30.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 11, 2026

ASIA 2026 kembali himpun Influencer dunia, promosi pelancongan Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA All Star Influencers Award (ASIA) kembali mencipta fenomena apabila edisi 2026 bakal menghimpunkan lebih 100 pempengaruh dari lebih 20 negara dalam satu gerakan promosi pelancongan digital berskala besar yang dijangka memberi impak signifikan kepada industri pelancongan dan ekonomi kreatif Malaysia.

Penganjuran All Star Influencers Award (ASIA) 2026 dilihat sebagai antara kempen promosi digital terbesar di Asia apabila melibatkan gabungan lebih 500 juta pengikut menerusi pelbagai platform media sosial termasuk Instagram dan TikTok sepanjang tempoh pelaksanaan program selama tujuh bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Dato’ Abd Rahman Soltan berkata, penganjuran kali ini membawa misi lebih besar dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan serta industri kreatif digital utama di rantau Asia.

Menurut beliau, ASIA2026 kini bukan lagi sekadar sebuah acara anugerah tahunan, sebaliknya berkembang menjadi platform antarabangsa yang menghubungkan industri pelancongan, kandungan digital, budaya dan komuniti kreatif global dalam satu ekosistem strategik yang lebih menyeluruh.

“ASIA2026 hadir dengan visi yang jauh lebih besar dan lebih menyeluruh. Kami mahu menjadikan platform ini sebagai jambatan yang menghubungkan dunia digital dengan sektor pelancongan secara lebih efektif dan berimpak tinggi.

“Pengaruh media sosial hari ini memainkan peranan sangat besar dalam menentukan trend pelancongan global.

“Apa yang dipaparkan oleh pencipta kandungan mampu memberi inspirasi kepada jutaan orang untuk mengenali sesebuah negara, budaya dan destinasi baharu.

“Atas sebab itu, kami menghimpunkan lebih 100 pempengaruh dari pelbagai negara bagi memastikan Malaysia menerima liputan organik yang meluas sepanjang program berlangsung,” katanya.

Program berprestij itu dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi pendekatan promosi digital moden yang lebih dekat dengan generasi global masa kini.

Menurut Dato’ Abd Rahman Soltan, kerjasama strategik bersama MOTAC dan Tourism Malaysia adalah langkah penting dalam memastikan kempen promosi terbabit mampu memberi impak jangka panjang kepada sektor pelancongan negara.

“Kami percaya kerjasama strategik ini mampu membantu memperkukuhkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi utama mereka.

“Malaysia memiliki keunikan yang sangat lengkap daripada kepelbagaian budaya, makanan, alam semula jadi, pulau, bandar moden sehingga pengalaman komuniti yang autentik. Semua elemen ini akan diketengahkan secara kreatif sepanjang jelajah ASIA2026,” katanya lagi.

Sepanjang tempoh tujuh bulan pelaksanaan program, delegasi pempengaruh tempatan dan antarabangsa akan menjelajah ke beberapa negeri terpilih antaranya Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Sabah, Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.

Setiap destinasi bakal mengetengahkan pengalaman unik melibatkan sektor pelancongan, budaya, warisan, makanan tradisional, gaya hidup tempatan, seni kreatif, aktiviti komuniti serta lokasi ikonik yang akan dipromosikan secara langsung kepada jutaan pengikut di seluruh dunia.

Pendekatan itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada destinasi pelancongan popular, malah membuka peluang kepada lokasi baharu dan produk pelancongan domestik berpotensi tinggi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa melalui kandungan digital kreatif.

Selain itu, ASIA2026 turut akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang jelajah berlangsung termasuk sesi komuniti, program kebudayaan, lawatan media, kolaborasi kandungan digital, persembahan khas dan aktiviti bersama peminat.

Malam kemuncak All Star Influencers Award (ASIA) 2026 dijadual berlangsung pada November 2026 menerusi sebuah acara eksklusif bertaraf antarabangsa yang bakal menghimpunkan pempengaruh, selebriti digital, pemain industri kreatif serta agensi pelancongan dari pelbagai negara.

Acara berkenaan dijangka menjadi simbol penghargaan kepada individu dan pencipta kandungan yang berjaya memberi impak besar dalam dunia digital selain memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan dan budaya menerusi platform media sosial masing-masing.

Sementara itu, ASIA turut mencatat perkembangan luar biasa sejak beberapa tahun lalu apabila ASIA2025 merekodkan lebih 1.6 bilion capaian digital menerusi tanda pagar rasmi #AllStarInfluencersAward2025 di pelbagai platform media sosial.

Sebelum itu, ASIA2024 berjaya mencatat sebanyak 518 juta capaian digital manakala ASIA2023 merekodkan 205 juta tontonan digital, sekali gus menjadi asas kepada perkembangan pesat acara berkenaan sehingga berjaya menembusi peringkat antarabangsa.

Pertumbuhan konsisten itu membuktikan kekuatan pengaruh digital berasaskan kandungan kreatif yang kini semakin mendapat perhatian jenama global serta industri pelancongan antarabangsa.

Dengan gabungan hampir satu bilion pengikut daripada semua pempengaruh yang terlibat bagi edisi 2026, All Star Influencers Award (ASIA) dijangka mencipta satu lagi pencapaian baharu dan berpotensi muncul sebagai antara platform promosi pelancongan digital terbesar pernah dianjurkan di Asia Tenggara.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular