editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dalam satu langkah bersejarah buat industri muzik tanah air, Universal Music Malaysia bersama PMP Entertainment mengumumkan pelancaran eksklusif kesemua lapan album milik Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid, dalam format vinyl menjadikannya artis Malaysia pertama yang berjaya merealisasikan kesemua album penuh dalam medium klasik ini.
Pelancaran istimewa ini bukan sahaja bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-40 penglibatan Datuk Sheila Majid dalam arena muzik tanah air, malah diadakan bersempena Konsert “Sheila Majid: 40 Years in Music” yang dijadual berlangsung pada 8 November 2025.
Ia turut dianggap sebagai penghargaan kepada peminat setia yang membesar dengan karya-karya seni beliau yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik Malaysia.
Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata, pelancaran vinyl ini adalah antara permintaan tertinggi daripada peminat sejak sekian lama dan akhirnya menjadi kenyataan menerusi projek eksklusif ini.

“Ramai peminat bertanyakan bilakah kesemua album Datuk Sheila Majid akan diterbitkan dalam format vinyl.
“Maka, kami mengambil inisiatif ini bukan sahaja untuk memenuhi permintaan itu, malah sebagai simbol penghormatan terhadap legasi beliau dalam industri muzik,” katanya.
Apa yang menjadikan pelancaran ini lebih istimewa ialah jumlahnya yang terhad kepada hanya 300 set sahaja menjadikan koleksi ini sebagai edisi eksklusif yang amat berharga bagi pengumpul dan pencinta muzik sejati.
Setiap satu dijual pada harga pra-tempahan RM1,499 bermula pada 23 September 2025 lalu, manakala harga runcit biasa selepas itu adalah RM1,599. Pelancaran rasmi pula dijadualkan pada 5 Oktober ini.

Lapan album yang dimuatkan dalam set vinyl ini termasuklah karya ikonik seperti Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita dan Boneka.
Setiap album menampilkan gaya persembahan tersendiri yang memperlihatkan evolusi muzik Datuk Sheila Majid dari awal kemunculan sehingga kini.
Projek mega ini turut memperlihatkan kolaborasi istimewa antara label-label ternama seperti EMI Music / Universal Music, Warner Music Malaysia dan Magada Entertainment Sdn Bhd satu pencapaian penting dalam dunia penerbitan muzik tempatan.
Bagi peminat tegar, koleksi vinyl ini bukan sekadar memorabilia, tetapi lambang kepada perjalanan seni seorang figura unggul yang telah memberi warna kepada industri muzik Malaysia selama empat dekad.
Ia juga menjadi medium untuk generasi baharu mengenali lebih dekat nilai seni dan warisan muzik tanah air melalui teknologi audio klasik yang kini kembali mendapat tempat di hati pendengar moden.
Untuk maklumat lanjut mengenai tempahan dan perkembangan pelancaran, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi Universal Music Malaysia di media sosial.

