22.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, November 27, 2025

Nasi Kandaq Fest 3.0 kembali lebih ‘Surrr’ di Datum Jelatek

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Festival makanan paling dinanti peminat nasi kandar seluruh negara kembali lagi apabila Nasi Kandaq Fest 3.0 diumumkan bakal berlangsung pada 29 dan 30 November 2025 di Datum Jelatek Shopping Centre.

Acara anjuran FriedChillies dengan kerjasama Datum Jelatek itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ketiga pusat beli-belah itu, sekali gus menjanjikan pengalaman kulinari yang lebih meriah dan berwarna.

Untuk edisi kali ini, festival berprestij itu menampilkan sembilan lagenda nasi kandar dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor, menjadikannya barisan vendor paling “Surrr” sejak penganjurannya.

Festival ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) serta komuniti peminat tegar nasi kandar terbesar di Malaysia, Nasi Kandaq Hunters (NKH).

FriedChillies bersama NKH telah memilih sembilan vendor legenda yang mewakili warna-warni dunia nasi kandar daripada nama besar Pulau Pinang hingga ke jaguh Kuala Lumpur dan bintang dari Johor.

Antara line-up istimewa tahun ini termasuklah Deens Maju (Jalan Gurdwara), Nasi Kandar Kampung Melayu, Pelita Chai Leng Park, Kudu, Hameediyah, LC (Line Clear) Kampung Baru, Nasi Kandaq Talam (Johor), Nasi Kandar Bawah Pokok (Penang) serta Ibramsha yang kini kembali dengan lokasi baharu.

Setiap vendor bakal membawakan lauk tanda tangan masing-masing selain hidangan eksklusif khas untuk festival dua hari ini.

Nasi Kandaq Fest 3.0 bukan sekadar medan menjamu selera, malah sarat dengan aktiviti komuniti, hiburan keluarga dan demonstrasi makanan.

Antara tarikan utama termasuk promosi Nasi Kandar RM3 pada jam 3:33 petang untuk 333 pengunjung terawal pada kedua-dua hari festival.

Selain itu, turut diadakan pertandingan pakaian terbaik, pertandingan makan, serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Festival ini turut diserikan dengan persembahan pentas dan demo memasak oleh chef jemputan.

Acara kali ini juga disokong oleh jenama rasmi seperti Able Farm (Krimer Rasmi), Jasmine Rice (Beras Rasmi) dan ECOSAFA (Minyak Masak Rasmi).

Menurut Adly Rizal, CEO FriedChillies, penganjuran tahun ini membawa semangat baharu dengan kombinasi vendor paling menarik pernah dikumpulkan.

“Tahun ini kami membawa sembilan vendor nasi kandar kegemaran rakyat dari Penang, KL dan Johor ini sememangnya line-up paling Surrr setakat ini.

“Kami juga teruja menganjurkan Nasi Kandaq Fest 3.0 di Datum Jelatek bersempena ulang tahun ketiga mereka.

“Lokasi ini sangat ideal dengan akses LRT terus ke pusat beli-belah, parkir yang luas dan suasana yang selesa untuk pengunjung” katanya.

Sementara itu, Zetty Rahim, CEO Datum Jelatek Shopping Centre, Zetty Rahim berkata, festival ini sebagai simbol komitmen pusat beli-belah terbabit untuk kekal menjadi ruang komuniti dan budaya.

“Untuk ulang tahun ketiga kami, kami mahukan acara yang meraikan warisan Malaysia sambil menyatukan Masyarakat dan Nasi Kandaq Fest 3.0 memenuhi matlamat ini.

“Menghimpunkan sembilan lejen nasi kandar di bawah satu bumbung adalah pengalaman jarang berlaku dan kami berbangga membawanya kepada pengunjung kami,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden PRESMA, Dato’ Mohamed Mosin berkata,pihaknya mengangkat kepentingan festival ini dalam memartabatkan warisan kulinari negara.

“Nasi kandar lebih daripada makanan ia simbol budaya dan identiti warisan Muslim-India Malaysia.

“PRESMA berbangga menyokong festival yang menghimpunkan pengusaha nasi kandar disegani dari seluruh negara,” katanya.

Pengasas Nasi Kandaq Hunters, Pandai Othman berkata, pihaknya teruja akan penganjuran ini.

“Dengan sembilan nama besar yang dipilih bersama FriedChillies, peminat akan menikmati pilihan terbaik serta rasa autentik,” katanya sambil menjemput ahli NKH hadir memeriahkan festival.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular