26.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 2, 2026

Fan Beauty Diary kini di Malaysia, Fan Bingbing serikan Kuala Lumpur bersama Watsons

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kehadiran ikon kecantikan antarabangsa, Fan Bingbing, memeriahkan suasana ibu kota apabila beliau secara rasmi melancarkan jenama penjagaan kulit terkenal dari China, Fan Beauty Diary, di Malaysia menerusi kerjasama eksklusif bersama Watsons.

Majlis pelancaran yang berlangsung penuh gemilang di Kuala Lumpur ini turut dihadiri barisan selebriti tempatan termasuk Dato’ Aaron Aziz dan Nazim Othman, sekali gus menarik perhatian pencinta kecantikan dari seluruh negara.

Pelancaran Fan Beauty Diary di Malaysia menandakan satu lagi langkah besar jenama ini dalam mengukuhkan kedudukan globalnya.

Produk ikonik seperti Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask, Acids Double Cleansing Clay Mask, dan Dragon’s Blood Lentinus Fermentation Facial Treatment Mask kini boleh didapati di cawangan utama Watsons, antaranya di TRX Mall dan Sunway Pyramid.

Malah, sambutan hangat pengguna tempatan turut mencipta rekod baharu apabila Seagrape Mask dilaporkan habis terjual hanya dalam beberapa jam selepas pelancaran, menjadikannya produk kecantikan antarabangsa paling laris dalam sejarah jualan harian Watsons Malaysia.

Dalam ucapan khas semasa majlis perasmian, Fan Bingbing yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Pengalaman jenama itu, berkongsi rasa terharunya terhadap sambutan rakyat Malaysia. Beliau turut berkongsi rutin penjagaan kulit peribadinya yang menekankan prinsip “Cleanse, Hydrate, Repair”, khusus untuk kulit di iklim tropika Asia Tenggara.

“Gabungan Acids Double Cleansing Clay Mask dan Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask adalah rahsia saya mengekalkan kulit sihat dan berseri, terutamanya dalam cuaca panas dan lembap seperti Malaysia,” kata Fan yang tampil menawan.

Kehadirannya memukau ratusan peminat yang sanggup menunggu seawal pagi demi peluang melihat figura yang digelar “Ratu Masker” itu dari dekat.

Lebih membanggakan, Fan Bingbing turut menerima penganugerahan gelaran Datuk daripada Kerajaan Negeri Melaka atas sumbangannya dalam sektor pelancongan.

Sebagai Duta Pelancongan Melaka 2024, Fan berjaya membantu melonjakkan jumlah pelancong dari China ke negeri bersejarah itu sebanyak 224 peratus, selain mencatatkan lebih 1.5 bilion capaian di platform WeChat melalui kempen promosinya.

Majlis perasmian itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk (Dr.) Yasmin Mahmood, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri Maimunah Mohd Sharif dan Pengarah Urusan Watsons Malaysia, merangkap Ketua Pegawai Operasi Health & Beauty Asia bagi A.S. Watson Group, Caryn Loh.

Dalam ucapannya, Loh berkata, kerjasama dengan Fan Beauty Diary adalah selari dengan visi Watsons untuk memperkenalkan produk kecantikan bertaraf dunia kepada pengguna tempatan.

“Inovasi dan kualiti yang dibawa oleh Fan Beauty Diary mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan pengalaman membeli-belah kecantikan yang luar biasa kepada pelanggan Malaysia,” katanya.

Majlis berkenaan turut menampilkan transformasi unik di beberapa cawangan Watsons.

Antaranya, “Pink Palace” di Sunway Pyramid yang memaparkan patung bersaiz sebenar Fan Bingbing bersama Peony Youth Capture Brightening Mask, dan pameran gantung futuristik di TRX yang menonjolkan Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask dalam konsep eksklusif yang memukau.

Fan Beauty Diary, yang ditubuhkan pada tahun 2018, kini menawarkan enam rangkaian produk dengan lebih 20 variasi sedang dalam pembangunan.

Produk-produknya dirumus khas untuk kulit Asia Timur melalui kolaborasi bersama penyelidik, pakar dan pengilang antarabangsa.

Dengan komitmen tinggi terhadap keselamatan, keberkesanan dan inovasi, jenama ini terus mengukuhkan reputasinya dalam pasaran kecantikan dunia khususnya melalui kejayaan dominan dalam platform e-dagang di China untuk siri Sea Grape selama tiga tahun berturut-turut.

Fan Bingbing bukan sekadar pengasas, tetapi juga wajah utama gerakan “Chinese Beauty” global.

Selain terkenal sebagai pelakon, usahawan dan ikon fesyen, beliau kini menambah satu lagi pencapaian dengan kehadiran Fan Beauty Diary di Malaysia membuka lembaran baharu dalam dunia kecantikan tempatan yang kini semakin dipengaruhi oleh trend antarabangsa.

Dengan permulaan yang cemerlang di pasaran Malaysia, Fan Beauty Diary dilihat bersedia untuk mencipta impak besar bukan sahaja di rak-rak Watsons, tetapi juga di hati pengguna yang semakin menghargai produk yang menggabungkan sains, keindahan dan nilai budaya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular