32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 22, 2026

“Mandul Bukan Pilihan” tamat dengan episod penuh emosi, penonton menangis seantero negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh minggu mencuri perhatian penonton dengan jalan cerita yang sarat emosi, drama bersiri Mandul Bukan Pilihan akhirnya melabuhkan tirainya malam Khamis lalu, menerusi episod terakhir yang menyentuh hati dan meninggalkan kesan mendalam kepada jutaan penonton di seluruh negara.

Kisah cinta Aldi dan Billa, yang sejak awal mengundang simpati dan empati penonton, berakhir dengan penuh tragis apabila kebahagiaan yang mereka kecapi hanya seketika sebelum direntap takdir.

Pemergian Billa di hujung episod nyata mengejutkan penonton, lantas mencetuskan luahan emosi di media sosial yang menggambarkan betapa kuatnya kesan yang ditinggalkan drama ini.

Penonton menyifatkan drama ini sebagai “roller coaster emosi” yang bukan sahaja menyentuh isu realiti masyarakat, tetapi turut berjaya menembusi ruang hati penonton melalui penyampaian penceritaan yang kemas serta lakonan yang mengesankan.

Kehebatan gandingan Hun Haqeem dan Mira Filzah sebagai teraju utama menerima pujian meluas kerana berjaya membawakan watak dengan begitu jujur dan penuh perasaan.

Rata-rata warganet meluahkan rasa hiba dan terharu, malah ada yang mengakui tidak mampu menahan air mata ketika menyaksikan babak terakhir antara Aldi dan Billa. Beberapa komen di media sosial mencuri perhatian, antaranya:

“Saya tidak ingat bila kali terakhir saya menonton drama Melayu. Mandul Bukan Pilihan merupakan drama pertama setelah sekian lama. Bagi balik air mata. Tak baik bagi orang nangis.” – Servant Of Allah

“Kualiti drama Mandul Bukan Pilihan ni memang luar biasa. Dari pelakon, produksi sampai OST – semuanya another level. Lepas ni, drama lain pun kena set standard tinggi macam ni kalau nak compete.” – Yayayayayaa

“Drama Malaysia pertama yang buat aku nangis setiap episod. Last episode air mata aku jatuh sejatuhnya.” – Bilaa

“Terima kasih untuk semua pelakon, pengarah, penulis, kru produksi dan semua staf Mandul Bukan Pilihan. Ini kali pertama saya layan drama Melayu yang betul-betul buat saya nangis dari awal sampai habis. Plot, lakonan, emosi, muzik, sampai ke mesej semuanya terbaik!” – EL

Pelakon utamanya, Mira Filzah turut meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi menerusi satu hantaran di laman media sosialnya.

Mira menyifatkan pengalaman menjayakan drama ini sebagai sesuatu yang sangat bermakna dan membanggakan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan atas kerja keras, dedikasi dan semangat anda.

“Setiap seorang daripada anda membawa sesuatu yang unik dan satu keistimewaan untuk berkongsi perjalanan ini dengan kumpulan yang komited dan memberi inspirasi,” katanya.

Mira turut menitipkan penghargaan buat mereka yang sedang melalui perjuangan mendapatkan zuriat, menerusi satu video khas yang dimuat naik di Instagram.

Mesej itu disambut dengan penuh emosi oleh pengikutnya, khususnya mereka yang tersentuh dengan tema utama drama itu.

Mandul Bukan Pilihan bukan sekadar sebuah drama, tetapi telah menjadi fenomena yang membuka mata masyarakat terhadap realiti pasangan yang berdepan cabaran dalam soal zuriat.

Ia mengangkat naratif yang jarang diketengahkan dalam drama tempatan, menjadikannya relevan dan dekat di hati penonton.

Dengan tamatnya siri ini, slot MegaDrama di Astro Ria akan diteruskan dengan drama baharu berjudul Rumah Tanpa Luka, yang akan mula bersiaran pada 1 September, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular