25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 21, 2026

Karnival Mega 3 Dimensi FELDA 2025 dimeriahkan dengan e-sukan dan rekod kebangsaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Peneroka FELDA 2025 terus menyerlah dengan penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi FELDA (MK3D) yang berlangsung meriah selama lima hari, bermula 30 Julai hingga 3 Ogos.

Bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), karnival anjuran FELDA dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), serta Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) ini menampilkan pelbagai acara menarik yang menggabungkan elemen sukan moden, tradisional dan cabaran fizikal.

Antara tumpuan utama MK3D kali ini ialah kejohanan sukan elektronik (e-sukan) yang berlangsung di Dewan 1, Mitec Kuala Lumpur.

Pertandingan e-Football membuka tirai acara pada hari ini, diiringi dengan sesi tontonan langsung separuh akhir e-Sports World Cup (EWC) dari Riyadh, Arab Saudi yang menampilkan pasukan kebanggaan negara, SRG Malaysia.

Pada hujung minggu pula, pentas utama akan dikuasai oleh kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang dijangka menarik lebih ramai peminat e-sukan tempatan.

Kedua-dua acara e-sukan ini menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM45,000, menjadikan penyertaan bukan sahaja berprestij tetapi juga kompetitif.

Kehadiran pemain-pemain profesional serta peminat e-sukan menambahkan lagi kemeriahan suasana, menjadikan Dewan Mitec antara lokasi paling sibuk sepanjang karnival berlangsung.

Dalam pada itu, kejohanan karom beregu yang diadakan di Dewan 11 turut mencuri perhatian apabila mencatatkan penyertaan lebih 1,500 peserta dari seluruh negara.

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi yang terbesar di Malaysia, malah secara rasmi dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai pertandingan karom dengan penyertaan tertinggi pernah direkodkan.

Juara bagi kategori beregu bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM10,000, manakala jumlah keseluruhan hadiah melebihi RM40,000.

Sambutan luar biasa menyebabkan pendaftaran peserta telah ditutup seawal Julai lalu.

Tidak ketinggalan, cabaran fizikal turut mendapat sambutan hebat menerusi acara “Strongest Man”, yang bakal mencapai kemuncaknya pada Ahad ini.

Salah satu segmen paling dinantikan adalah cubaan mencipta rekod Malaysia untuk bilangan peserta paling ramai menarik sebuah bas sejauh 20 meter secara serentak satu inisiatif yang turut mendapat perhatian Malaysia Book of Records.

Di sebalik persaingan dan aksi mencabar, karnival ini turut menjadi platform keusahawanan menerusi reruai jualan produk tempatan oleh usahawan FELDA.

Ruang niaga yang dibuka sepanjang tempoh karnival menyajikan pelbagai produk desa, makanan tradisional dan hasil kreativiti generasi baharu FELDA.

Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia, Ahmad Faizal Sulaiman berkata, sasaran pengunjung dijangka mencecah sehingga dua juta orang dalam tempoh lima hari, dengan kemuncak kehadiran pada hari Sabtu dan Ahad ini.

Menurutnya, penyertaan dalam semua acara adalah terbuka kepada umum dan bukan hanya warga FELDA.

“Penyertaan kejohanan karom menunjukkan kepelbagaian usia peserta daripada remaja hinggalah veteran.

“Begitu juga dengan e-sukan yang didominasi generasi muda, manakala cabaran fizikal ‘Strongest Man’ terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menguji kekuatan fizikal mereka,” katanya.

Antara bintang yang mencuri perhatian di arena e-sukan kali ini ialah Ahmad Muhaimin Abd Razak, pemain e-Football berbakat yang baru-baru ini menjuarai kejohanan terbuka di Terengganu.

Dalam penyertaannya di MK3D, Muhaimin hadir bukan sekadar untuk bertanding, tetapi juga untuk mengekalkan momentum kemenangan yang diraihnya sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, sebagai jurulatih Muhaimin, Muhamad Najmie Azizi telah membantu melahirkan ramai bakat baharu termasuk Flasiu dari Johor, juara Kejohanan MEL Kebangsaan pada usia 17 tahun dan seorang pemain wanita yang berjaya meraih tempat kedua peringkat ASEAN.

“Bila kejohanan besar, saya akan keluarkan permainan terbaik. Ada tekanan, tapi saya fokus dan main macam biasa.

“Sekarang saya juga melatih beberapa pemain muda termasuk dari luar negara. Saya percaya coaching bukan sekadar teknik, tapi juga soal mental dan strategi,” katanya.

Katanya, potensi dan kesungguhan adalah kriteria utama dalam memilih pemain untuk dilatih, tanpa mengira jantina.

Kehadirannya di MK3D bukan hanya sebagai peserta, tetapi juga sebagai inspirasi kepada generasi muda FELDA yang berminat untuk menyertai arena e-sukan secara serius.

Dengan pencapaian di peringkat kebangsaan dan serantau, beliau membuktikan bahawa anak tempatan mampu melangkah jauh di pentas antarabangsa.

Dengan pelbagai elemen menarik yang menggabungkan sukan moden, cabaran fizikal, rekod kebangsaan serta semangat komuniti, Karnival Mega 3 Dimensi FELDA 2025 bukan sekadar sebuah acara sambutan ia menjadi simbol kebangkitan potensi FELDA dalam dimensi baharu yang lebih inklusif, progresif dan penuh inspirasi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular