editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Wawa Global Sdn. Bhd., syarikat kecantikan tempatan yang diasaskan oleh pasangan selebriti terkenal Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, kini melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran tiga produk pelindung matahari terbaharu serta pengenalan logo baharu syarikat.
Acara gilang-gemilang yang diadakan itu bukan sekadar majlis pelancaran, malah menjadi detik bersejarah yang menandakan permulaan kepada lembaran baru buat jenama Wawa.
Produk pelindung matahari baharu yang diperkenalkan diformulasi secara khusus untuk memenuhi keperluan lelaki dan wanita yang aktif, terutamanya mereka yang gemar bersukan dan sering terdedah kepada cahaya matahari.
Dengan penggunaan formula mineral terkini, produk ini bukan sahaja menawarkan perlindungan optimum, malah lebih mesra kulit dan selamat digunakan sejajar dengan komitmen syarikat dalam menghasilkan produk kosmetik yang halal, selamat dan berkualiti tinggi.

Sejak kemunculan pertamanya di pasaran, Sunscreen Wawa telah mencapai kejayaan luar biasa dengan jumlah jualan melebihi empat juta unit.
Pencapaian ini menjadi bukti kukuh terhadap tahap kepercayaan pengguna terhadap keberkesanan dan kualiti produk yang ditawarkan.
Namun, di sebalik kejayaan itu, Wawa Zainal turut meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang mempertikaikan kejayaan jenamanya dengan mendakwa populariti sebagai satu-satunya faktor kejayaan.
Wawa berkata, jenama Wawa telah bertapak selama lebih tujuh tahun di pasaran dan memiliki kumpulan pengguna setia yang terus menyokong berasaskan pengalaman dan keberkesanan produk itu sendiri.
Langkah penjenamaan semula yang dilaksanakan bukan sahaja membabitkan rekaan semula logo dan pembungkusan produk, malah menjadi strategi penting dalam menangani isu penyebaran produk tiruan yang semakin berleluasa.

Identiti baharu yang dibawa oleh Wawa Global memberi nafas segar dengan imej yang lebih elegan, profesional dan mencerminkan keyakinan jenama yang semakin matang.
“Kami di Wawa Global sangat komited dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk yang memenuhi kehendak pengguna masa kini.
“Kami percaya produk yang selamat, halal dan berkualiti tinggi adalah asas kepada kejayaan yang mampan,” kata Wawa ketika majlis pelancaran.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran beberapa figura penting dalam syarikat termasuk pengasas bersama Aeril Zafrel, Ketua Pegawai Eksekutif Umisya Mazlan, serta barisan pentadbiran kanan seperti Aslam.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang menyokong usaha pembangunan jenama tempatan.
Mengakhiri majlis, Wawa berharap, Wawa Global akan terus berkembang dan bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa dalam masa terdekat.
Dengan strategi jenama yang lebih kukuh serta rangkaian produk yang diperbaharui, syarikat itu optimis dapat meletakkan jenama Wawa sebagai antara peneraju dalam industri kecantikan serantau dan global.


https://shorturl.fm/PKY4a