28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026

Lakonan watak Bella terlalu menjadi, Trisha Ooi terima ugutan peminat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lakonan Trisha Ooi sebagai Bella dalam drama bersiri popular Jika Cinta Itu Buta kini menjadi perhatian ramai apabila karakter antagonis yang dibawanya terlalu berkesan sehingga mengundang kebencian penonton.

Malah, pelakon berusia 26 tahun itu mengakui menerima ugutan dan komen kasar daripada peminat yang benar-benar berang dengan sikap biadab watak terbabit.

Bella digambarkan sebagai seorang wanita yang bukan sahaja jahat, tetapi melakukan tindakan di luar batas logik dan kawalan emosi, menjadikannya antara karakter paling dibenci dalam drama yang sedang hangat ditayangkan di slot Tiara, Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang.

Disebabkan intensiti jalan cerita dan sifat ekstrem watak itu, ada peminat yang meninggalkan komen mahu “menampar” dan “mencili” Bella kerana terlalu geram dengan perlakuannya.

Bagi Trisha, reaksi itu tidak dianggap sebagai serangan peribadi, sebaliknya satu bentuk penghargaan terhadap mutu lakonannya.

“Jujur, saya anggap itu satu pujian. Bila orang betul-betul marah dengan watak itu (Bella), maknanya mereka percaya dengan lakonan saya.

“Saya baca komen-komen seperti nak tampar atau nak cili dengan hati terbuka kerana itu tanda watak Bella meninggalkan kesan.

“Tapi dalam masa sama, saya harap penonton dapat membezakan antara Bella dan Trisha dan harap jangan cili betul-betul lah ya,” katanya.

Walaupun memahami kemarahan peminat, Trisha tetap berharap penonton dapat menonton watak Bella dengan lebih empati dan bukan sekadar menilainya melalui sisi negatif.

“Saya faham kenapa ramai benci Bella. Tapi cuba tengok dia dengan sedikit empati. Kadang orang yang paling menyakitkan kita, sebenarnya paling banyak terluka.

“Tengok dia bukan sebagai musuh, tapi sebagai cermin mungkin ada sesuatu yang kita boleh belajar daripada watak Bella,” katanya.

Trisha berkata, membawa watak antagonis itu memberi pengalaman lakonan yang cukup mencabar namun memuaskan.

Berpeluang bergandingan dengan pelakon hebat seperti Uqasha Senrose, Keith Foo dan Shah Jaszle turut memperkayakan proses kreatifnya sepanjang penggambaran.

“Sebenarnya setiap kali ke set, saya bukan sekadar berlakon, tapi menyelami cara Bella berfikir. Dia bukan jahat sahaja, tetapi tindakannya sering di luar jangkaan.

“Saya perlu faham keputusan-keputusan yang orang luar nampak ‘salah’, tetapi bagi Bella, itu caranya bertahan.

“Watak Bella penuh dramatik dan emosi. Ia mencabar, tetapi seronok kerana memberi ruang untuk saya bereksperimen,” katanya.

Jika Cinta Itu Buta, terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. dengan arahan Uchee Fuckada dan Ain Shariff, mengisahkan perkahwinan Farid dan Maryam yang diuji dengan pelbagai konflik, termasuk skandal membabitkan Farid dengan Samantha dan Bella.

Ketika Maryam berjuang mempertahankan haknya, kehadiran Adam memberi kekuatan baharu dalam hidupnya, sekali gus membuatkan hubungan Adam dan Bella semakin tegang.

Dalam kekacauan itu, Bella mengambil kesempatan untuk merampas Farid daripada Maryam sehingga mencetuskan pelbagai konflik dan penderitaan, sebelum Maryam akhirnya bertemu insan-insan baik yang mengubah nasibnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular