30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, June 8, 2026

SPOTLIGHT KLCC Series tampil Aizat Amdan, Iman Troye dan Noryn Aziz dalam pengalaman muzik premium

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Landskap hiburan langsung Malaysia bakal menerima nafas baharu menerusi penganjuran SPOTLIGHT KLCC Series, sebuah siri persembahan eksklusif yang dikurasi oleh HiFive Entertainment dengan kerjasama Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), yang menawarkan pengalaman muzik premium dan lebih dekat dengan peminat.

Siri persembahan baharu itu bakal membuka tirainya di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre pada Ogos ini dengan menampilkan barisan artis terkenal tanah air merangkumi pelbagai genre muzik.

Inisiatif itu dilihat sebagai langkah memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab hiburan dan budaya serantau, selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman hiburan langsung yang lebih eksklusif dan berkualiti.

Direka khas untuk pencinta muzik dan hiburan, SPOTLIGHT KLCC Series menjanjikan pengalaman persembahan yang lebih intim menerusi gabungan produksi berkualiti tinggi, suasana premium serta interaksi lebih dekat antara artis dan peminat.

Kerjasama strategik antara HiFive Entertainment dan Kuala Lumpur Convention Centre turut mencerminkan usaha berterusan untuk menjadikan Plenary Theatre sebagai destinasi utama bagi persembahan langsung berskala kecil yang menawarkan pengalaman hiburan yang lebih eksklusif di tengah-tengah ibu negara.

Bab pertama SPOTLIGHT KLCC Series akan berlangsung dalam enam siri persembahan yang dijadualkan pada 22 Ogos dan 12 September 2026.

Barisan artis yang bakal menghiburkan penonton terdiri daripada nama-nama besar industri muzik tempatan serta bakat generasi baharu termasuk Aizat Amdan, SOG (Sekumpulan Orang Gila), Orked Farhan, Iman Troye, Imran Ajmain dan Noryn Aziz.

Pengarah Projek SPOTLIGHT KLCC, Mike Manicka berkata, matlamat utama penganjuran siri berkenaan adalah untuk membuktikan bahawa pengalaman budaya dan hiburan berkualiti tinggi tidak semestinya memerlukan venue berskala besar atau harga tiket yang mahal.

Menurut beliau, pihak penganjur komited untuk memperjuangkan konsep persembahan berskala kecil yang mampu menawarkan suasana lebih premium, sofistikated dan eksklusif kepada penonton, tanpa mengetepikan aspek kemampuan dari segi harga tiket.

“Dengan SPOTLIGHT KLCC Series, misi kami sentiasa untuk membuktikan bahawa pengalaman budaya yang luar biasa tidak memerlukan venue yang besar atau harga tiket yang terlalu tinggi.

“Kami amat komited untuk memperjuangkan persembahan berskala kecil dan intim yang menawarkan suasana premium dan sofistikated kepada penonton.

“Dalam masa yang sama, menawarkan harga tiket yang mampu milik dan boleh diakses oleh semua,” katanya.

Mike berkata, sambutan awal yang diterima amat memberangsangkan dan menjadi pemangkin kepada perancangan siri seterusnya yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“Sambutan luar biasa yang kami terima setakat ini menyemarakkan lagi semangat kami, dan kami teruja untuk mengumumkan bahawa kami akan memperkenalkan Bab 2 perjalanan ini secara rasmi pada Julai hadapan.

Janji kami adalah untuk membawa lebih banyak persembahan berkualiti tinggi yang dikurasi khas,” katanya lagi.

Selain mempersembahkan konsert dan persembahan muzik secara langsung, SPOTLIGHT KLCC Series turut berperanan sebagai platform budaya yang membuka ruang kerjasama antara artis, jenama tempatan dan komuniti kreatif.

Siri tersebut juga dijangka diperluaskan pada masa hadapan dengan pelbagai bentuk hiburan lain termasuk persembahan komedi berdiri (stand-up comedy) dan acara seni persembahan yang bersesuaian.

Bagi memastikan pengalaman pembelian tiket yang mudah dan lancar, semua tiket akan dijual secara eksklusif menerusi platform Ticket2U.

Pada 22 Ogos 2026, siri pertama akan menampilkan Aizat Amdan pada jam 1.30 petang, diikuti persembahan SOG pada jam 4.30 petang dan Orked Farhan pada jam 8.30 malam. Tiket bagi ketiga-tiga persembahan ditawarkan pada harga RM150 bagi kategori standard dan RM200 bagi kategori premium yang merangkumi sesi Meet & Greet bersama artis.

Sementara itu, siri kedua yang berlangsung pada 12 September 2026 akan menyaksikan persembahan Iman Troye pada jam 1.30 petang, Imran Ajmain pada jam 4.30 petang dan Noryn Aziz pada jam 8.30 malam.

Tiket standard bagi persembahan Iman Troye dan Imran Ajmain ditawarkan pada harga RM150 manakala tiket premium berharga RM200.

Bagi persembahan Noryn Aziz, tiket standard dijual pada harga RM180 manakala tiket premium bersama sesi Meet & Greet ditawarkan pada harga RM260.

Penganjuran SPOTLIGHT KLCC Series turut mendapat sokongan rakan media strategik apabila ERA dan SINAR tampil sebagai Rakan Radio Rasmi, manakala Astro Gempak berperanan sebagai Rakan Media Digital Rasmi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket atau mengikuti perkembangan terkini mengenai siri persembahan ini boleh melayari platform Ticket2U serta mengikuti akaun media sosial rasmi HiFive Entertainment dan Kuala Lumpur Convention Centre.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular