradisional terbesar yang meraikan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia.

Festival ini anjuran Evo Mall dan diuruskan oleh A.M.A Infinity Solution dengan sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), TEKUN Nasional serta Persatuan Penduduk Bangiku.
Kerjasama strategik tersebut bukan sahaja bertujuan memperkasa sektor pelancongan domestik, malah menyokong pembangunan usahawan tempatan serta memastikan warisan makanan tradisional negara terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, Zetty Rahim berkata, Festival Warisan Selera Selatan 2026 menghimpunkan lebih 25 vendor makanan ikonik dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang menawarkan hampir 200 variasi hidangan tradisi, resipi keluarga dan sajian turun-temurun yang menjadi identiti setiap negeri.
Menurut beliau, antara menu utama yang menjadi tarikan ialah Mee Rebus Haji Wahid dari Johor, Induk Salai dari Negeri Sembilan dan Asam Pedas Melaka yang terkenal dengan keaslian rasa warisan tempatan.
Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai sajian nostalgia seperti Nasi Ambeng, Masak Lemak Cili Api, Masak Lemak Salai, Burasak, Lemang Periuk Kera, Rendang Maman Warisan, Apam Johol, Kuih Sopang, aneka kuih tradisional, dodol serta keria gula Melaka yang semakin sukar ditemui pada masa kini.

“Festival ini bukan sekadar menghimpunkan makanan tradisi, tetapi turut membawa kisah di sebalik setiap sajian yang diwarisi daripada keluarga dan masyarakat setempat agar terus dikenali oleh generasi baharu,” katanya.
Selain menawarkan pelbagai pilihan makanan warisan, festival ini turut membawakan pelbagai aktiviti berteraskan seni, budaya dan hiburan yang sesuai untuk seisi keluarga.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung akan disajikan dengan persembahan artis terkenal tanah air, demonstrasi masakan tradisional mewakili Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, pertandingan memasak Variasi Rasa 3 Negeri, pertandingan busana tradisional negeri-negeri Selatan serta pertandingan mewarna keluarga 2 Generasi 1 Potret.
Suasana festival turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan seperti Zapin dan Kuda Kepang, selain Kuiz Warisan serta sesi sembang santai bersama tokoh dan personaliti jemputan yang berkongsi pengalaman mengenai seni, budaya dan warisan tempatan.
Sebagai menghargai kehadiran pengunjung, pihak penganjur turut menyediakan agihan 200 hidangan warisan secara percuma, cabutan bertuah serta penganjuran Anugerah Vendor FWSS 2026 bagi mengiktiraf usahawan makanan tradisional yang terus komited memelihara khazanah kulinari negara.

Kemeriahan Festival Warisan Selera Selatan 2026 turut diserikan dengan kehadiran barisan selebriti dan pempengaruh terkenal seperti Haziq Rosebi, Siti Nordiana, Naqiu Boboy, Nizam Jentik-Jentik, Adzrin Adzhar, Papayen, Dzulfqar Dzolkifley, Seorangaen, Squiggly CK dan Sara Anna.
Dalam masa sama, elemen kebudayaan terus diperkasakan menerusi persembahan khas daripada Kelab Tarian Rentak Hanung Seputra dan Akar Seni Malaysia yang bakal menghidupkan suasana festival sepanjang penganjuran berlangsung.
Festival ini turut mendapat sokongan daripada beberapa penaja termasuk Flerr Air Freshener, Adabi Malaysia, Sara Anna, Patek by Papayen Batik, Billo Malaysia dan Azue Event Hall yang bersama-sama merealisasikan usaha mempromosikan warisan makanan serta memperkukuh jenama tempatan.

Festival Warisan Selera Selatan 2026 bukan sekadar sebuah festival makanan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memelihara, mempromosi dan mengangkat warisan kulinari Malaysia sebagai aset budaya negara.
Penganjuran ini juga diharap mampu merancakkan sektor pelancongan domestik serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan makanan tradisional untuk memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat.
Meneruskan kesinambungan misi memperkenalkan kepelbagaian cita rasa Malaysia, pihak penganjur turut merancang penganjuran Festival Warisan Selera Utara 2027 yang bakal mengetengahkan keunikan makanan tradisional dari negeri-negeri di utara Semenanjung.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga dan rakan-rakan ke Festival Warisan Selera Selatan 2026 yang berlangsung di Evo Mall, Bandar Baru Bangi dari 26 hingga 28 Jun 2026 bermula jam 10 pagi hingga 10 malam bagi menikmati pengalaman menjelajah warisan rasa tiga negeri dalam satu destinasi.

