editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, TV Sarawak (TVS) tampil memeriahkan musim perayaan menerusi kempen khas “Pesta Raya TVS”, sebuah inisiatif yang menghimpunkan pelbagai program hiburan, inspirasi serta kisah kekeluargaan untuk tontonan penonton sepanjang Ramadan hingga Syawal.
Antara program utama yang menjadi tumpuan ialah rancangan majalah televisyen Inspirasi Duniamu, yang mengetengahkan pelbagai kisah komuniti serta inspirasi masyarakat dari seluruh Malaysia termasuk Sarawak, Sabah dan Semenanjung, selain turut memaparkan cerita dari luar negara.
Setiap episod program ini menggabungkan temu bual eksklusif, laporan lapangan serta naratif visual yang merangkumi pelbagai bidang termasuk sukan, hiburan dan kisah kejayaan masyarakat.
Episod khas pra-Raya program akan disiarkan pada 18 Mac 2026, jam 10 malam.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan Aidilfitri, TVS turut mempersembahkan program hiburan istimewa Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching yang menampilkan konsep rumah terbuka Aidilfitri dengan suasana penuh muzik, gelak tawa dan interaksi santai bersama selebriti.
Program itu dihoskan oleh Ghazali Zawawi dan Sharifah Shahira, selain menampilkan persembahan artis popular seperti Aina Abdul, Mimifly, Bob Yusof, Marsha Milan, Liza Aziz, Khai Bahar, Sharifah Zarina, Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip.
Turut memeriahkan program ialah penampilan tokoh industri hiburan seperti Ramli M. S., Jalaluddin Hassan, Roy Azman, Raja Azura, Rita Rudaini dan Sharifah Shahora.

Program ini akan disiarkan pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua pada jam 9 malam di TVS, menghubungkan kemeriahan sambutan antara Kuala Lumpur dan Kuching.
Selain itu, TVS turut melancarkan lagu raya baharu berjudul Raya Paling Epik yang menampilkan kolaborasi tiga penyanyi muda iaitu Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip.
Lagu itu membawa irama pop ceria dengan mesej perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Aidilfitri, sekali gus menyasarkan pendengar daripada generasi muda.
Video muzik rasmi lagu itu telah dilancarkan pada 27 Februari 2026 dan kini boleh ditonton di semua platform media sosial rasmi TVS.
Turut menjadi sorotan kempen ini ialah filem pendek bertemakan kekeluargaan berjudul Gambar Raya Paling Epik yang mengisahkan perjalanan seorang remaja bernama Saiful yang berusaha merakam gambar raya terbaik bagi menyertai sebuah pertandingan fotografi.

Dalam usahanya itu, Saiful akhirnya menyedari bahawa kebahagiaan sebenar bukan hanya terletak pada kejayaan peribadi, tetapi pada momen berharga yang dikongsi bersama keluarga.
Filem pendek ini menampilkan lakonan Atiq Azman dan Fauziah Nawi dan akan ditayangkan pada malam Hari Raya Aidilfitri jam 9 malam.
Bagi menggalakkan penglibatan penonton, TVS turut menganjurkan Peraduan Gambar Raya Paling Epik 2026 yang mengajak orang ramai berkongsi gambar raya paling kreatif mereka di media sosial.
Peserta hanya perlu memuat naik gambar raya menggunakan lagu “Raya Paling Epik” sebagai latar muzik serta menyertakan tanda pagar #GambarRayaPalingEpik, #RayaPalingEpik dan #TVS122.
Peraduan ini berlangsung dari 15 hingga 29 Mac 2026 dengan hadiah wang tunai sehingga RM800 menanti pemenang utama.

Dalam pada itu, program khas Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri turut disajikan kepada penonton dengan menampilkan Siti Zawawi sebagai hos.
Program ini membawa penonton menyelami kemeriahan sambutan Aidilfitri menerusi perkongsian berkaitan fesyen, kecantikan serta inspirasi gaya sempena Syawal.
Episod istimewa itu turut menampilkan selebriti jemputan seperti Mimifly, Liza Aziz dan Nabila Huda dan akan disiarkan pada 25 Mac 2026 jam 8.30 malam.
Sementara itu, rancangan bual santai popular 3 Mak Dara kembali untuk musim kedua dengan menampilkan Raja Azura, Sharifah Shahora dan Rita Rudaini sebagai hos utama.
Musim terbaharu ini bakal mengetengahkan pelbagai topik berkaitan kehidupan, keluarga serta pengalaman wanita daripada pelbagai latar belakang dalam suasana santai dan menghiburkan.
Program akan mula bersiaran pada 1 April 2026, setiap Rabu jam 8.30 malam di TVS.

Bagi melengkapkan lagi sambutan perayaan, TVS turut menyiarkan pelbagai filem menarik sepanjang musim Aidilfitri termasuk Senario The Movie Ops Pocot, Senario Asam Garam, Rompak Raya, Demi Raya, Perfect Raya, Raya Sebagai Isteri, Kurung Kerawang Untuk Adik, Takbir Semalam dan Musafir Ke?.
Tayangan filem-filem ini akan disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad pada jam 8.30 malam bagi memberikan pilihan hiburan yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
TVS juga akan menyiarkan rancangan khas Dialog TVS: Perayaan & Perpaduan – Tradisi Menyatukan Malaysia yang membincangkan bagaimana sambutan perayaan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Program dijadualkan bersiaran pada 26 Mac 2026 jam 10 malam.
Dengan rangkaian program yang merangkumi hiburan, inspirasi serta kisah kekeluargaan yang dekat dengan hati masyarakat, kempen “Pesta Raya TVS” diharap dapat membawa kemeriahan Aidilfitri ke layar kaca selain memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam meraikan Syawal.
Orang ramai boleh menyaksikan kesemua program istimewa ini secara eksklusif di TVS serta melalui platform digital rasmi TVS sepanjang musim perayaan tahun ini.

