editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar, akhirnya mengumumkan secara rasmi konsert berskala besar yang dinanti-nantikan peminatnya.
Dikenali dengan suara lunak dan penghayatan mendalam dalam setiap persembahan, Misha bakal kembali menguasai pentas menerusi konsert eksklusif bertajuk DiA Misha Omar, yang dijadual berlangsung pada 29 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert ini menjadi manifestasi kepada impian Misha yang selama ini tidak sekadar bermain kata apabila menyatakan hasrat untuk mengadakan konsert besar dalam tahun 2025.
Bukan gimik, bukan cuba-cuba mencuri perhatian atau menguji pasaran, tetapi sebuah janji yang kini ditepati hanya kurang setahun selepas kejayaan luar biasa Misha Omar Back To Basic.
Pengumuman konsert DiA Misha Omar dibuat penuh gaya tepat tengah malam sebulan lalu menerusi akaun Instagram rasminya, sekali gus mencetus keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat yang sekian lama menantikan kemunculan semula penyanyi berusia 43 tahun itu di pentas mega.

Lebih menarik, pengumuman rasmi mengenai lokasi dan tarikh konsert hadir selepas pelancaran single terbarunya bertajuk Break, yang turut menyuntik rasa rindu dan keterikatan emosi peminat terhadap perjalanan seni Misha yang sarat dengan makna.
DiA Misha Omar, yang dibawakan oleh penganjur Double M Production dan diuruskan oleh Altus Prohouse, bukan sekadar sebuah persembahan pentas, tetapi satu keraian terhadap perjalanan seni yang telah dilalui Misha selama lebih dua dekad.
Ia bukan sambungan kepada mana-mana persembahan terdahulu, tetapi sebuah penceritaan baru sebuah penghargaan buat karya-karya yang mengisi sejarah muzik negara dan peminat yang setia bersama sejak era Bunga-Bunga Cinta sehinggalah Break.
Pengurus konsert dari Altus Prohouse, Miselyn Yee Siew berkata, konsert ini bakal mempersembahkan sisi paling matang dan beremosi seorang Misha Omar yang selama ini dikenali dengan sifat merendah diri, namun penuh ketelitian dan cita rasa tinggi dalam setiap karya dan persembahan.
“Konsert ini adalah tentang penceritaan kisah hitam putih yang telah Misha lalui selama 23 tahun dalam dunia seni.
“Ia adalah sebuah ‘riwayat cinta’ daripada seorang penghibur kepada peminat yang tak pernah jemu memberikan sokongan,” katanya.
Tambahnya, walaupun tidak menjanjikan sesuatu yang luar biasa dari sudut persembahan teknikal semata-mata, pihaknya berjanji akan memastikan pengalaman yang ditawarkan menerusi konsert ini adalah yang paling mendalam dan bermakna buat penonton.
“Segala-galanya akan terjawab apabila peminat hadir dan menjadi saksi kepada DiA Misha Omar di Mega Star Arena.
“Ia bukan hanya tentang persembahan, tetapi pengalaman menyeluruh yang tidak pernah mereka alami sebelum ini bersama Misha,” katanya.
Bagi Misha sendiri, DiA Misha Omar adalah titik penting dalam kerjayanya yang telah menjangkau lebih 20 tahun.
Misha mengakui meskipun tidak pernah menubuhkan kelab peminat rasmi, namun kepercayaan yang diberikan peminat terhadap mutu karyanya adalah sebab utama dia masih kekal relevan dalam industri seni tanah air.
“Saya tidak pernah ada kelab peminat, tetapi kuasa karya yang berkualiti dan keyakinan peminat terhadap keupayaan saya untuk terus menghibur telah menjadi kekuatan utama saya.
“Saya anggap konsert ini sebagai sejarah penting yang akan saya cipta bersama mereka,” katanya.
Katanya lagi, DiA Misha Omar adalah lambang penghargaan terhadap semua yang menyokong kerjayanya, termasuk rakan industri dan peminat setia.

“Saya mahu melihat sama ada peminat masih mempunyai rasa itu terhadap saya.
“Jika ya, pulangkan rasa itu di DiA Misha Omar pada malam 29 November nanti dan semoga ia kekal abadi dalam ingatan kita semua,” katanya penuh emosi.
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 25 Julai 2025, jam 10 pagi menerusi platform rasmi https://jiotix.asia/events/dia-misha-omar.
Harga tiket bermula dari RM288 (SILVER) hingga RM1,200 (VIP 1 dan Royal Twin Seat).
Semua pembeli tiket VIP 1 akan menerima akses eksklusif untuk sesi Meet & Greet dan pas Soundcheck.
Pembeli tiket daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) turut disediakan saluran khas pembelian melalui WhatsApp di talian hotline +6011 1660 1122.
Dengan segala persiapan rapi yang sedang digerakkan, DiA Misha Omar bukan sekadar sebuah konsert ia adalah peristiwa seni yang dijangka akan menjadi antara yang paling berkesan dan menyentuh hati dalam sejarah muzik tanah air.

