editormaxinfo@gmail.com
ALOR SETAR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tampil menyantuni nasib Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 12, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam tragedi meragut enam nyawa ahli keluarganya di Sungai Korok, Jitra, Sabtu lalu.
Dalam satu keputusan penuh keprihatinan, MARA mengambil Putri Qisya sebagai anak angkat bagi memastikan masa depannya dalam bidang pendidikan terus terjamin.
Hasrat murni ini dizahirkan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang berkongsi rasa terharu terhadap ketabahan luar biasa yang ditunjukkan oleh Putri Qisya dalam menghadapi ujian besar itu.
Menurut beliau, MARA terpanggil untuk merealisasikan impian arwah ibunya yang mahu melihat anak sulung mereka menjejakkan kaki ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Hampir menitis air mata, namun saya tahan sebak di dada tatkala nenek kepada adik Putri Qisya menyampaikan impian arwah ibunya dan juga hasrat Qisya sendiri untuk masuk ke MRSM,” katanya dalam satu kenyataan.
Asyraf Wajdi turut memaklumkan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, telah menziarahi keluarga Putri Qisya di Kampung Bohor Karang.
Tersentuh dengan kisahnya, Ahmad Zahid secara langsung mengarahkan agar MARA mengambil anak yatim piatu itu sebagai anak angkat serta memastikan beliau diberi peluang pendidikan terbaik.
“Insya-Allah, MARA akan bantu sebaik mungkin. Kami akan pastikan laluan pendidikan terbaik buat adik Qisya.
“Dia tidak keseorangan ramai yang sedia membantu termasuk pihak kami, bagi memastikan masa depannya terus terbela,” kata Asyraf.
Tambah beliau, kekentalan semangat dan kesungguhan Qisya untuk menimba ilmu walaupun baru sahaja kehilangan kedua ibu bapa dan empat adik-beradiknya adalah satu kekuatan luar biasa yang wajar disokong sepenuhnya.
“Sejurus saya tiba, dia menyambut dengan senyuman, walaupun wajahnya masih sugul.
“Sepanjang perbualan, langsung tidak kelihatan air mata, tetapi saya dapat rasakan kehilangan besar yang ditanggung. Kecekalan dan ketabahan Qisya benar-benar meruntun jiwa saya,” katanya.
Lebih mengagumkan, Asyraf Wajdi berkata, Qisya turut meluahkan rasa enggan terlalu bergantung pada bantuan zakat sebagaimana yang pernah diterima keluarganya sebelum ini.
Semangat berdikari itu menggambarkan kematangan luar biasa seorang anak kecil yang ditimpa musibah.
“Insya-Allah, MARA akan memantau perkembangan Qisya sebagai anak angkat kami dan memastikan beliau menerima pendidikan terbaik sehingga ke peringkat tertinggi.
“Semoga Allah SWT pelihara hatinya yang tabah dan menerangi jalan hidupnya dengan cahaya ilmu dan kasih sayang,” katanya lagi.
Putri Qisya kini tinggal bersama datuk dan neneknya selepas kehilangan kedua ibu bapa dan empat adik-beradik tersayang.
Dalam kejadian menyayat hati pada Sabtu lalu, kenderaan yang dinaiki keluarganya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam terusan di Sungai Korok, mengorbankan enam nyawa termasuk ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta adik-adiknya: Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, enam bulan.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang pada malam Isnin, manakala Putri Qisya kini menjadi simbol ketabahan dan harapan baharu bagi masa depan yang lebih cerah.

