32.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 21, 2026

Kos guaman RM66,061: Jamal dakwa Anthony Loke ingkar janji

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, gagal menunaikan janji untuk membantu menyelesaikan isu kos guaman dalam kes saman fitnah membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Menurut Jamal, kegagalan itu menyebabkan beliau terpaksa menanggung sendiri kos guaman berjumlah RM66,061.85 selain berdepan tindakan lelongan terhadap 14 harta alih yang disita dari kediamannya sebelum ini.

Beliau berkata, perkara itu amat mengecewakan kerana Anthony Loke didakwa sebelum ini telah memberi jaminan bahawa isu berkenaan akan diselesaikan secara baik tanpa perlu melalui proses yang berlarutan di mahkamah.

“Anthony Loke seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai. Kes ini kecil sahaja, tetapi dia tidak dapat menyelesaikannya walaupun telah berjanji dengan saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Jamal yang juga Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor telah menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,600 kepada Teresa Kok bagi menyelesaikan tuntutan berkaitan kes saman fitnah terbabit.

Peguam Teresa Kok, Datuk SN Nair, dalam satu kenyataan media sebelum ini mengesahkan Jamal selaku penghutang penghakiman telah menyerahkan cek bernilai RM66,600 kepada Teresa Kok pada 19 Jun lalu sebagai penyelesaian penuh terhadap hutang penghakiman berkenaan.

Susulan pembayaran itu, lelongan awam yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun 2026 ditangguhkan sementara menunggu proses penjelasan cek berkenaan.

Sebelum ini, 14 harta alih yang disita dari kediaman Jamal di Ampang Jaya dijadualkan untuk dilelong selepas beliau gagal menjelaskan kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 yang perlu dibayar kepada Teresa Kok.

Tindakan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi pada 12 Jun lalu menolak tuntutan interplider yang dikemukakan oleh anak lelaki Jamal, Muhammad Amin Daniel, yang mendakwa kesemua barangan yang disita adalah miliknya.

Dalam kenyataan sama, Jamal turut mendakwa bahawa janji yang dibuat oleh Anthony Loke untuk membantu menyelesaikan isu kos guaman terbabit disaksikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Menurut beliau, perkara itu bukan sahaja dimaklumkan secara lisan, malah turut direkodkan melalui surat menyurat rasmi antara peguam yang mewakili kedua-dua pihak.

“Perkara itu disaksikan sendiri oleh Datuk Megat Zulkarnain. Malah, janji penyelesaian kos guaman itu telah dituliskan oleh peguam saya kepada peguam Teresa Kok.

“Namun, janji Anthony Loke hanya tinggal janji dan akhirnya saya terpaksa menjual selipar serta tuala bagi mendapatkan wang untuk membayar kos berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Jamal menyifatkan kegagalan Anthony Loke menunaikan janji berkenaan sebagai gambaran terhadap kepimpinan DAP yang didakwanya gagal mengotakan komitmen yang diberikan kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mempersoalkan tahap keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti terbabit sekiranya perkara yang dianggap kecil gagal diselesaikan sebagaimana yang dijanjikan.

“Jika perkara kecil seperti ini pun gagal diselesaikan mengikut janji yang dibuat, bagaimana rakyat boleh meletakkan keyakinan terhadap kepimpinannya,” katanya.

Dalam masa sama, Jamal turut meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterimanya meskipun UMNO dan penyokong parti itu pernah memberikan sokongan kepada calon-calon DAP dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Beliau mendakwa telah memainkan peranan membantu kempen parti berkenaan pada pilihan raya lalu, namun berpendapat layanan yang diterimanya dalam isu itu tidak mencerminkan semangat kerjasama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Mengikut rekod kes, pada 28 Januari lalu, Penolong Kanan Pendaftar bersama bailif mahkamah, peguam dan pegawai polis hadir ke kediaman Jamal bagi melaksanakan writ penyitaan dan penjualan terhadap 14 harta alih untuk mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak yang masih belum dijelaskan pada ketika itu.

Kes saman fitnah itu berpunca daripada tindakan Teresa Kok memfailkan saman terhadap Jamal pada 6 April 2017 selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dalam satu sidang media yang diadakan pada 8 Mac tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, Teresa Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disebarkan melalui pelbagai medium termasuk media cetak, media elektronik dan akaun Facebook milik Jamal, yang memberikan gambaran bahawa beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri bagi kepentingan peribadi selain mempunyai integriti yang dipersoalkan.

Pada 26 Julai 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 serta kos RM50,000 kepada Teresa Kok.

Keputusan itu kemudiannya dikekalkan selepas Mahkamah Persekutuan pada 30 Julai 2024 menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Bagaimanapun, Jamal telah menjelaskan bayaran ganti rugi RM300,000 yang diperintahkan mahkamah sebelum ini, manakala pembayaran terbaru dibuat bagi menyelesaikan kos penghakiman tertunggak yang menjadi pertikaian dalam kes berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular