editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Laluan penerbangan terus pertama antara Jakarta dan Kota Bharu dijadual memulakan operasi pada 16 Jun depan sekali gus membuka lembaran baharu hubungan udara antara Indonesia dan Pantai Timur Malaysia.
Pembukaan laluan strategik itu dilihat mampu memperkukuh hubungan ekonomi, pelancongan dan perdagangan rentas sempadan selain merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara di peringkat wilayah.
Timbalan Menteri Luar Indonesia, Arif Havas Oegroseno berkata, penerbangan terus itu bukan sahaja memberi manfaat dari sudut ekonomi, malah mempunyai nilai strategik yang besar dalam memperkukuh hubungan serantau ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut beliau, selama ini hubungan di Asia Tenggara lebih banyak tertumpu kepada ibu negara seperti Jakarta, Kuala Lumpur, Singapura dan Bangkok, sedangkan hubungan antara wilayah dan negeri masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Saya fikir ini adalah satu peluang yang sangat baik. Saya mahu melihatnya bukan hanya sebagai peluang ekonomi tetapi juga hubungan strategik,” katanya ketika merasmikan program Kelantan Day, baru-baru ini.

Beliau berkata, laluan udara baharu itu dijangka memudahkan pergerakan pelancong antara Indonesia dan Kelantan selain membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan dan industri kecil serta sederhana.
Malah, hubungan lebih erat itu turut diyakini mampu memperkukuh kerjasama industri halal antara Malaysia dan Indonesia yang kini berkembang pesat di peringkat antarabangsa.
Penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu juga dijangka menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan negeri Kelantan dengan peningkatan kemasukan pelancong Indonesia ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Untuk rekod, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini membolehkan kapasiti lapangan terbang itu meningkat kepada empat juta penumpang setahun berbanding hanya 1.5 juta sebelum ini.
Peningkatan kapasiti itu dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh jaringan pengangkutan udara dan merancakkan pembangunan ekonomi serta pelancongan di Pantai Timur negara.

