editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pertubuhan BELIA MAHIR menzahirkan komitmen penuh untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, agensi berkaitan dan industri dalam memperkukuh masa depan pendidikan kemahiran negara, khususnya membabitkan golongan belia yang memilih laluan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
Presiden BELIA MAHIR, Mohammad Rizan Hassan berkata, isu kekurangan dana yang sedang dihadapi oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menimbulkan kebimbangan besar, memandangkan agensi itu adalah sumber utama pembiayaan kepada ribuan pelajar daripada golongan B40, belia NEET dan belia berisiko di seluruh negara.
Menurutnya, PTPK telah memainkan peranan penting sejak awal penubuhannya dalam membuka akses kepada pendidikan kemahiran dan menjadi harapan utama buat belia yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menyertai program latihan kemahiran, khususnya di Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).
Jelasnya, ILKS kini menjadi pelengkap penting kepada Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), memandangkan kapasiti ILKA yang terhad.
“Kedua-dua institusi ini menjalankan latihan berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) serta menawarkan persijilan yang setara,” katanya.
Justeru, akses kepada pembiayaan tidak seharusnya dibezakan mengikut jenis institusi.
Di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, landskap pendidikan kemahiran di Malaysia menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan ketara dalam kemasukan belia ke institusi TVET sejak tiga tahun lalu.
TVET kini dilihat sebagai pilihan utama, bukan lagi laluan kedua.
Namun begitu, perkembangan ini secara tidak langsung memberi tekanan besar kepada peruntukan sedia ada.
Dengan dana sekitar RM200 juta setahun, PTPK kini berdepan cabaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Sekiranya isu ini tidak ditangani segera, ribuan belia mungkin terpaksa menghentikan pengajian mereka.
BELIA MAHIR turut menegaskan bahawa tidak timbul soal kegagalan PTPK dalam melaksanakan fungsinya.
Sebaliknya, agensi ini memerlukan sokongan yang lebih kukuh dalam bentuk peruntukan mencukupi agar dapat terus menjalankan tanggungjawabnya menyantuni keperluan belia berkemahiran secara menyeluruh.
Dalam masa sama, pertubuhan itu turut menyeru agar graduan TVET yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing memainkan peranan dengan membayar semula pinjaman PTPK.
Dana ini adalah tabung pusingan (revolving fund) yang amat penting untuk memastikan kelangsungan bantuan kepada generasi seterusnya.
Mohammad Rizan turut menekankan fokus terhadap kebajikan belia, terutamanya dari kelompok rentan, perlu menjadi agenda bersama semua pihak.
Setiap peluang latihan yang diberikan hari ini bukan sahaja memberi masa depan kepada individu, malah membantu membina kekuatan tenaga kerja mahir negara.
“Menyantuni belia adalah menyantuni masa depan negara. Pembangunan TVET bukan sekadar agenda ekonomi, tetapi agenda kebangsaan yang menuntut perhatian semua pihak,” katanya.

