26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Konsert For You: Nourul – Persembahan 30 tahun karier Nourul Depp di Zepp KL April 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri muzik tanah air bakal diserikan dengan sebuah persembahan eksklusif apabila Rong Geng Entertainment mengumumkan penganjuran Konsert “For You: Nourul”, sebuah acara istimewa bagi menghargai perjalanan seni dan ketekunan penyanyi bervokal besar, Nourul Depp, yang sudah tiga dekad mewarnai dunia hiburan Malaysia.

Konsert berskala eksklusif ini dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026, bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada jam 8 malam dan dijangka menghimpunkan lebih 1,500 peminat setia, rakan industri, media, influencer dan komuniti kreatif tempatan.

Dengan sentuhan produksi pentas moden, susunan muzik kontemporari dan elemen visual premium, penganjur menjanjikan pengalaman konsert yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyelusuri perjalanan seni penuh warna dan evolusi muzik Nourul sepanjang 30 tahun berkarya.

Konsert “For You: Nourul” disifatkan sebagai sebuah persembahan introspektif yang membawa penonton menyelami transformasi kerjaya penyanyi itu bermula daripada era kegemilangan lagu-lagu hit 90-an, sehinggalah ke karya moden yang mempamerkan kematangan vokal serta identiti muziknya.

Selain persembahan penuh energi, konsert ini bakal memuatkan segmen akustik “intimate storytelling”, kolaborasi bersama pemuzik profesional tempatan serta tribut visual yang menyorot pencapaian dan perjalanan gemilang beliau sepanjang lebih tiga dekad.

Bagi Nourul Depp, kesempatan untuk tampil dengan konsert solo berskala besar ini adalah satu momen penuh makna dan sangat emosional.

“Ini adalah antara impian saya yang lama tertangguh. Akhirnya, saya dapat memberikan sebuah persembahan yang benar-benar mencerminkan siapa saya sebagai seorang penyanyi, wanita dan insan.

“Saya berjanji untuk memberi sepenuh hati, tenaga dan jiwa kepada penonton kerana merekalah yang menjadikan 30 tahun perjalanan saya ini begitu bermakna,” katanya.

Nourul turut menyifatkan konsert berkenaan sebagai persembahan paling jujur dan paling peribadi dalam kerjayanya, dengan harapan ia bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi inspirasi kepada para penonton.

Sementara itu, Pengarah Rong Geng Entertainment, Muhammad Fared Kuswadinata, berkata konsert ini adalah penghargaan buat peminat dan seluruh rakyat Malaysia yang terus menyokong perjalanan seni Nourul selama lebih 30 tahun.

“Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah perayaan kehidupan, ketabahan dan evolusi seni yang membentuk identiti Nourul pada hari ini.

“Kami mahu penonton merasai seluruh perjalanan itu — secara visual, emosi dan muzik,” katanya.

Tiket Konsert For You: Nourul kini boleh dibeli melalui platform rasmi ticket2u.

Harga tiket bermula daripada:

  • RM105 (Gold)
  • RM155 (Diamond)
  • RM255 (Platinum)
  • RM355 (VIP)
ARTIKEL BERKAITAN

Popular