editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Jenama audio mewah terkemuka dari Britain, Bowers & Wilkins, kini secara rasmi melancarkan model terbaharunya, Px8 S2, fon kepala wayarles pembatal hingar aktif (ANC) yang ditetapkan sebagai penanda aras baharu dalam kategori audio premium.
Dilancarkan pada harga runcit RM3,299, Px8 S2 membawa gabungan antara reka bentuk mewah, keselesaan optimum dan keupayaan audio bertaraf studio, menjadikannya model mercu dalam rangkaian fon kepala Bowers & Wilkins.
Sebagai jenama yang diiktiraf dan digunakan oleh profesional muzik di seluruh dunia, Bowers & Wilkins terus mengekalkan reputasinya dalam menyampaikan pengalaman audio berkualiti tinggi yang selari dengan niat asal artis.
Melalui model Px8 S2, jenama ini sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap inovasi dan ketelitian teknikal dalam menghasilkan fon kepala terbaik mereka setakat ini.
Naib Presiden Pemasaran Jenama Bowers & Wilkins Giles Pocock berkata, ketika memperkenalkan Px8 pada 2022, ia telah mengubah jangkaan pengguna terhadap prestasi fon kepala wayarles.

“Kini, Px8 S2 menetapkan semula standard itu bukan sahaja dari segi kualiti bunyi tetapi juga dalam rekaan dan mutu kerja.
“Ini adalah ekspresi tertinggi misi kami: membawa pendengar lebih dekat dengan persembahan sebenar artis,” katanya.
Reka Bentuk Elegan dan Keselesaan Sepanjang Hari
Px8 S2 tampil dengan reka bentuk yang lebih anggun dan ringan berbanding pendahulunya, serta hadir bersama bekas penyimpanan baharu yang lebih padat untuk kemudahan dibawa ke mana-mana.
Dilapisi kulit Nappa ultra-lembut pada bahagian pad telinga dan kepala, serta dilengkapi rangka aluminium yang tahan lasak namun bergaya, fon kepala ini tersedia dalam dua pilihan warna elegan Onyx Black dan Warm Stone.
Setiap unit juga menyokong penggantian pad telinga dan headband melalui servis rasmi Bowers & Wilkins, menjadikannya pelaburan jangka panjang untuk penggemar audio sejati.

Teknologi Audio Bertaraf Studio
Di sebalik rekaan mewah Px8 S2 tersimpan sistem akustik termaju yang disokong oleh pemacu Carbon Cone 40mm.
Dihasilkan dengan casis, gegelung suara, dan magnet yang direka semula sepenuhnya, pemacu ini dipasang dengan sudut tepat untuk memastikan kedudukan akustik ideal menghasilkan ketelitian bunyi luar biasa dengan distorsi minimum dan dinamik yang mengagumkan.
Model ini turut didayakan dengan teknologi Qualcomm aptX Adaptive 24-bit/96kHz dan aptX Lossless, membolehkan penstriman muzik beresolusi tinggi dari platform seperti TIDAL, Qobuz dan Amazon Music melalui aplikasi Bowers & Wilkins Music.
Untuk sambungan lebih fleksibel, Px8 S2 juga menyokong kabel 3.5mm analog serta USB-C digital kedua-duanya disediakan dalam kotak pembelian.

Teknologi Pembatalan Hingar Aktif yang Dipertingkat
Sebagai jenama yang terkenal dengan keupayaan pembatal hingar berkualiti tinggi, Bowers & Wilkins melengkapkan Px8 S2 dengan lapan mikrofon berprestasi tinggi yang ditempatkan secara strategik di sekitar pad telinga.
Dua daripadanya mengukur output pemacu audio, empat lagi mengesan bunyi sekeliling, manakala dua mikrofon tambahan memastikan kejelasan suara ketika panggilan semuanya berfungsi bersama teknologi ADI Pure Voice untuk hasil komunikasi yang jernih walau dalam persekitaran bising.

Hayat Bateri Lama dan Ciri Masa Hadapan
Px8 S2 menawarkan sehingga 30 jam masa main balik dengan pembatal hingar diaktifkan. Hanya dengan pengecasan pantas selama 15 minit, pengguna boleh menikmati sehingga tujuh jam tambahan penggunaan.
Aplikasi Bowers & Wilkins Music membolehkan pengguna menyesuaikan tahap pembatal hingar, EQ lima jalur, mod “True Sound”, dan fungsi butang Quick Action selain sokongan pembaruan perisian over-the-air (OTA).
Malah, Px8 S2 direka untuk masa hadapan, dengan kemas kini yang akan datang termasuk sokongan audio spatial dan Bluetooth LE Audio dengan Auracast, menjadikannya pelaburan jangka panjang yang berbaloi untuk pencinta muzik dan audiofil.
Kini Tersedia di Malaysia
Fon kepala Px8 S2 boleh didapati bermula hari ini di Malaysia menerusi beberapa saluran rasmi seperti tcacoustic.asia, Sonos Concept Store @ Starhill, Bowers & Wilkins Official Store di Lazada, serta peruncit terpilih seperti Thundermatch, Flash Gadget, dan PC Image.