26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 16, 2026

Aidilfitri 2026 lebih bermakna: TV AlHijrah lancar kempen Syawal eratkan kasih

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, TV AlHijrah tampil dengan kempen istimewa bertemakan “Syawal Eratkan Kasih, Bertaut Sayang” yang mengetengahkan pelbagai pengisian program berunsurkan kekeluargaan, silaturahim dan nilai kasih sayang.

Kempen ini dirangka secara menyeluruh bagi memberikan pengalaman tontonan yang lengkap kepada penonton, bermula daripada malam menjelang Syawal, pagi Hari Raya, sehinggalah kepada telefilem dan program khas untuk kanak-kanak.

Setiap kandungan disusun dengan teliti bagi memastikan gabungan elemen hiburan, pendidikan serta pengisian rohani dapat dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat sepanjang musim perayaan.

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, pemilihan program dibuat secara strategik bagi memastikan penonton dapat merasai perjalanan emosi dan spiritual menyambut Aidilfitri secara berperingkat.

“Kempen ini dimulakan dengan program malam raya bagi membangkitkan suasana menjelang 1 Syawal, diikuti dengan program pagi raya, telefilem kekeluargaan serta kandungan khas kanak-kanak, sekali gus mewujudkan pengalaman tontonan yang berlapis merangkumi hiburan, pendidikan dan keinsafan dalam satu rangkaian program,” katanya.

Antara program utama yang membuka tirai ialah Salam Lebaran Raya yang bersiaran pada malam menjelang 1 Syawal.

Program ini menampilkan alunan takbir, ucapan perantau serta persembahan artis jemputan seperti Raihan, DJ Dave, Mawi, Ezad Lazim serta Ustaz Rozi Harun dan Kumpulan Ar Rayyan.

Program ini dikendalikan oleh Ustaz Izmir Fareez bersama Faizal Ismail, yang menggabungkan elemen hiburan dan kerohanian dalam suasana penuh keberkatan.

Pada pagi Hari Raya pertama hingga ketiga, rancangan Assalamualaikum Khas Syawal akan bersiaran dengan pelbagai segmen yang menyentuh aspek adab berhari raya, kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan serta nilai kasih sayang.

Program ini menampilkan barisan hos seperti Abu Talib, Naufal Hatta, Ardi Herman, Hanan Rahman, Ustazah Nazirah Abu Bakar dan Dewita Susila yang akan memeriahkan pagi Syawal dengan perkongsian ilmu dan interaksi santai bersama penonton.

Mengukuhkan lagi pengisian emosi, program Ini Kisahku Raya yang bersiaran pada 21 Mac 2026 membawa penonton menyelami kisah menyentuh hati di Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia.

Dikendalikan oleh Muhammad Daud Nurdin Muhammad, program ini memaparkan realiti sambutan Aidilfitri dalam suasana sederhana namun penuh makna, disulami kerinduan dan doa.

Bagi penonton cilik, program Jom Dengar Cerita Istimewa Aidilfitri yang disiarkan pada 2 dan 3 Syawal memberi penekanan kepada nilai pendidikan dan adab berhari raya.

Dikendalikan oleh Tilmiz Fahmi, program ini turut menampilkan adik-beradik KuMika dan KuFina yang berkongsi perspektif menarik dari sudut pandang kanak-kanak.

Selain itu, dua telefilem istimewa turut menjadi tarikan utama sepanjang kempen ini.

Telefilem Menantu Datuk Nikah Kahwin yang disiarkan pada malam Hari Raya pertama mengangkat kisah konflik keluarga apabila seorang tok kadi berdepan cabaran menerima menantu mualaf.

Telefilem ini diarahkan oleh Heykal Hanifah dan dibintangi oleh Nasir Bilal Khan, Amyza Aznan dan Daler Yusuf.

Sementara itu, telefilem Surat Dari Syurga yang bersiaran pada malam Hari Raya kedua pula mengetengahkan kisah keinsafan seorang pempengaruh yang kembali ke jalan Allah selepas tersentuh dengan kasih sayang seorang ayah.

Telefilem arahan Pali Yahya ini menampilkan lakonan Izzue Islam, Dato’ Tarmimi Siregar dan Hanna Farisha.

Menurut Zulkarnaen Mokhtar, keseluruhan kempen ini adalah usaha berterusan TV AlHijrah dalam menghidupkan nilai kekeluargaan, keinsafan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat, khususnya sepanjang musim perayaan.

Katanya, setiap program dipilih bukan sekadar untuk menghiburkan, tetapi turut membawa mesej yang relevan dan memberi inspirasi kepada semua peringkat umur.

Melalui kempen “Syawal Eratkan Kasih, Bertaut Sayang”, TV AlHijrah berharap dapat terus menjadi medium penyiaran yang bukan sahaja menghiburkan, malah mendidik dan menyatukan masyarakat, sekali gus menjadikan sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna dan penuh keberkatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular