34.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 25, 2026

Raes Arifin lancar single debut ‘Jalan Cinta’ di bawah naungan Shiha Zikir Empire

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu yang juga bintang program Gimme The Mic 2024, Raes Arifin, kini rasmi memulakan langkah dalam industri muzik tanah air dengan pelancaran single sulung berjudul Jalan Cinta.

Lagu yang diterbitkan hasil kerjasama antara Shiha Zikir Empire (SZE) dan Sony Music Malaysia itu menandakan permulaan baharu buat Raes sebagai artis rakaman profesional.

Raes yang bernaung di bawah label milik penyanyi terkenal Shiha Zikir meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat mempersembahkan karya pertamanya kepada umum.

Menurutnya, minat mendalam terhadap melodi dan nyanyian sejak kecil menjadi kekuatan untuknya bangkit daripada pelbagai cabaran hidup.

“Nyanyian bagi saya ialah satu ‘alat’ untuk bangkit daripada liku-liku kehidupan. Jalan Cinta menjadi titik permulaan saya dalam dunia seni dan Insya-Allah, saya mahu lebih serius selepas ini,” katanya.

Mengulas tentang penceritaan lagu terbabit, Raes berkata, Jalan Cinta mengetengahkan kisah cinta yang sarat emosi dan mudah dikaitkan dengan pengalaman ramai.

“Ia mengisahkan seorang pencinta yang telah memberikan segala-galanya namun akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa takdir tidak memihak kepada mereka.

“Walaupun harapan untuk kembali bersama masih ada, jalan yang disangka sehaluan bertukar menjadi dua arah apabila insan yang dicintai memilih orang lain,” katanya.

Bagi Raes sendiri, karya ini turut bersifat peribadi. Baginya, “cinta” yang paling mendalam ialah pada nyanyian cinta yang telah menyelamatkannya daripada pengalaman dibuli, gangguan kecemasan dan detik-detik sukar yang pernah hampir memadam semangatnya.

“Dalam lagu ini ada rangkap ‘dan aku merayu, jalan cinta ini tak berakhir dulu…’. Begitulah harapan saya agar suara ini terus kekal dalam hidup saya kerana dengan nyanyianlah saya bangkit semula dan percaya segala-galanya akan baik-baik sahaja,” katanya.

Raes juga tidak lupa menzahirkan penghargaan terhadap Shiha Zikir yang bukan sahaja bertindak sebagai ketua label, malah guru yang banyak membentuk perjalanan awal kariernya.

Menurutnya, Shiha bekerja keras dalam proses pemilihan lagu pertama itu sehingga berpuluh-puluh lagu ditapis sebelum Jalan Cinta dipilih sebagai karya pembukaan.

“Sesiapa yang mengenali Shiha tahu beliau seorang yang ceria, tetapi apabila masuk soal pemilihan lagu, terutama lagu pertama saya, beliau sangat serius dan fokus.

“Selepas pemilihan dibuat, saya diberi masa untuk mengolah lagu ini mengikut gaya sendiri di bawah bimbingannya. Alhamdulillah, proses rakaman hanya mengambil sekitar 40 minit hingga sejam,” katanya.

Raes turut merakamkan terima kasih kepada seluruh pasukan SZE yang telah membimbingnya sejak penyertaannya dalam pencarian SZ Talent Discover, kemudian ke program realiti Gimme The Mic Malaysia, sehinggalah ke pelancaran single pertamanya.

“SZE banyak membantu saya daripada perkara kecil hinggalah besar. Segalanya dilakukan dengan sehabis baik untuk membentuk siapa Raes Arifin hari ini. Terima kasih banyak-banyak,” katanya penuh rasa syukur.

Mengakhiri bicara, Raes berharap Jalan Cinta diterima baik pendengar dan mampu menjadi antara lagu pilihan dalam playlist galau peminat muzik tempatan.

Lebih daripada itu, beliau mengimpikan agar lagu ini membuka pintu rezeki serta menjadi jambatan yang mengukuhkan hubungan dengan peminatnya, sunRaes, yang sentiasa menyokong sejak awal pembabitan hingga kini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular