26.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 11, 2026

UPSI potensi jadi perintis APEL.M di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan potensi besar untuk menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menerajui pelaksanaan program Accreditation of Prior Experiential Learning for Micro-credentials (APEL.M), susulan penganjuran Taklimat APEL.M yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, baru-baru ini.

Taklimat itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, yang memuji kesungguhan UPSI dalam meneroka peluang baharu bagi memperluas akses pendidikan melalui pendekatan pengiktirafan pengalaman terdahulu.

Menurut beliau, UPSI adalah institusi pengajian tinggi awam pertama yang menjemput pihak MQA bagi memberikan taklimat khas mengenai APEL.M, sekali gus menzahirkan komitmen UPSI dalam memperkasakan inovasi akademik.

“UPSI mempunyai kelebihan kerana kepakarannya yang kukuh dalam bidang pendidikan.

“Justeru, universiti ini harus memanfaatkan kekuatan tersebut untuk membangunkan kursus micro-credentials, seterusnya muncul sebagai peneraju utama dalam penawaran APEL.M di peringkat kebangsaan,” katanya.

APEL.M ialah mekanisme penilaian yang membolehkan individu mengumpul micro-credentials daripada kursus-kursus berasingan, yang kemudiannya boleh digabung dan diiktiraf untuk memenuhi keperluan bagi memperoleh kelayakan akademik tertentu.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi fleksibiliti kepada pelajar, tetapi turut membuka peluang pembelajaran kepada golongan yang mempunyai pengalaman luas namun belum memiliki sijil formal.

Bagi merealisasikan hasrat itu, UPSI kini giat dalam usaha menubuhkan Pusat Penilaian APEL (PPA) khusus bagi APEL.M dan mempercepatkan proses pelaksanaannya agar penilaian terhadap calon dapat dijalankan dalam masa terdekat.

Taklimat yang dihadiri oleh lebih 250 warga universiti itu turut memfokuskan kepada aspek teknikal seperti proses pengumpulan micro-credentials, kriteria penilaian serta potensi manfaat jangka panjang kepada peserta program.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah strategik dalam mengukuhkan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang dinamik, inklusif dan responsif terhadap perubahan semasa.

“Melalui pendekatan ini, kita berupaya membina kapasiti sumber manusia yang lebih adaptif, progresif dan berdaya saing.

“Ia turut memberi peluang kedua kepada individu yang memiliki pengalaman kerja tetapi tidak mempunyai kelayakan formal untuk menambah baik tahap pendidikan dan kemahiran mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan APEL.M bakal memberi impak signifikan terhadap pembangunan kerjaya kakitangan UPSI serta menyumbang kepada usaha negara dalam membentuk masyarakat berpengetahuan.

“Inisiatif ini adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap pengalaman terdahulu individu, sekaligus memberi nilai tambah kepada profil profesional mereka.

“Melalui penganugerahan micro-credentials, kita bukan sahaja memperluas peluang pembelajaran tetapi turut memperkukuh kompetensi tenaga kerja,” katanya.

Selain taklimat utama, program turut dimeriahkan dengan promosi APEL.Q dan pameran pelbagai kursus micro-credentials yang ditawarkan oleh UPSI.

Pameran turut disertai oleh Seksyen Kurikulum, Akreditasi dan Penilaian (KAP) serta Seksyen E-Pembelajaran dan Transformasi Akademik (EPTA), PPA, sebagai usaha menyeluruh UPSI untuk mendekatkan komuniti kampus kepada peluang pembelajaran fleksibel yang ditawarkan.

Dengan inisiatif ini, UPSI tidak hanya meletakkan dirinya di hadapan dalam landskap pendidikan tinggi negara, malah memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang progresif dan berwawasan.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular