editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Suria FM menyambut ulang tahunnya yang ke-18 pada 24 November lalu dengan menganjurkan acara Suria 18 Tahun, sebuah sambutan penuh meriah yang berlangsung di Sunway Lagoon Surf Beach.
Tahun ini, acara istimewa itu turut diraikan bersama rakan kolaborasi media, mStar, yang pada masa sama meraikan ulang tahun ke-20 mereka, menjadikan sambutan lebih bermakna dan bersejarah.
Kemeriahan ulang tahun Suria FM kali ini hadir dengan signifikan tersendiri, khususnya selepas stesen radio itu memperkenalkan penjenamaan baharu pada 17 November lalu.
Dengan tagline terbaharu “Muzik & Jiwa”, Suria FM menegaskan identiti segar dan hala tuju baharu mereka dalam menyambut kedatangan tahun 2026.
Sebanyak 200 peserta bertuah yang memenangi peraduan di Suria FM dan Kuiz Kreatif di media sosial mStar menerima tiket khas bagi menikmati hari istimewa itu bersama seorang rakan pilihan.

Mereka turut berpeluang meluangkan masa bersama barisan penyampai Suria FM seperti Ajak, Fad, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad dan DJ Lin.
Turut memeriahkan acara ialah barisan artis jemputan termasuk Nabila Razali, Najmi Niery, Bella Astillah, Ara Johari, Wany Hasrita, Aiman Tino, Syahrul Kamal, Nadia Brian, Rezza Shah, Badron Munirah, Marc Syahmie, Queen Din dan Muaz Zabir.
Antara tarikan utama sambutan tahun ini ialah aktiviti Explorace Sunway Challenge, yang membabitkan penyampai, artis jemputan dan peserta.
Aktiviti mencabar ini bukan sahaja menguji kreativiti serta ketangkasan, malah mengeratkan kerjasama berpasukan, lantas menjadikan pengalaman hari tersebut lebih bermakna dan dipenuhi gelak tawa.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, menzahirkan rasa syukur atas sambutan hangat yang diterima.
“Sambutan Suria 18 Tahun ini amat bermakna kerana ia menghimpunkan pendengar setia yang telah bersama kami sejak awal.
“Kami juga berbesar hati meraikan hari istimewa ini bersama rakan media seperti mStar yang turut menyambut pencapaian penting tahun ini.
“Sambutan yang diberikan benar-benar memberi semangat dan inspirasi kepada kami untuk terus mencipta detik-detik indah bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Suria selama 18 tahun tidak akan tercapai tanpa sokongan pelbagai pihak.
“Kejayaan Suria selama ini adalah berkat sokongan padu pendengar, rakan media, klien dan selebriti yang tidak pernah berhenti menyokong.
“Dengan penjenamaan semula serta tagline ‘Muzik & Jiwa’, kami komited untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti dan mencipta momen yang lebih segar, dekat dan relevan di hati rakyat Malaysia,” katanya.
Suria FM turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan acara berkenaan, termasuk pendengar setia yang menjadi nadi kepada perjalanan Suria selama hampir dua dekad.
Sambutan Suria 18 Tahun bukan sahaja meraikan pencapaian stesen berkenaan, tetapi juga menjadi simbol hubungan erat antara Suria FM dan pendengar Malaysia serta komitmen berterusan stesen itu untuk menghiburkan rakyat pada masa depan.

