editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Industri sawit Malaysia perlu memperkukuh naratif sebenar mengenai minyak sawit sebagai minyak masak paling berdaya saing, mampan dan kompetitif berbanding minyak-minyak lain termasuk minyak zaitun.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, usaha menangkis mitos dan maklumat tidak tepat mengenai sawit tidak boleh berhenti di media sosial semata-mata, sebaliknya perlu dimulakan di peringkat akar umbi melalui pendidikan formal di sekolah.
Menurutnya, Malaysian Palm Oil Council (MPOC) wajar diberikan ruang dan peranan lebih besar dalam sistem pendidikan untuk memperkenalkan pengetahuan asas mengenai minyak sawit, daripada bagaimana ia dihasilkan, impaknya kepada ekonomi negara, hingga kepada kelebihan sebenar sawit berbanding minyak lain.
Langkah itu diyakini penting untuk memupuk pemahaman rakyat sejak kecil dan membentuk pengguna yang lebih celik mengenai industri sawit.
“Cubaan menerangkan isu kestabilan dan kelebihan minyak sawit secara langsung sering kurang berkesan kerana ia datang daripada pihak industri sendiri.

“Oleh itu, naratif ini perlu dibawa oleh pihak ketiga yang neutral dan dipercayai.
“Institusi komuniti, NGO dan rakan strategik lain disifatkan sebagai pihak yang sesuai untuk berkongsi fakta mengenai pertanian lestari serta perbezaan antara ladang mampan dan tidak mampan,” katanya selepas mengadakan pembentangan pada penganjuran
Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Katanya, Malaysia, perlu memberikan lebih pendedahan kerana masih ramai rakyat tempatan yang tidak memahami peranan sebenar industri sawit walaupun ia telah lama menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Salah satu pendekatan penting yang disarankan ialah memanfaatkan produk harian untuk membuktikan betapa pentingnya minyak sawit dalam kehidupan seharian.
“Tanpa minyak sawit, banyak produk popular seperti makanan dan minuman coklat, ayam goreng, snek keropok, syampu, ubat gigi dan pelbagai barangan kegunaan harian tidak akan wujud dalam kualiti yang sama seperti hari ini.
“Minyak sawit bukan sekadar minyak masak, tetapi menjadi bahan utama dalam makanan, minuman, produk penjagaan diri dan pelbagai barangan pengguna lain,” katanya lagi.
Beliau berkata, negara-negara Eropah, termasuk United Kingdom, kini bergantung kepada minyak sawit dan tidak dapat menggantikannya dengan alternatif lain secara efektif.
Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak dalam industri untuk terus mendekati pengguna dan komuniti global untuk menjelaskan manfaat minyak sawit lestari secara telus.
Mengenai isu kelestarian dan pertumbuhan ekonomi, beliau menolak anggapan bahawa kedua-duanya bertentangan.
Sebaliknya, pelaburan awal dalam pensijilan lestari memberi pulangan jangka panjang.
Di Malaysia, kos pensijilan untuk pekebun kecil ditanggung kerajaan bagi memastikan mereka tidak terbeban.
Walaupun pulangan tidak dilihat serta-merta, permintaan pasaran terhadap minyak sawit bersijil dijangka meningkat, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit pilihan dunia.

Beliau memberi contoh syarikatnya menerima premium tambahan daripada pelanggan antarabangsa yang memilih minyak sawit lestari.
“Premium itu bukan sahaja menguntungkan syarikat, tetapi turut dikembalikan kepada pekebun kecil yang terbabit dalam rantaian bekalan mampan.
“Namun, cabaran utama adalah memastikan minyak sawit pekebun kecil sampai ke kilang-kilang tertentu bagi tujuan pensijilan.
“Ketidaktentuan rantaian bekalan menyebabkan minyak mereka sering dijual kepada peraih yang kemudian menghantar ke kilang lain, sekali gus menjejaskan jejak dapat kesan (traceability),” katanya.
Mohd Haris berkata, sistem rantaian bekalan yang lebih tersusun perlu diwujudkan bagi memastikan semua pekebun kecil mendapat manfaat daripada premium minyak sawit lestari.
Katanya, usaha mengubah persepsi pengguna memerlukan kerjasama pelbagai pihak daripada institusi pendidikan, NGO, komuniti, sehingga industri makanan dan penjagaan diri untuk bersama-sama membawa naratif sebenar mengenai minyak sawit Malaysia yang lestari, selamat, berkualiti tinggi dan kompetitif di pasaran global.

