26.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 24, 2026

Nubhan kembali dengan single baharu ‘Andai Derita’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas mencuri perhatian peminat menerusi program realiti popular Gegar Vaganza 2026, penyanyi Nubhan, kembali mengukuhkan langkah seninya dengan pelancaran single terbaharu berjudul Andai Derita, sekali gus menandakan kemunculan semula beliau dalam arena rakaman selepas beberapa tahun.

Single Andai Derita mengetengahkan sebuah kisah cinta yang sarat dengan emosi, mengisahkan seorang lelaki yang tetap memilih untuk setia walaupun kepercayaan yang diberikan telah dikhianati.

Lagu ini tidak hadir dengan luahan amarah atau dendam, sebaliknya menampilkan sisi cinta yang memilih untuk berdiam, bertahan dan akhirnya menerima dengan penuh reda.

Kekuatan lagu ini terserlah melalui lirik-lirik puitis yang menyentuh perasaan, antaranya bait “Demi bahagiamu, biarku pergi sayang”, yang digambarkan sebagai sebuah doa yang tidak pernah terucap.

Melodinya pula hadir dengan susunan yang lembut dan mendalam, seolah-olah memeluk hati pendengar yang pernah melalui luka dalam diam, sambil mengingatkan bahawa tidak semua kesakitan perlu dijelaskan dengan kata-kata.

Menurut Nubhan, Andai Derita dicipta sebagai teman buat mereka yang sedang memujuk hati sendiri.

“Setiap insan pasti pernah melalui fasa derita dalam kehidupan dan lagu ini hadir sebagai peringatan bahawa ada masanya kesakitan tidak perlu dilawan, sebaliknya diterima dengan penuh keikhlasan dan reda,” katanya.

Nama Nubhan mula dikenali selepas menyertai Akademi Fantasia musim keenam dan berjaya mara ke peringkat akhir bersama Stacy, Riz dan Toi.

Sejak itu, beliau terus mengukir nama sebagai penyanyi pop dan balada Melayu dengan beberapa lagu popular seperti Oh Juwita, selain lagu duet bersama Siti Nordiana, Sekali Lagi yang dilancarkan pada tahun 2021.

Di samping kerjaya seni, Nubhan turut aktif sebagai usahawan serta pencipta kandungan di media sosial.

Single Andai Derita diterbitkan di bawah edaran label rakaman Luncai Emas, yang turut menguruskan hak cipta lagu dan lirik.

Kerjasama strategik ini membuka ruang buat Nubhan untuk meneruskan perjalanan seni secara konsisten dalam industri muzik tempatan yang semakin kompetitif.

Diharapkan pelancaran single ini mendapat sokongan berterusan daripada peminat dan rakan media, sekali gus membolehkan Andai Derita diterima serta dihayati oleh pendengar yang menghargai karya muzik berunsur emosi dan kejujuran.

Single Andai Derita kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify dan Apple Music.

Sebuah video muzik rasmi juga dijangka dilancarkan tidak lama lagi menerusi saluran YouTube Luncai Emas.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular