27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 17, 2026

Kuching sasar jadi tuan rumah Persidangan Bandar Gastronomi Unesco 2026

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Bandar raya Kuching sedang giat merancang pencalonan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Bandar Gastronomi Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) pada tahun 2026 satu langkah strategik yang dijangka akan menghimpunkan wakil dari 63 bandar utama dunia.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, sekiranya berjaya, penganjuran acara berprestij itu bukan sahaja akan mengukuhkan peranan Malaysia dalam diplomasi budaya dan pembangunan bandar lestari, malah berpotensi meletakkan negara sebagai peneraju dalam pertumbuhan ekonomi kreatif di rantau ini.

“Ini adalah peluang besar untuk Malaysia menampilkan kekayaan serta kepelbagaian warisan kulinari kepada dunia, di samping memperkukuh jalinan kerjasama antara bandar-bandar dalam negara dan rakan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi panel bertajuk ‘The Road to Unesco – Kota Bharu as a Creative City of Gastronomy’ sempena Festival Cita Rasa @ Warisan Pantai Timur yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam sesi itu, Wee turut berkongsi pengalaman Kuching sebagai bandar pertama di Malaysia yang diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO, yang dianugerahkan pada tahun 2021.

Menerusi perkongsian berkenaan, beliau berkata, kejayaan Kuching bukan sekadar satu pengiktirafan, malah mencerminkan komitmen jangka panjang dalam memperkasa komuniti tempatan, memelihara resipi warisan, memperkukuh rantaian bekalan makanan setempat serta memastikan kemajuan bandar turut dinikmati secara inklusif.

“Diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi UNESCO hanyalah satu permulaan. Tanggungjawab kita jauh lebih besar.

“Ia membabitkan usaha berterusan dalam memperkasa komuniti, memelihara resipi tradisional dan membina ekosistem ekonomi yang lestari,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Kuching telah melaksanakan pelan tindakan selama empat tahun yang merangkumi penglibatan secara langsung dengan peniaga kecil, belia, penggiat seni serta pengusaha pelancongan melalui pelbagai inisiatif.

Antaranya termasuklah penjenamaan semula gastronomi dalam kempen Visit Malaysia, serta penganjuran program pertukaran kulinari rentas sempadan yang memperkukuh kedudukan Kuching sebagai hab diplomasi budaya dan pelancongan lestari.

Program-program terbabit telah menarik lebih sejuta pengunjung setiap tahun ketika festival makanan berlangsung, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang ketara bagi komuniti setempat.

Selain itu, penglibatan belia turut menjadi fokus utama dalam strategi bandar berkenaan.

Beberapa inisiatif telah dilaksanakan untuk memperlengkapkan usahawan muda dengan kemahiran dalam pemasaran digital, keselamatan makanan serta dokumentasi resipi warisan usaha penting dalam memastikan kesinambungan masakan tradisional untuk generasi akan datang.

Katanya, pendekatan Kuching yang berteraskan inklusiviti, kelestarian dan pemerkasaan komuniti boleh dijadikan model berguna oleh bandar-bandar lain di Malaysia, termasuk Kota Bharu, yang kini dalam usaha menyertai rangkaian Bandar Kreatif UNESCO.

“Hasrat Kota Bharu untuk menyertai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO adalah satu peluang besar bagi Malaysia mempamerkan warisan kulinari pelbagai kaum di pentas global.

“Kita harus bekerjasama untuk membina ekosistem kebangsaan yang kukuh berteraskan inovasi bandar berasaskan budaya dan pelancongan lestari,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular