29 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026

Krisis Bersatu WP memuncak: 4 Ketua Bahagian letak jawatan serentak

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Empat Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan yang memegang jawatan kanan dalam Badan Pimpinan Negeri (BPN) mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu membabitkan jawatan Timbalan Ketua BPN, Setiausaha Negeri, Ketua Penerangan Negeri dan Bendahari Negeri.

Ini sekali gus memberi implikasi besar terhadap struktur kepimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan yang kini diterajui oleh Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin.

Menurut kenyataan yang dimaklumkan oleh Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Datuk Qobin, beliau menerima pengesahan berhubung keputusan itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu terbabit.

Datuk Qobin yang juga mantan Ketua Bahagian Bersatu Lembah Pantai dan sebelum ini antara pemimpin bahagian yang telah meletakkan jawatan serta keluar parti.

Empat Ketua Bahagian yang terbabit ialah Ketua Bahagian Seputeh yang memegang jawatan Timbalan Ketua BPN Bersatu Wilayah Persekutuan, Ketua Bahagian Segambut selaku Setiausaha Negeri, Ketua Bahagian Bukit Bintang sebagai Ketua Penerangan Negeri dan Ketua Bahagian Titiwangsa yang menyandang jawatan Bendahari Negeri. Peletakan jawatan serentak ini dilihat sebagai satu perkembangan signifikan yang memberi kesan langsung terhadap kestabilan organisasi parti di peringkat Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, tiga Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan iaitu Lembah Pantai, Kepong dan Cheras telah mengambil langkah meletakkan jawatan di bahagian masing-masing serta keluar daripada parti pada bulan lalu.

Rentetan itu, situasi terkini menambahkan lagi tekanan terhadap kepimpinan negeri yang sedang berusaha menstabilkan struktur dalaman parti.

Wilayah Persekutuan mempunyai 13 bahagian keseluruhannya, namun beberapa daripadanya kini berdepan isu dalaman.

Bahagian Labuan masih berstatus penaja, manakala Ketua Bahagian Bandar Tun Razak kini memangku jawatan.

Armada Negeri pula dilaporkan belum bersidang, sementara Naib Ketua Srikandi Negeri telah keluar parti.

Selain itu, Bersatu Wilayah Persekutuan sebelum ini turut menyaksikan pembubaran Bersekutu Wilayah Persekutuan.

Perkembangan ini berlaku ketika Radzi Jidin baru sahaja dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Melaka, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai fokus dan keupayaan kepimpinan dalam menangani cabaran di Wilayah Persekutuan.

Situasi ini juga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik berhubung kestabilan dan hala tuju Bersatu di ibu negara dalam menghadapi dinamika politik semasa.

Pemerhati melihat episod peletakan jawatan berantai ini sebagai tamparan hebat kepada kepimpinan BPN Wilayah Persekutuan.

Dengan beberapa jawatan utama kini kosong, perhatian tertumpu kepada langkah seterusnya yang akan diambil oleh pucuk pimpinan parti bagi memastikan kelangsungan organisasi dan keyakinan akar umbi terus terpelihara.

Krisis dalaman yang berlarutan ini dijangka menjadi penentu penting terhadap kekuatan dan pengaruh Bersatu di Wilayah Persekutuan menjelang fasa politik seterusnya, sekali gus memberi implikasi lebih luas kepada landskap politik nasional.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular