29.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 28, 2026

Kad Budaya Digital tarik 500,000 pelancong China sebulan ke Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh strategi pelancongan berteraskan digital apabila melancarkan inisiatif Kad Budaya Digital Malaysia–China sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), yang dijangka mampu menarik sehingga 500,000 pelancong dari China setiap bulan.

Inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah progresif dalam mentransformasikan sektor pelancongan negara ke arah penggunaan teknologi digital, sejajar dengan perubahan trend global yang semakin menekankan pengalaman pelancongan berasaskan teknologi dan keterlibatan pengguna.

Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA), Kapten Mahadzir Mansor berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan kekuatan pasaran China yang kekal sebagai antara penyumbang utama pelancong antarabangsa ke Malaysia.

Menurut beliau, sambutan awal yang positif terhadap pendekatan digital ini turut menyumbang kepada keyakinan bahawa inisiatif berkenaan mampu mencapai sasaran ditetapkan.

“Penggunaan platform digital dalam sektor pelancongan bukan sahaja memudahkan akses kepada pelancong, malah berpotensi meningkatkan nilai perbelanjaan sepanjang mereka berada di Malaysia.

“Pendekatan itu tidak hanya memberi tumpuan kepada peningkatan jumlah pelawat, tetapi juga menitikberatkan kualiti perbelanjaan bagi memastikan impak ekonomi yang lebih menyeluruh kepada negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Kad Budaya Digital Visit Malaysia 2026, hari ini.

Majlis itu turut menghimpunkan pemain industri pelancongan serta rakan strategik dari dalam dan luar negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata kad berkenaan direka khusus bagi membolehkan pengguna di China mengumpul ganjaran melalui transaksi harian di negara asal mereka.

Ganjaran berkenaan kemudian boleh ditebus dalam bentuk pelbagai tawaran menarik ketika berada di Malaysia, sekali gus menghubungkan gaya hidup pengguna luar negara dengan ekosistem pelancongan tempatan secara lebih tersusun dan bersepadu.

Menurutnya, model terbabit mampu mewujudkan pengalaman pelancongan yang lebih bernilai tinggi serta menggalakkan pelancong untuk tinggal lebih lama dan berbelanja dengan lebih aktif sepanjang tempoh lawatan mereka di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Kapten Mahadzir memaklumkan projek yang digerakkan oleh NQ Cultural Commercial Sdn Bhd kini berada pada peringkat penyelarasan bersama rakan industri tempatan.

Kerjasama strategik membabitkan penyedia perkhidmatan dan vendor tempatan amat penting bagi memastikan rangkaian tawaran yang kompetitif dan berkualiti dapat disediakan kepada pelancong.

“Penglibatan menyeluruh pelbagai pihak dalam pelaksanaan inisiatif ini turut dijangka memberi limpahan manfaat kepada pemain industri pelancongan tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik.

“Pelaksanaan Kad Budaya Digital Malaysia–China dijangka bermula sekitar pertengahan tahun ini menerusi beberapa fasa pelaksanaan yang telah dirancang secara berperingkat.

“Jika semua perancangan berjalan lancar, inisiatif ini berupaya menjadi antara pemacu utama dalam menarik pelancong berkualiti tinggi ke Malaysia, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular