editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi tanah air, Siti Nordiana, atau lebih mesra disapa Nana, kembali dengan kelainan menerusi single terbaharunya berjudul Ahai, sebuah karya yang menyatukan elemen tradisional dan moden dalam gaya Irama Malaysia kontemporari.
Lagu ini adalah ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, diterbitkan di bawah label 1711 Music.
Menurut Nana, Ahai adalah hasil daripada impiannya selama dua tahun untuk mengembalikan semula keindahan dan nostalgia muzik Irama Malaysia yang pernah menjadi sebahagian besar daripada perjalanan seninya.
“Sudah lama sebenarnya saya berniat untuk keluarkan lagu Irama Malaysia. Dulu saya pernah rakam lagu genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu.
“Jadi selepas dua tahun berfikir dan merancang, alhamdulillah akhirnya terlaksana juga bila saya kongsi hasrat itu dengan Ikhwan dan Wan Saleh,” katanya.
Nana berkata, proses penghasilan Ahai telah dirancang sejak awal tahun dan melalui beberapa siri rakaman sebelum dimuktamadkan.

Kolaborasi bersama dua komposer berpengalaman itu, katanya, amat serasi dan berjaya menghasilkan sebuah karya yang benar-benar dekat di hatinya.
“Saya memang puas hati dengan duo hebat ni. Apa yang saya mahu mereka berikan.
“Ahai memang jiwa saya sebab ada bunyi kompang, gendang dan elemen tradisional yang mengimbau zaman kita membesar dulu, tapi dalam gaya moden. Lenggok vokal pun hasil perbincangan kami bertiga,” katanya lagi.
Tidak sekadar menghiburkan, Ahai membawa mesej yang cukup bermakna iaitu sebuah nasihat penuh kasih sayang tentang tanggungjawab dan keikhlasan dalam hubungan suami isteri.
“Lagu ni bercerita dan memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin. Jadi, saya kena main dengan emosi yang ada masa lembut, ada masa tegas, tapi masih dalam nada gurau senda.
“Rentaknya pun laju, jadi kena seimbang antara tenaga dan kelembutan,” kata Nana tentang cabaran vokal yang dihadapinya ketika rakaman.

Lirik Ahai yang puitis disertai melodi ceria menjadikannya bukan sekadar lagu cinta, tetapi juga peringatan agar sentiasa menghargai pasangan dan tidak melakukan kezaliman dalam rumah tangga.
“Lirik lagu ini sangat indah dan bermanfaat. Ia mengingatkan kita supaya menjaga niat perkahwinan dan berbuat baik kepada pasangan.
“Jangan sesekali aniaya orang yang kita sayang sebab setiap perbuatan ada balasannya. Lagu ini boleh dijadikan panduan hidup, bukan sekadar hiburan,” katanya.
Nana berkata, Ahai sebagai langkah kecil namun bermakna untuk memartabatkan semula muzik tradisional tempatan agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.
“Irama Malaysia ini memang jiwa saya dari dulu lagi. Saya membesar dengan lagu-lagu genre ini dan pernah menyertai pertandingan bintang asli sejak kecil.
“Malah, dulu saya pernah keluarkan album Irama Malaysia berjudul Firuz pada tahun 2003. Bila peminat pun sering minta saya nyanyi lagu Irama Malaysia masa persembahan, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk kembalikan genre ini dengan pendekatan lebih segar,” katanya lagi.

Bersempena pelancaran lagu berkenaan, Siti Nordiana turut mempersembahkan video muzik rasmi Ahai yang ditayangkan pada 7 November jam 9 malam di saluran YouTube rasmi 1711 Music.
Menariknya, video muzik berkenaan turut menampilkan kehadiran kelab peminat rasmi Siti Nordiana FC sebagai artis undangan, menjadikan visual lagu ini lebih meriah dan bermakna.
Ahai kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music menerusi pautan berikut: https://youtu.be/jXNGC3N6eHk?si=O9EVoI3638skcGpI.


https://shorturl.fm/zFn2x