29 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Usanita perkasa wanita asnaf melalui program baharu ‘Affiliate Wanita Berjaya’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usanita Sdn Bhd terus memperkukuh usaha pembangunan ekonomi wanita apabila melancarkan Program Usanita: Affiliate Wanita Berjaya, sebuah inisiatif keusahawanan digital yang dikhususkan untuk wanita asnaf di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Program ini, yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Maybank Islamic, memberi peluang kepada peserta menjana pendapatan secara dalam talian tanpa perlu mengeluarkan modal.

Inisiatif terbabit menyasarkan suri rumah, wanita tidak bekerja dan anak perempuan asnaf, dengan fokus kepada kemahiran pemasaran digital dan model perniagaan affiliate.

Melalui platform seperti TikTok Shop dan Shopee, peserta dapat memulakan perjalanan keusahawanan mereka hanya dengan menggunakan telefon pintar serta sambungan internet.

Sebagai permulaan, setiap peserta disasar mencapai pendapatan sekurang-kurangnya RM300 sebulan serta mengumpul simpanan pertama berjumlah RM1,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr Hasan, berkata program itu dirangka khusus untuk membuka lebih banyak pintu kepada golongan wanita asnaf agar mampu berdikari dan membina kestabilan kewangan.

“Kami amat berbesar hati memperkenalkan Usanita: Affiliate Wanita Berjaya, sebuah program yang direka bagi membantu wanita asnaf menjana pendapatan dari rumah melalui platform digital.

“Usaha ini adalah kesinambungan pengalaman kami membimbing usahawan B40 dan M40 dalam bidang penjenamaan serta pendigitalan,” katanya.

Beliau berkata, modul program telah ditambah baik berdasarkan maklum balas serta pengalaman penganjuran program perintis terdahulu, demi memastikan peserta menerima latihan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Pelancaran program dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menyifatkan usaha itu sebagai inisiatif penting dalam memperkasa wanita melalui teknologi.

“Program ini sangat relevan dengan perubahan ekonomi semasa. Ia menyediakan peluang yang fleksibel untuk wanita asnaf membina pendapatan stabil, malah membantu mereka menyumbang kepada ekonomi keluarga tanpa perlu bekerja di luar rumah,” katanya.

Beliau turut menekankan ekonomi digital membuka ruang baharu yang lebih mudah diakses oleh wanita, terutama suri rumah yang berhasrat menjana pendapatan sampingan.

Dr Noraini berkata, pendekatan pemasaran affiliate yang diperkenalkan dalam program terbabit mampu membantu wanita mewujudkan aliran pendapatan yang lebih konsisten, di samping mempelajari kemahiran digital yang kian diperlukan dalam pasaran pekerjaan moden.

Program Affiliate Wanita Berjaya dijangka bermula awal tahun depan dan menjadi satu lagi langkah signifikan dalam misi Usanita memperkasa wanita asnaf secara kolektif.

Melalui latihan praktikal, bimbingan berstruktur dan akses kepada peluang ekonomi digital, program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan taraf hidup peserta serta menyediakan landasan kukuh bagi mereka melangkah ke dunia keusahawanan moden.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular