25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 21, 2026

Barbarik ‘Rempuh’ Mega Star Arena menerusi Pentas Barbarik Vol 2, 31 Januari 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas insiden kekecohan yang berlaku semasa Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL pada 12 Disember 2025, kumpulan rock Barbarik tampil dengan langkah berani dan profesional apabila mengumumkan penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 yang bakal berlangsung di lokasi lebih besar dan berskala mega.

Konsert terbabit dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 31 Januari 2026 bermula jam 8 malam.

Insiden terdahulu yang menyaksikan ratusan peminat tidak dapat memasuki ruang konsert akibat kapasiti penuh telah membuka mata banyak pihak.

Namun, kejadian itu juga menjadi bukti kukuh bahawa Barbarik bukan sekadar sebuah kugiran biasa, sebaliknya sebuah kumpulan yang memiliki karisma, identiti serta pengaruh kuat sehingga mendapat sokongan luar biasa daripada peminat setia.

Menyedari tanggungjawab itu, Barbarik memilih untuk tidak berdiam diri dan sebaliknya ‘membayar semula’ kepercayaan peminat melalui penganjuran konsert susulan yang lebih terancang dan berkualiti.

Republic Mokhmah Records (RMR) bersama Pentas Barbarik Sdn Bhd dengan pantas mengumumkan Pentas Barbarik Vol 2 sebagai kesinambungan agenda sedia ada, yang kini diperkukuhkan dengan pemilihan lokasi lebih besar serta perancangan persembahan yang lebih megah.

Menurut wakil Barbarik, JoBranko, penganjuran ini bukan bertujuan menutup kekhilafan lalu, sebaliknya mencerminkan kesungguhan kumpulan itu dalam menjaga reputasi dan hubungan jangka panjang dengan peminat.

Beliau berkata, Pentas Barbarik Vol 2 adalah usaha Barbarik untuk memberikan pengalaman konsert berskala besar yang lebih baik, berkualiti dan terkawal, selain memastikan isu penjualan tiket berlebihan tidak berulang.

Langkah ini diambil bagi menjamin keselesaan serta kepuasan semua pihak yang hadir menyaksikan persembahan mereka.

Sebagai penganjur, RMR berkata, penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 bukan dilaksanakan untuk mengambil kesempatan daripada kekecohan yang berlaku sebelum ini.

Sebaliknya, konsert di Mega Star Arena ini dianggap sebagai medan penting yang signifikan selepas beberapa siri penganjuran terdahulu.

Wakil RMR, Abdul Musa Mokhtar berkata, Mega Star Arena dipilih kerana ia lokasi terbaik untuk memulakan tahun baharu dengan sebuah perayaan muzik yang besar dan bertenaga.

Tambahnya, pihak penganjur komited untuk mengelakkan sebarang bentuk penjualan tiket tidak sah atau berlebihan yang boleh menjejaskan reputasi bukan sahaja Barbarik, malah industri penganjuran konsert tempatan secara keseluruhan.

Pentas Barbarik Vol 2 turut dijanjikan lebih ‘panas’ dengan penyertaan pemuzik legenda tanah air, Karl, yang bakal menghangatkan pentas Mega Star Arena.

Menurut JoBranko, pemilihan Karl bukan sesuatu yang kebetulan memandangkan kewibawaan serta status legenda beliau, selain penglibatannya sebagai artis undangan dalam album sulung Barbarik, Peluru Cokelat menerusi lagu Golok Kayu.

Kehadiran Karl diyakini akan memberikan sentuhan magis dan menjadikan konsert ini satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Selain Karl, barisan pemuzik Barbarik yang terdiri daripada Ainoll, Rozaimi Muss, JoBranko dan Lee terus menampilkan gandingan mantap antara pemuzik berpengalaman dan generasi baharu.

Karl Cromok kini disenaraikan sebagai penampilan istimewa bersama Eddie, Black, Mel dan Jojet yang dikekalkan daripada persembahan terdahulu.

Konsert yang dirancang berlangsung selama dua jam 30 minit itu turut menjanjikan kelainan apabila sekitar 30 peratus repertoir persembahan akan berbeza berbanding Pentas Barbarik Vol 1.

JoBranko berkata, perancangan rapi dibuat bagi memastikan peminat menikmati pengalaman baharu, tanpa pengulangan set lagu seperti yang biasa didengar melalui rakaman atau platform penstriman.

Penjualan tiket Pentas Barbarik Vol 2 bermula pada 18 Disember 2025 jam 12 tengah hari menerusi platform iLassoTickets.

Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori dengan harga bermula RM138 bagi General Admission, RM168 untuk Rockzone (berdiri), RM268 bagi tempat duduk normal, RM368 untuk VIP tempat duduk, manakala Grand VIP Couple Seat ditawarkan pada harga RM1,500, tidak termasuk caj pemprosesan.

Dengan skala persembahan lebih besar, barisan artis istimewa serta perancangan yang lebih kemas, Pentas Barbarik Vol 2 dijangka menjadi antara konsert paling ‘kecoh’ dan dinanti-nantikan pada awal tahun 2026, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Barbarik dalam landskap muzik rock tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular