editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Shazia Rozaini tampil dengan kelainan apabila melancarkan single terbaharunya berjudul “Itoshi-Hito”, sebuah lagu cinta dalam bahasa Jepun yang sarat dengan emosi dan makna kerinduan.
Lagu ini adalah hasil ciptaan komposer dan pelawak terkenal dari kumpulan Senario, Illya Buang atau lebih dikenali sebagai Pakya Senario, sekali gus menandakan satu kolaborasi unik dalam industri muzik tempatan.
“Itoshi-Hito”, yang membawa maksud rinduku dalam bahasa Jepun, mengisahkan seorang gadis Melayu yang menyimpan perasaan terhadap seorang jejaka di Jepun.
Namun, perasaan cinta itu tidak pernah diluahkan, sebaliknya hanya dipendam dengan harapan dan andaian bahawa jejaka tersebut turut berkongsi rasa yang sama.
Ketidakpastian itulah yang terus menghantui fikiran si gadis, menjadikan lagu ini sebuah penceritaan cinta yang halus dan menyentuh perasaan.
Menurut Shazia, judul Itoshi-Hito mempunyai makna yang sangat romantik dan dekat di hatinya.
Katanya, lagu ini turut mencerminkan kerinduannya terhadap dunia nyanyian yang menjadi titik permulaan penglibatannya dalam bidang seni.
“Peluang untuk menyanyikan lagu ciptaan Pakya Senario saya sambut dengan penuh kegembiraan, lebih-lebih lagi apabila lagu berkenaan menggambarkan keindahan serta nuansa budaya Jepun yang begitu memikat,” katanya.
Walaupun kini lebih aktif sebagai pelakon, Shazia bukanlah nama asing dalam bidang muzik.
Sebelum ini, beliau pernah melancarkan beberapa single dan terus mengembangkan bakatnya dalam dunia seni lakon menerusi pelbagai drama dan telefilem terbitan TV3, Astro dan RTM.
Selain itu, Shazia turut terbabit dalam pementasan teater muzikal Masmoona bersama barisan pelakon ternama termasuk Nabila Huda, sekali gus membuktikan versatiliti beliau sebagai penggiat seni.
Pakya Senario pula berkongsi ilham menghasilkan lagu berbahasa Jepun ini tercetus daripada minatnya terhadap lagu-lagu era 1970-an yang banyak dipengaruhi oleh karya pengkarya Jepun.

Beliau merasakan irama dan melodi itu sangat serasi dengan cita rasa pendengar Melayu, justeru tercetus idea untuk menghasilkan sebuah lagu yang boleh menjadi halwa telinga tempatan dengan sentuhan budaya luar.
“Bakat Shazia dalam bidang nyanyian sememangnya tidak dapat disangkal. Perkenalan kami bermula menerusi rancangan Sepahtu Reunion, yang seterusnya mendorong saya untuk menghasilkan single terbaharu buat Shazia.
““Itoshi-Hito” adalah langkah penting dalam memperkukuh dan mengembangkan perjalanan seni Shazia dalam industri muzik tanah air,” katanya.
Dengan adunan melodi sentimental, pengaruh budaya Jepun dan penceritaan yang lembut, “Itoshi-Hito” menawarkan pengalaman emosional yang mendalam kepada pendengar.
Elemen kerinduan yang menjadi teras lagu ini menjadikannya sebuah karya yang istimewa dan berpotensi meninggalkan kesan mendalam.
Syarikat rakaman Luncai Emas turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Pakya Senario selaku komposer eksklusif di bawah naungan mereka untuk menerbitkan lagu berbahasa Jepun ini.
Inisiatif itu dilihat sebagai satu peluang untuk karya tempatan menembusi pasaran luar negara, selain menyemarakkan lagi kepelbagaian dalam industri muzik Malaysia.
Pengedaran digital serta hak cipta lagu “Itoshi-Hito” nyanyian Shazia Rozaini ditadbir oleh Luncai Emas dan kini boleh didengari di platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan iTunes.
Video muzik rasmi pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.
Pelancaran “Itoshi-Hito” diharap dapat menarik perhatian pendengar, sekali gus membuka ruang baharu buat karya tempatan berbahasa asing untuk terus berkembang dan diterima di peringkat lebih luas.

