editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pelakon muda Marc Syahmie mengakui melalui pengalaman paling mendebarkan sepanjang bergelar anak seni apabila perlu menjalani penggambaran di dalam peti mayat sebenar untuk drama bersiri Bila Cinta Menjadi Dosa.
Menurut Marc, babak berkenaan memberi cabaran besar buat dirinya, lebih-lebih lagi apabila dimaklumkan bahawa peti mayat yang digunakan produksi bukan sekadar prop penggambaran, sebaliknya peti mayat sebenar milik hospital yang masih digunakan.
Pelakon berusia 26 tahun itu berkata, perasaan berdebar mula dirasainya sebaik mengetahui lokasi dan situasi sebenar penggambaran babak terbabit.
“Bila mula-mula dapat tahu ada babak dalam peti mayat, saya memang berdebar.
“Tambah pula saya diberitahu sehari sebelum penggambaran, peti mayat itu memang digunakan untuk mayat sebenar.
“Saya bukan takut sebab ia peti mayat, tetapi sejak kecil saya memang takut tempat sempit dan gelap.
“Keadaan seperti itu boleh menyebabkan saya sesak nafas secara tiba-tiba,” katanya.

Dalam drama itu, Marc memegang watak Amar dan perlu melakonkan babak berada di dalam peti mayat dalam keadaan yang sangat realistik sehingga memberi kesan emosi mendalam terhadap dirinya.
Menurutnya lagi, cabaran menjadi lebih sukar apabila dia dimasukkan ke dalam beg plastik mayat berwarna putih sebelum diletakkan di dalam peti mayat berkenaan dan pintunya ditutup rapat.
“Keadaan memang sangat mengerunkan untuk saya. Saya dimasukkan dalam beg plastik mayat warna putih, kemudian kena zip sebelum diletakkan dalam peti mayat dan pintu ditutup.
“Bayangkan beberapa minit saya berada seorang diri dalam keadaan sejuk, sempit dan gelap. Masa itu saya betul-betul rasa seperti mayat,” katanya.

Walaupun berdepan ketakutan dan tekanan emosi, Marc berkata dia tetap berusaha mengawal perasaan demi memberikan komitmen terbaik terhadap wataknya sebagai seorang pelakon profesional.
Katanya, pengalaman itu membuatkan dirinya lebih memahami bahawa sesetengah babak lakonan bukan sahaja memerlukan penghayatan, malah kekuatan mental dan keberanian yang tinggi.
“Saya kena kawal pernafasan dan tenangkan diri. Saya ingatkan babak itu mudah, tetapi sebenarnya ia perlukan keberanian dan kekuatan mental juga.
“Alhamdulillah saya berjaya lakukan. Ini pengalaman baharu untuk saya sebagai pelakon dan bukan semua orang berpeluang melalui pengalaman seperti ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Marc turut mengakui babak berkenaan memberi kesan mendalam terhadap dirinya sehingga membuatkan dia lebih menghargai kehidupan dan menginsafi kematian.

“Sejujurnya banyak saya belajar dan insaf. Masa berlakon jadi mayat itu, terdetik juga dalam hati, kalau suatu hari nanti saya sudah tiada, mungkin beginilah keadaannya.
“Dalam peti itu saya banyak berselawat dan berzikir. Situasi memang sangat real.
“Bila saya dikeluarkan dan dengar pelakon lain menangis, walaupun mata saya terpejam, saya boleh rasa suasana itu seperti benar-benar berlaku walaupun sekadar lakonan,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan berdepan gangguan atau ‘badi’ selepas menjalani penggambaran babak itu, Marc bagaimanapun menjelaskan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kejadian pelik.
“Setakat ini tiada apa-apa berlaku. Cuma pihak produksi ada nasihatkan saya mandi dan bersihkan diri untuk elak perkara tidak baik ikut, tetapi semuanya okay,” katanya.
Menurut Marc lagi, apa yang lebih mencabar adalah dia terpaksa keluar masuk peti mayat itu berkali-kali bagi memastikan sudut kamera dan hasil penggambaran mencapai kualiti terbaik.

“Bukan sekali ya, banyak kali juga saya keluar masuk dalam itu. Tapi saya bersyukur sebab akhirnya dapat atasi ketakutan yang saya ada sejak kecil,” katanya.
Menerusi drama bersiri Bila Cinta Menjadi Dosa, Marc bergandingan bersama Che Puan Sarimah Ibrahim yang memegang watak sebagai ibunya.
Drama 30 episod yang disiarkan menerusi slot Lestary di TV3 itu bakal melabuhkan tirainya malam ini.
Selain Marc dan Sarimah, drama berkenaan turut dibarisi pelakon popular seperti Zamarul Hisham, Jasmin Hamid, Siti Elizad, Alya Iman, Zairi Aziz, Nelissa Nizam dan Maria Farida.

